POTONG…. Kelihatan Rubin dan Radin serta para pemimpin politik dan pemimpin Gereja memotong kek sebagai simbolik perasmian majlis.
Oleh: TRUSMADI PRESS
PENGERUSI Penganjur Majlis Rumah Terbuka Krismas tahun 2011, Esar Andamas menyifatkan kepimpinan Datuk Rubin Balang selaku wakil rakyat di Tenom masih relevan kerana keprihatinannya terhadap kebajikan sosial rakyat, persatuan-persatuan dan juga institusi-institusi keagamaan yang terus mendapat perhatian beliau.
Katanya, keadaan ini dapat dibuktikan bahawa majlis seumpama itu turut mendapat sumbangan dana peribadi beliau setiap tahun ketika dianjurkan, malah warga emas yang berumur 70 tahun ke atas juga tidak ketinggalan untuk menerima sumbangan tersebut.
“Sebelum itu pun, kita juga telah mengadakan beberapa aktiviti lain seperti bergotong royong membantu masyarakat yang memerlukan pertolongan sebagai pengisian kepada tanggungjawab kita terhadap masyarakat,” kata beliau di hadapan kira-kira lebih 2,000 hadirin di Dewan Ontoros, Tenom, pada Rabu.
Beliau menyampaikan ucapan tersebut, selain sebagai Pengerusi Penganjur, tetapi juga mewakili Datuk Rubin Balang selaku perasmi majlis tersebut yang tidak dapat berucap disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkannya; namun turut hadir bersama di majlis tersebut.
Esar yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Tenom dan mantan Adun Kemabong seterusnya berkata, majlis seumpama itu merupakan satu anjakan kepada kekukuhan perpaduan di kalangan kepelbagaian kaum dan agama di sini selain dapat manifestasikan konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Malaysia.
Tambahnya, perayaan perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan dan sebagainya terus dirayakan tanpa mengira kesukuan kaum dan agama; malahan ianya sudah diamalkan berpuluh-puluh tahun yang lalu, namun rakyat terus menerimanya dengan berlapang dada; sambil menikmati erti perpaduan sebenar menerusi majlis-majlis perayaan keagamaan masing-masing.
Katanya, majlis itu lebih meriah dan besar maknanya apabila turut disertai pegawai- pegawai kerajaan, terutamanya Pegawai Daerah, Siriman MF Basir termasuklah, penglibatan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) daerah Tenom.
Dalam pada itu, Esar menegaskan bahawa denominasi perayaan mengikut giliran Gereja-Gereja dan pada tahun ini dihoskan kepada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB), tahun lalu oleh Gereja Roman Catholic (RC) dan manakala pada tahun hadapan 2012 akan dihoskan pula oleh Gereja Basel Christian Church of Malaysia (BCCM); merupakan penggiliran yang seadil-adilnya.
Hadir sama di majlis itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh; Pengerusi Majlis Gereja Gereja Keristian Tenom (MGGKT) Rev. James Yap; Pegawai Daerah Siriman MF Basir; ADO Fredian Gan; Exco Pemuda UMNO Pusat Jamawi Jaafar; Pemimpin Kemajuan Rakyat Kemabong Sukimin Rukini; Pemimpin Kemajuan Rakyat Melalap Blasius Mosuning; para pemimpin BN dan pemimpin masyarakat tempatan.
No comments:
Post a Comment