MAHKAMAH Sesyen menetapkan
25 dan 26 Februari 2013 untuk perbicaraan tiga anggota polis yang dituduh
merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga
Indonesia di Berek Balai Polis Perai pada 9 November lepas.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad
Tarmizi menetapkan tarikh itu kerana kes berkenaan mempunyai kepentingan awam
dan perlu diselesaikan segera.
Meor Sulaiman juga
membenarkan perbicaraan ketiga-tiga tertuduh didengar sekali di mahkamah yang
sama.
Konstabel Remy Anak Dana,
25, Kpl Nik Sin Mat Lazim, 33, dan Konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa
merogol wanita Indonesia berumur 25 tahun itu di Bilik 4, Berek Balai Polis
Perai di sini antara 6.40 pagi hingga 7.30 pagi pada 9 November lepas.
Ketiga-tiga mereka juga
didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh,
waktu dan tempat yang sama.
Ketiga-tiga tertuduh
diwakili peguam bela R.S.N Rayer dan Abdul Roni Rahman, Pendakwaaan dilakukan
oleh Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Mokhtar.
Pada prosiding hari ini,
Rayer memohon kepada mahkamah agar pihak media yang membuat liputan kes itu
tidak mensensasikannya kerana bimbang anak guamnya akan dinafikan untuk
mendapat perbicaraan yang adil.
Bagaimanapun Meor Sulaiman
tidak mengeluarkan sebarang perintah untuk pihak media dan liputan boleh dilakukan
seperti biasa.
Mahkamah juga melanjutkan
tempoh jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh sehingga hari perbicaraan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment