KOTA KINABALU: Ahli
Jawatankuasa Pusat Parti Star Sabah, James Baga (kiri) meletakkan jawatan dari parti
itu berkuatkuasa 7 Disember dan akan memberikan sokongan kepada Barisan
Nasional (BN).
Dalam satu kenyataan yang
dikeluarkan di sini, James yang juga Presiden Pertubuhan Hal Ehwal Pelindung
Pengguna Sabah (CAPS), berkata surat peletakan jawatan sudah dihantar secara
peribadi ke Pejabat Parti Star Sabah di Kepayan dengan salinan kepada pengerusi
parti itu, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
“Saya sudah hilang
kepercayaan terhadap kepimpinan parti Star. Amat malang sekali berada di dalam
parti yang mempunyai pemimpin yang bersikap bongkak dan angkuh dan tidak
mempedulikan kehendak pengikut serta ahli bawahannya,” katanya.
Katanya pepatah Cina
mengatakan: “Askar yang angkuh akan tetap kalah dalam pertempuran dan inilah
yang akan berlaku sebenarnya kepada parti Star di Sabah."
James mendakwa, ramai lagi
ahli akan meninggalkan parti itu dalam masa terdekat dan hanya masa sahaja akan
menentukan mereka berbuat demikian.
“Dengan peletakan jawatan
ini akan membolehkan saya memberikan perhatian kepada badan-badan bukan
kerajaan (NGO) khususnya CAPS dan akan dapat memfokuskan lebih banyak usaha dan
komitmen bersama-sama pengerusi- pengerusi CAPS, penyelaras dan ahli-ahli CAPS
seluruh negeri untuk memastikan hak-hak pengguna negeri ini sentiasa
terpelihara dan dilindungi sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata sebagai
Presiden CAPS beliau bertanggungjawab untuk menafikan anggapan sesetengah pihak
kononnya pertubuhan ini adalah NGO pembangkang yang mana sebenarnya tidak betul
dan berasas sama sekali.
“Saya berharap dengan
penjelasan dan meninggalkan parti Star akan dapat meredakan keadaan,” katanya
sambil mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan Parti Star Sabah
khususnya Dr Jeffery yang memberikan kepercayaan kepada beliau selama ini dan
mengucapkan semoga beliau dan rakan-rakannya beroleh kejayaan.
Beliau berkata hala tujuh
CAPS adalah untuk berganding bahu dengan kerajaan untuk memperkasa pengguna di
negeri ini sejajar dengan perlembagaan CAPS yang merupakan pro kerajaan.
“Mengkritik kerajaan tidak bermakna
menyokong pembangkang tetapi sebaliknya membantu kerajaan dengan membawa
isu-isu kepenggunaan di samping memberi input dan cadangan bagaimana yang
terbaik untuk manfaat pengguna di negeri ini,” katanya.
“Kami dalam CAPS amat yakin
dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua
Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman kerana kedua-dua pemimpin ini sentiasa
konsisten menentukan hala tuju yang terbaik untuk rakyat negara ini,”
tambahnya.
No comments:
Post a Comment