Saturday, 15 December 2012

K'JAAN SABAH NAFI 40,000 SIJIL KELAHIRAN





           
MENTERI di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Sakaran menafikan dakwaan pemimpin pembangkang Sabah bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan sekitar 40,000 sijil kelahiran bagi kanak-kanak warga asing di Semporna.

Sijil kelahiran itu dikatakan dikeluarkan semasa operasi bergerak JPN yang diadakan di bahagian pantai timur Sabah itu.

Nasir berkata dakwaan itu tidak benar dan hanya bertujuan untuk memesongkan pemikiran rakyat Sabah bagi pembangkang meraih sokongan menjelang pilihan raya umum.

"Ini tidak betul kerana angka 40,000 orang ini hanya anggaran JPN untuk keseluruhan negeri Sabah dan bukan Semporna sahaja.

"Apa yang dibuat oleh JPN semasa pendaftaran bergerak (untuk sijil kelahiran) di kawasan itu, lima atau lebih bulan yang lepas, hanya melibatkan sekitar 1,000 orang sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penangguhan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Pada 8 Dis lepas, pengerusi Pakatan Perubahan Sabah (PPS) Datuk Seri Lajim Ukin dipetik sebagai mendakwa terdapat 40,000 sijil kelahiran dikeluarkan untuk anak-anak pendatang tanpa izin di Semporna dan meminta pihak yang berwajib menangani masalah itu.

Dengan penjelasan itu, Nasir berharap isu berkenaan tidak lagi dipolitikkan seolah-olah "kerajaan tidak begitu berhati-hati atau teliti dalam proses pendokumentasian".

"Kalau pun kita mahu menyatakan sesuatu biarlah mempunyai fakta yang kukuh. Jangan semudah itu membuat andaian atau tuduhan. Jangan buat isu untuk mengelirukan rakyat," katanya.

Mengenai isu kad pengenalan merah di Sabah, Nasir berkata Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi sebelum memberikan taraf warganegara kepada pemilik kad pengenalan merah.

"Kerajaan tidak akan memberikannya (taraf warganegara) dengan sewenang-wenangnya. Kita mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi dan harus dilaksanakan mengikut undang-undang," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan Sabah bersedia memberi pandangan semasa sesi pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah yang dijangka dimulakan pada Januari tahun depan, Nasir berkata kerajaan negeri sedia memberi kerjasama yang diperlukan.

"Isu PTI kini dibawah RCI yang sedang menjalankan siasatan, dan kita serahkan kepada anggota panel RCI membuat apa-apa penyiasatan atau tindakan yang sewajarnya untuk kebaikan semua," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment