Oleh : MOHD FIRDAUS BIN
MUHAMMAD NOR
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda
PAS Malaysia (DPPM) mendesak Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian
Kinabatangan, Aksyah Nasrah meletakkan jawatan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua pemuda PAS Sabah,
Lahirul Latigu berkata, sebagai orang penting dalam Umno, Aksyah tidak
sepatutnya memegang jawatan Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sabah.
"Pemuda minta Aksyah
memilih salah satu daripadanya. Sama ada terus pegang jawatan dalam Pemuda Umno
dan tinggalkan SPR atau sebaliknya.
"Tapi kalau boleh kita
desak dia letak jawatan dalam SPR," kata beliau dalam sidang media di
Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.
Semalam, Pengerusi SPR, Tan
Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengeluarkan kenyataan bahawa tidak salah
pegawai-pegawai SPR menyertai parti politik tetapi tidak boleh memihak kepada mana-mana parti
semasa menjalankan tugas.
Mengulas perkara tersebut,
Ahli jawatankuasa DPPM, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, Perlembagaan
Persekutuan melalui artikel 114 (2) menyatakan harapan agar SPR dapat
menjayakan keyakinan orang awam.
Tambah beliau, hal ini bermaksud SPR sepatutnya menjalankan pilihan
raya dengan telus dan tidak berpihak kepada mana-mana parti dalam memastikan
hak-hak pengundi sejagat, persaingan yang adil bagi kesemua parti politik dan
calon-calonnya.
"Ini bukan isu dia
pernah melakukan kesalahan sewaktu bertugas dalam SPR tapi isunya dia seorang
ahli parti dan memegang jawatan penting.
"Bagaimana SPR boleh
bagi jaminan dia boleh melakukan tugas secara profesional?
"Sebagai contoh, dalam
perlawanan bola sepak, pengadil itu menyokong salah satu pasukan. Bagaimana
penonton nak percayakan pengadil tersebut?" katanya yang merupakan seorang
peguam.
Beliau juga berkata,
tindakan lanjut akan diambil sekiranya Aksyah masih memegang kedua-dua jawatan
dalam Umno dan SPR.
"Kalau SPR berdiam diri
dan Aksyah meneruskan tugasnya seperti biasa, kita akan buat pendedahan
seterusnya.
"Sekarang kita tunggu
apa tindakan SPR dan Aksyah dulu," katanya.
No comments:
Post a Comment