Oleh : ABDUL RAHIM SABRI
BEKAS anggota panel
penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang
menafikan dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa beliau
pernah menyebabkan seorang pegawai tinggi polis bertukar.
Phang yang juga Pengerusi
Yayasan Penyayang Sosial turut menjelaskan, beliau tidak mempunyai kuasa untuk
berbuat demikian.
"Saya menafikan bahawa
saya yang menyebabkan pegawai itu dipindahkan dalam tempoh 24 jam,"
katanya.
Bercakap dalam sidang media
di ibu negara pagi ini, Robert juga menegaskan beliau tidak mengetahui siapa
individu yang dimaksudkan dalam dakwaan Musa itu.
"Saya juga ingin
mengetahui siapa (pegawai polis) yang diperintah berpindah itu," katanya.
Musa kelmarin dilaporkan
mendakwa, pegawai polis itu enggan memenuhi permintaan untuk mentauliah satu projek
jutaan ringgit kepada satu syarikat yang melibatkan Phang pada 2009, untuk
menaiktaraf sistem telekomunikasi polis kepada sistem digital.
Ekoran itu, dakwa Musa,
pegawai polis yang berpangkat Datuk dan memegang ijazah PhD tersebut ditukarkan
ke ibu pejabat polis Bukit Aman dalam tempoh 24 jam.
Mengulas dakwaan tersebut,
Phang menjelaskan beliau dilantik menjadi penasihat bebas Motorola pada tahun
2009 selepas kontrak itu diberikan.
"(Penganugerahan)
kontrak tersebut tidak ada kena mengena dengan sumbangan Robert Phang,"
katanya.
Jelasnya, beliau menghadiri
satu sidang media oleh Motorola Technology pada Februari 2008, selepas syarikat
itu diumumkan untuk terus melabur di Malaysia.
Beliau turut menegaskan
bahawa beliau tidak mempunyai hubungan rasmi dengan syarikat tersebut pada
ketika itu.
Menjawab soalan, Phang
berkata beliau menjadi penasihat bebas bagi dua syarikat dan anggota panel SPRM
dalam satu masa, bagaimanapun menegaskan beliau tidak mempunyai konflik
kepentingan berhubung perkara ini.
Beliau melepaskan jawatan
sebagai anggota pabel SPRM secara sukarela pada Januari 2011, selepas didakwa -
dalam sebuah blog - melakukan rasuah terhadap seorang pegawai awam.
SPRM bagaimanapun
membebaskan Phang daripada tuduhan tersebut.
Dalam sidang media pagi
kelmarin, Phang juga berkata beliau dinasihat oleh barisan peguamnya untuk
mengambil tindakan undang-undang terhadap Musa berhubung dakwaannya itu.
No comments:
Post a Comment