Friday 8 March 2013

KESEDARAN PENGGUNA TRANSFORMASI NASIONAL






CENDERA..... Puan Afidah Bujang menyampaikan Cenderakenangan Kepada Penceramah dari Tribunal Tuntutan Pengguna, Puan Jaidah Yusof.

Oleh : MEDIA BARIS

TUARAN: Persatuan Bekas Anggota Perisikan Malaysia (BARIS) Negeri Sabah telah menganjurkan seminar yang bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan berhubung hak pengguna di Dewan Majlis Daerah Tuaran yang dihadiri lebih 100 orang peserta terdiri dari wakil wakil Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan Ahad lalu.

Seminar yang diadakan bagi peringkat Daerah Tuaran ini telah mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepengunaan (KPDNKK) Cawangan Daerah Tuaran. Seminar ini bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan tentang hak kepenggunaan pendedahan kepada bumiputera di negeri ini.

Pada sebelah paginya, seminar ini telah diberi penerangan tentang hak-hak sebagai seorang pengguna oleh Ridzuan bin Hj Ismail, Pegawai Kanan daripada KPDNKK Cawangan Tauran manaka pada sebelah petangnya, Puan Jaidah Yusof daripada Tribunal Tuntutan Pengguna, Kota Kinabalu telah memberi pendedahan berhubung akta-akta dan undang-undang yang berkaitan dengan hak kepenggunaan.

Perasmian seminar ini telah dilakukan oleh Robert Peter Takom, Ketua Cawangan KPDNKK Daerah Tuaran.

Dalam ucapannya, beliau telah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Persatuan Bekas Anggota Perisikan Malaysia (BARIS) Negeri Sabah kerana telah berjaya menganjurkan beberapa siri seminar berhubung kepenggunaan, walaupun persatuan ini baru sahaja ditubuhkan pada Januari yang lalu.

Menurutnya, KPDNKK telah banyak melaksanakan pelbagai program seperti seminar kepenggunaan, taklimat, ceramah, pameran dan lain-lain yang berkaitan pengguna dalam usaha memberi pendedahan kepada pengguna seluruhnya tentang peranan KPDNKK mengenai hak-hak pengguna, bagaimana menjadi pengguna yang bijak, memberi maklumat mengenai tips kepenggunaan, undang-undang kepenggunaan, peranan dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh persatuan pengguna dalam melindungi pengguna yang menjurus kepada perundangan.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan maklumat kepenggunaan agar kita dapat memahami perkara-perkara asas kepenggunaan selain menjadi pengguna yang bijak, berinformasi, tahu hak dan tanggungjawab sebagai pengguna dan dapat melindungi diri dan keluarga daripada ditipu dan ditindas oleh taktik-taktik perniagaan yang mengelirukan pengguna.




PESERTA..... Sebahagian Peserta Terlibat Dalam Program Kesedaran Pengguna Bergambar Kenangan Dengan Urusetia Penganjur.

Setiausaha Persatuan Bekas Anggota Perisikan Malaysia (BARIS) Negeri Sabah, Puan Afidah Bujang berkata program seumpama ini akan diteruskan ke beberapa buah daerah di negeri ini dalam usaha memberi pendedahan, kesedaran dan pendidikan kepada rakyat yang merupakan pengguna dalam negeri ini.

Menurutnya lagi, rakyat sebagai pengguna harus bijak dalam memainkan peranan mereka sebagai pengguna kerana kuasa yang ada pada pengguna amatlah besar dan ianya dapat memberi impak dalam kehidupan seharian.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPDKK Negeri Sabah kerana telah memberi kerjasama yang memberangsangkan dalam membantu persatuan ini memberi kesedaran kepada rakyat yang merupakan pengguna di negeri ini katanya.

No comments:

Post a Comment