Wednesday 6 March 2013

SEMPORNA KEMBALI PULIH DAN SELAMAT




AMAN...Dato Sri Nasir (tengah) berbual dengan dua orang peniaga Pakistan (kiri) sambil diringi anggota keselamatan dan OKK Musa (dua kanan) semasa tinjauan itu di pekan Semporna.


Oleh : ARSHAD HUSSIN


SEMPORNA : Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Nasir Tun Sakaran, mengingatkan rakyat terus memberikan kerjasama kepada kerajaan dan pasukan keselamatan bagi melicinkan lagi usaha kerajaan melaksanakan agendanya membela nasib rakyat; khususnya menangani isu keselamatan serta mempertahankan kedaulatan Negara ini.

Katanya, rakyat juga tidak seharusnya mendengar khabar-khabar angin yang disebarkan pihak tertentu dari mulut ke mulut, melalui halaman sosial mahupun SMS yang tidak sahih; sebaliknya berhubung terus kepada pihak keselamatan dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah.

Nasir berkata demikian selepas melakukan tinjauan ke Pekan Semporna  pagi kelmarin selepas insiden Kampung Sri Jaya Simunul yang telah menimbulkan ketakutan kepada penduduk sejak Jumaat lepas.

Hadirsama sempena tinjauan premis itu Pegawai Daerah Semporna merangkap Pengerusi  JK Keselamatan Daerah, Abdul Mohd.Ibnu A.K.Baba; Ketua Daerah Semporna DUN Senallang, OKK Musa Sabaani; Ketua Daerah DUN Sulabayan, Datuk Malali Mali; Ketua Masyarakat Cina Zon Bandar, Kapitan Ong Hang Seng dan Pengerusi JKDB, Teo Teng Yung.

Nasir berkata, memang tidak hairan ada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk memburukkan lagi keadaan dan supaya rakyat takut untuk mereka senang menabur fitnah dan mengelirukan pemikiran rakyat.

Katanya, penduduk tidak perlu risau dan panik kerana pasukan keselamatan sentiasa melaksana tugas dan tanggungjawab mereka demi kedaulatan Negara dan kesejahteraan rakyat.

Sempena tinjauan itu kebanyakan peniaga sudah mula membuka premis perniagaan mereka dan orang ramai kembali menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Dalam masa yang sama, program penyampaian BR1M 0.2 yang dijadualkan pada pagi itu diteruskan di Dewan Masyarakat Semporna serta dikendalikan oleh Jawatankuasa khas dan Pemimpin Kemajuan Rakyat DUN Senallang, Haji Tahir Amir dan sebahagian penerima berpusu-pusu menunaikan baucer mereka di premis kewangan.

Dato Sri Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan senallang yang sering berada di kawasannya dan baru selesai  mengadakan Majlis Bersama Rakyat  & Penyampaian Kad Pengesanan Pengundi di beberapa zon Senallang  sempat  bersama-sama  Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merasmikan Jambatan Lihak-Lihak; sebelum mendengar taklimat keselamatan oleh Ketua Polis Daerah di IPD Semporna semasa insiden itu sehingga selesai dan turut bergegas ke Lapangan Terbang Tawau bersama Pegawai Daerah Semporna, A.M.Ibnu A.K.Baba menghadiri  upacara penghantaran jenazah mendiang KCKD Michael Ak Padel; Allahyarham Supt.Ibrahim Lebar; Lans Kpl.Mohd Azrol Tukiran.

Sehubungan itu Nasir juga turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden Kampung Sri Jaya, Simunul.

“Kita mengucapkan salam takziah kepada semua anggota keselamatan kita yang gugur semasa menjalankan tugas dan kita juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan yang dilakukan kumpulan pengganas yang tidak berperikemanusiaan itu sehingga mengorbankan anggota keselamatan kita,” kata Nasir dengan nada kesal.

No comments:

Post a Comment