Monday 21 March 2011

KRISDAYANTI RAKUS BERCIUM DALAM MASJID?



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PERBUATAN umat Islam menjadikan masjid sebagai tempat majlis Ijab Kabul (pernikahan) adalah bercanggah dan menyimpang daripada sunnah Rasulullah.

Ahli Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh menegaskan bahawa Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.

“Walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah, namun ia berpunca daripada kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini,” ujar Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tegas Ahmad lagi, kesanggupan seorang lelaki yang turut berada dalam masjid untuk mengahwini wanita itu menyebabkan Rasulullah melakukan akad nikah dalam masjid.

“Tetapi lebih baik akad nikah dilakukan di rumah pengantin atau di tempat awam bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini sehingga mencemar kesucian masjid,” kata Ahmad lagi.

Pesanan Ahmad wajar dikuatkuasakan oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri masing-masing dan Majlis Fatwa Kebangsaan hendaklah mengeluarkan fatwa bagi membolehkan agama Islam terpelihara dan tidak meniru amalan mana-mana agama.

Kelmarin dunia digemparkan dengan berita penyanyi Indonesia, Krisdayanti yang berkucup di khalayak ramai dengan suaminya di dalam masjid selepas majlis akad nikah dan memakai pakaian yang menjolok mata sehingga mencemarkan kesucian Islam yang syumul.

Diva Indonesia tersebut dan kekasihnya Raul Lemos menyempurnakan kisah percintaan mereka dengan ikatan pernikahan pada satu majlis yang sederhana di Masjid Sahid Nurul Iman, Hotel Grand Sahid Jaya, Jalan Sudirman, Jakarta Pusat, Ahad.

Mereka dinikahkan bapa Kris, Trenggono dengan disaksikan oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Tri Sutrisno yang mewakili Kris dan Arif Abdullah Saga, wakil Raul dan selepas akad nikah, pasangan pengantin baru itu terus mempamerkan kemesraan melalui kucupan bibir di hadapan para tetamu.

Ini adalah pernikahan kedua bagi kedua-dua pasangan itu setelah rumah tangga mereka sebelum ini gagal.

Kris merupakan bekas isteri penyanyi dan komposer ternama Anang Hermansyah, manakala Raul, seorang usahawan dari Timor Leste pula gagal dalam rumah tangganya sebelum ini dengan Silvalay Noor Athalia atau mesra dengan panggilan Atha.

Kisah percintaan Kris dan Raul diwarnai dengan pelbagai halangan kerana sebelum bercerai dengan Raul, Atha pernah melemparkan tuduhan bahawa Kris adalah perosak rumahtangganya, namun halangan itu berakhir setelah Raul sah bercerai dengan Atha pada 21 Dis tahun lalu.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Harapan dan doa saya rumah tangga saya kali ini akan lebih rukun dan damai serta dirahmati Allah,” kata Kris pada sidang akhbar bersama suaminya sejurus selepas majlis pernikahan.

Pasangan mempelai itu juga menemui orang tua masing-masing untuk mendapatkan restu. Ibu Raul, Esmeralda yang kini menetap di Lisbon, Portugal turut hadir memberi restu kepada anak dan menantunya.

Majlis pernikahan Kris dan Raul dihadiri kira-kira 100 orang yang terdiri daripada kaum keluarga serta rakan-rakan terdekat pasangan itu termasuk artis-artis popular Indonesia seperti Rossa, Iis Dahlia dan Desi Ratnasari.

Majlis resepsi perkahwinan mereka dijadual di Hotel Mulia, Senayan, Jakarta, pada Jumaat ini, iaitu sehari selepas hari ulang tahun kelahiran Kris Dayanti.

Di Malaysia, amalan Ijab Kabul telah lama dijalankan masyarakat Islam di Negara ini namun belum ada tegahan atau pemantauan yang dilakukan oleh mana-mana pihak berkuasa agama sekalipun pakaian pengantin ketika akad nikah dijalankan tidak mengikut syariat Islam.

No comments:

Post a Comment