Oleh: MAIL MATHEW
KECELUPARAN pemimpin PBRS semakin terserlah apabila mereka berusaha mengetengahkan isu yang kurang relevan kepada kepentingan rakyat Sabah, sedangkan isu pemberian Kad Pengenalan dan kerakyatan kepada kira-kira 600,000 PATI di Sabah, pemimpin-pemimpin parti itu termasuk Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup lenyap tidak bersuara.
Malahan PBRS seolah-olah telah ketandusan isu untuk disajikan kepada rakyat mereka di kawasan Parlimen Pensiangan kerana selama ini PBRS boleh diibaratkan sebagai Harimau mengaum, namun tidak berupaya membaham mangsanya kerana tiada gigi dan taring.
Ketua Pergerakan Pemuda SAPP Pedalaman, Rudy Sulaiman Mairi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup yang meminta kerajaan mengambil tindakan kepada Timbalan Speaker DUN Sabah daripada pembangkang, Datuk Frankie Chong supaya kuota jawatan itu dikembalikan kepada PBRS (sebelum itu jawatan tersebut disandang oleh Datuk Andrew James Vitalis Setiausaha Agung PBRS sebelum berpindah ke PBS).
Selain itu tegas Rudy, kelibat PBRS seumpama ‘cacing kepanasan’ sudah ada suatu petunjuk bahawa PBRS sudah tidak mendapat tempat dalam BN malah semakin mengecil saiznya, kerana kerusi PBRS setakat ini, hanya 1 Parlimen dan 1 Adun.
PBRS harus muhasabah diri sebab PBRS hanya ada segelintir ahli di kawasan Sook dan Nabawa, manakala di kawasan lain ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’, maka wajarlah kedudukannya pada hari ini.
PBRS kehilangan Timbalan Speaker adalah disebabkan bekas Timbalan Speakernya Datuk James Vitalis hilang kepercayaan terhadap PBRS dan berpindah parti ke PBS membawa bersama jawatan Timbalan Speaker pada ketika itu, jika PBRS ingin menuntut kuotanya ia harus ambil daripada PBS yang terus menyandang itu sekarang.
Tegas Rudy lagi, Tan Sri Joseph Kurup seorang veteran politik dan Peguam seharusnya tahu apakah hak dan kedudukan seorang Timbalan Speaker setelah dilantik oleh TYT kerana Timbalan speaker bukan jawatan Eksekutif sebaliknya ia adalah jawatan Perundangan/ Legislative.
Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak semestinya semua Adun berada di pihak kerajaan, biasanya ada juga ahli pembangkang. Perlantikan Timbalan Speaker bukan dipilih di DUN, maka sebab itu ia tidak boleh diambil tindakan sewenang-wenangnya tanpa alasan yang kukuh berdasarkan kepada lunas undang-undang.
Hanya TYT boleh melucutkan jawatannya dengan sebab-sebab tertentu mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negeri Sabah.
Timbalan Speaker sekarang daripada pembangkang adalah pilihan dan haknya berpolitik seperti juga Timbalan Speaker yang satu lagi, di pihak BN adalah kerana masing-masing tergolong haknya di dalam sistem demokrasi. Mungkin Kurup sudah termaklum perkara ini, tetapi pura-pura tidak tahu.
Dalam menyempurnakan amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini, Kurup harus berpegang kepada prinsip-prinsip RUKUN NEGARA, di antara lain menyebut; Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.
“Apakah Tan Sri Kurup hanya mahu pertikaikan berpandukan prinsip politik dan tidak kepada perlembagaan dan undang-undang seperti disebut dalam Rukun Negara?”
Jika Kurup hanya ingin berpegang kepada prinsip politik, maka dia juga harus letak jawatan sebab Kurup bukan dipilih oleh rakyat Pensiangan tetapi dia mendapat kedudukan MP melalui Mahkamah. Demikian juga Adun-Adun yang lompat parti dari segi prinsip politik mereka juga harus letak jawatan.
Pada satu ketika, negeri Sabah dan negeri Perak pembentukan kerajaan BN menerusi beberapa Adun yang berpindah parti (melompat parti atau ‘Katak’) maka kerajaan berkenaan adalah kerajaan yang tidak bermoral dan juga harus dibubarkan jika berdasarkan prinsip politik yang dibangkitkan oleh Tan Sri Kurup.
“Jadi apakah pendirian Tan Sri Kurup dalam hal sedemikian? Jika beliau juga akur kepada undang-undang dan perlembagaan maka PBRS harus juga hormat perlantikan Timbalan Speaker oleh TYT. PBRS harus berhenti memutar belitkan hak dan kedudukan Datuk Frankie Chong sebagai Timbalan Speaker,” tegas Rudy lagi.
Rakyat sudah sedar bahawa PBRS jelas menggelabah kerana telah tergugat dengan kehadiran SAPP di kawasan Pedalaman yang semakin mendapat sambutan yang hangat termasuk kawasan Parlimen Pensiangan kerana Kurup bakal dicabar oleh seorang cendikiawan muda dan anak jati Pensiangan.
Tan Sri Kurup sudah jadi wakil rakyat (DUN) Sook selama 26 tahun dan kini Ahli parlimen mewakili Pensiangan, apakah yang telah dilakukannya dengan jalan raya Sook ke Sinua; Jalan ke Dalit dan banyak lagi kampung-kampung di Kawasan Sook; sedangkan yang terdekat seperti Jalan Skim Biah dan Jalan Kuala Biah yang terdekat dengan Pekan Keningau pun belum diaspal tidak ubah seperti jalanraya ‘cowboy’.
Kemudahan asas lain tidak perlu disebut satu persatu kerana memang jauh ketinggalan daripada janji-janji yang pernah Kurup taburkan sebelum beberapa pilihanraya lalu.
Konklusinya tambah Rudy, Tan Sri Kurup dan Datuk Ellron telah gagal menjadi wakil rakyat yang efisyen dari Satu Rancangan Malaysia ke satu Rancangan Malaysia hinggalah ke RMK10 janji-janji pilihanraya masih belum ditunaikan.
PBRS sepatutnya menumpukan perhatian serius untuk membangunkan rakyat di kawasan Sook dan Pensiangan dan bukan ‘membuat bising’ mengejar jawatan sahaja; maka pastinya dengan kehadiran SAPP di kedua dua kawasan tersebut, maka PBRS akan tergugat pada PRU13.
boleh tahan saudara merapu. PBRS hanya menuntut jawatan yang di kuotakan pada nya. Sejarah SAPP bukannya boleh dibanggakan. hanya kerana tidak mendapat apa yang diinginkan oleh presiden seperti jawatan senator, terus berpaling tadah dan bising di luar.
ReplyDeleteSilalah datang ke Sook dan Pensiangan untuk melihat pembangunan yang dibawa oleh kerajaan. Kawasan Sook bukan kawasan bandar seperti mana kawasan SAPP.ini kawasan luar bandar berbukit bukau berselang seli baru ada penduduk.
Pembaikan Rumah Panjang bernilai RM2.2 juta pada tahun lalu, Klinik Kesihatan RM23 juta, Loji Air Nabawan RM24 juta adalah antara yang dibelanjakan ke atas P182 Pensiangan. Sook/Pensiangan lebih baik dari dulu.
PBRS tidak gentar dengan mana2 pihak pembangkang, kerana rakyat tahu siapa PBRS dimata mereka.