Monday 21 March 2011

PAKATAN NAFI ANWAR TERLIBAT



Oleh: SHANNON TEOH DAN ASRUL HADI ABDULLAH SANI

PAKATAN Rakyat (PR) menafikan lelaki yang didakwa dalam rakaman video, melanggan seorang pelacur di sebuah hotel di ibu negara akhir bulan lalu sebagai Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini (rakaman) video Anwar yang direka,” kata pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Ia bukan Datuk Seri Anwar. Ini satu lagi usaha Barisan Nasional (BN) untuk memberi persepsi umum bahawa beliau seorang yang tidak bermoral, yang tidak layak untuk menerajui negara ini,” kata anggota biro politik PAS, Khalid Samad

Naib presiden PKR Chua Tian Chang juga mendakwa BN semakin terdesak, “beralih daripada isu-isu besar seperti pilihan raya dan dasar kepada serangan peribadi.”

Pagi tadi, seorang lelaki yang menamakan dirinya ‘Datuk T’ mempertontonkan rakaman video menunjukkan seorang pemimpin kanan PR sedang mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita, dipercayai pelacur asing dari China.

Video 21 minit itu, dalam empat segmen, menggambarkan pemimpin tersebut yang juga seorang Ahli Parlimen mengadakan hubungan seks di sebuah hotel di sini, dilihat akan menggegarkan arena politik negara sekali lagi.

Ia yang dirakamkan pada 21 Februari lalu dipertunjukkan kepada media di sebuah hotel di sini pagi ini.

Menurut Datuk T, beliau mahu media menonton rakaman tersebut sebelum dia menghantarkannya kepada pemimpin berkenaan dan isterinya.

Malah katanya, jika pemimpin politik itu mengenal pasti dia adalah tuan punya diri dalam rakaman tersebut, maka dia dan isterinya harus meletakkan jawatan.

Datuk T mendakwa lelaki dalam rakaman video itu bukan seorang yang bermoral tinggi dan oleh itu, tidak layak bertindak sebagai pemimpin.

Dalam satu kenyataan yang turut diedarkan kepada media, yang tertera nama pemimpin tersebut, dikatakan bahawa ahli politik tersebut pergi ke hotel yang menawarkan khidmat seks dan kemudahan SPA.

Selepas pemimpin itu meninggalkan hotel, dia sedari bahawa dia tertinggal jam tangan jenama Omega di bilik dia memperoleh khidmat seks.

“Saya diminta mendapatkan jam tangan di bilik tersebut. Oleh kerana saya tidak nampak jam tangan pada meja, saya memeriksanya di belakang tempat persolekan. Saya terkejut melihat banyak wayar di belakangnya,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, wayar berkenaan disambungkan ke CCTV yang kemudiannya didapati merakamkan hubungan seks pemimpin itu dengan pelacur tersebut.

No comments:

Post a Comment