Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
PERGERAKAN Pemuda UMNO
Bahagian Libaran yang merupakan sayap kanan dan tunjang kekuatan perjuangan
UMNO Bahagian Libaran disaran supaya mengembleng tenaga menyusun jentera
gerakan pilihanraya di cawangan masing-masing agar siap siaga menghadapi PRU 13
yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.
Pemuda juga merupakan
benteng pertahanan terakhir kepada kubu UMNO di setiap sudut. Sehubungan itu
harus mempunyai semangat perjuangan yang kental sebagai Hulubalang yang akan
menumpaskan musuh-musuh politik; sekaligus memastikan UMNO terus mendominasi
politik Malaysia.
Ahli Parlimen Libaran yang
juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Libaran, Datuk Hj Juslie Ajirol berkata
demikian ketika berucap di Majlis Konvensyen Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Libaran
yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman yang tidak
dapat hadir kerana berada di Kuala
Lumpur.
"Sebagai Sayap Kanan
Parti, Pemuda UMNO harus membantu kepada pemimpin-pimimpin Bahagian untuk
menangkis segala tohmahan-tohmahan yang berbentuk fitnah dan hasutan yang
dilemparkan kepada UMNO/BN oleh parti-parti pembangkang,” ujarnya.
Kata Juslie lagi,
pemimpin-pemimpin pembangkang seperti PKR, PAS dan STAR mulai beransur-ansur masuk
kampung keluar kampung untuk menemui rakyat sambil menyebar pelbagai propaganda;
termasuk memaki hamun dan memfitnah pemimpin UMNO dan Kerajaan BN semata-mata
melariskan 'politik kosong mereka'.
"Dalam keadaan
sekarang, siapa lagi yang mahu sokong PKR kerana cakap sahaja besar. Janji sana,
janji sini untuk merobah sistem pentadbiran negara dan merampas Kerajaan Negeri
Sabah daripada BN; tetapi nampaknya mereka masih bermimpi di siang hari,"
ujar Juslie yang mengingatkan agar Pemuda UMNO tidak mudah lupa diri atau
menyertai pembangkang setelah berada di dalam kepuk emas BN.
Dalam pada itu, Timbalan
Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee; tokoh
yang memang tidak asing lagi di kalangan para pemimpin UMNO Pusat kerana merupakan
seorang pemimpin dinamik; telah mengupas sedikit sebanyak mengenai isu-isu
semasa antaranya mengenai perkara 20 yang sering dilaung-laungkan oleh
pembangkang; sedangkan pada hakikatnya sudahpun terbatal dan tidak boleh diguna
pakai lagi di dalam negara yang telah merdeka ini.
Begitu juga kata, Ronald
mengenai RCI dan NCR hanya perkara kecil sahaja dan tidak lagi relevan kerana
menurut undang-undang selapas 1930 tidak ada lagi tanah NCR; malah orang
Semenanjung berhak memiliki tanah-tanah yang ada di Sabah kerana mereka juga
sebahagian daripada rakyat Malaysia.
Mengenai jawatan-jawatan
tinggi di dalam jabatan kerajaan Negeri dan persekutuan yang dipegang oleh
orang Semenanjung; tidaklah perlu dipertikaikan kerana mereka juga rakyat
Malaysia.
"Kita harus ingat
slogan 1Malaysia. Kalau boleh kita galakkan lagi ramai orang Semenanjung berhijrah
ke Sabah kerana kita sedar kalau bukan jasa Kerajaan Persekutuan, Sabah tidak
membangun seperti sekarang," ujar Ronald lagi.
Konvensyen Pemuda UMNO
Bahagian Libaran yang diadakan di Dewan Masyarakat Bandar Jaya Batu 8 Jalan Labuk
telah dihadiri lebih 600 orang yang datangnya daripada ahli-ahli komponen BN iaitu
PBS, UPKO, LDP, MIC, MCA dan PBRS.
No comments:
Post a Comment