Oleh : NASPAZI
KITA sedang diambang persada zaman ribuan juta tahun waktu muka, saya dan semua warga Konfederasi Malaysia yang hidup dan bernafas hari ini pasti musnah untuk menjadi purba; dan hanya jika penting, bakal disebut dalam sejarah.
Pada dasarnya, semua orang menganggap dirinya penting. Oleh sebab itu, ribuan bentuk perangai ganjil dan aneh yang muncul di kalangan baka baru negara Konfederasi Malaysia bagi mempamerkan kehebatan atau kehandalan diri mereka kononnya yang hanya berlegar di lapangan yang sempit atau di arena yang salah.
Justeru, mereka yang merasakan diri mereka hebat atau handal; sepatutnya mereka mempamerkannya di khalayak sukan antarabangsa atau di khalayak sukan Olimpik, agar kehebatan atau kehandalan mereka bukan sahaja dapat dibuktikan kebenaran atau kesahihannya, bahkan dapat mengharumkan nama negara di persada dunia.
Malangnya, apa yang pasti adalah sebaliknya. Arena sukan Olimpik merupakan piawai sukan antarabangsa yang diadakan semula dalam era sejarah moden dunia buat pertama kalinya pada tahun 1896 di Athens; dan yang terbaru pada tahun 2008 di Beijing, namun warga Konfederasi Malaysia masih bankrap Pingat Emas Olimpik.
Demikian juga dalam arena Formula 1, MotoGP dan bola sepak, warga Konfederasi Malaysia belum pernah berada dalam kelompok negara elit yang menjadi juara piala dunia. Tegasnya, apakah makna dan guna berlagak laksana masyarakat negara maju? Pada hal, aras pemikiran masih dalam penjara tempurung dunia ketiga!
Sehubungan dengannya, adalah menjadi tanggungjawab terpenting dan cabaran terbesar kerajaan negara yang diangkat oleh kuasa besar undi rakyat, untuk membangun semula rakyat dalam pelbagai tata kehidupan sesuai dengan standard kemampuan pemikiran rakyat, termasuklah dalam bidang ekonomi, pendidikan, sukan dan teknologi.
Demikianlah bentuk pemerintahan terbaik yang diperlukan oleh rakyat dalam konteks membangun negara sesuai dan seiring dengan keperluan dan kemampuan pemikiran rakyat, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh arus kebangkitan Korea Selatan.
Badai Sial Imperialism Melayu UMNO
Sesungguhnya, pembentukan Konfederasi Malaysia pada 16 September 1963, tentunya demi kedaulatan dan kesentosaan warga yang terlibat (Sabah, Sarawak dan Malaya). Namun begitu, pada hakikatnya adalah sebaliknya. Lantaran itu, yang ternampak berdaulat dan sentosa dalam Konfederasi Malaysia hanyalah melayu UMNO.
Manakala, Sabah dan Sarawak sekadar menjadi barua kuda tunggangan melayu UMNO sebagai warga arrogant yang sentiasa menganggap dirinya super yang boleh memperbodoh Sabah dan Sarawak, sehingga perjanjian yang membentuk Konfederasi Malaysia dilanggar dan dicabul sesuka hati.
Untuk itu, salah satu watak utama yang jelas kelihatan menyerlah dalam diri dan minda melayu UMNO adalah sifat menggertak dan serakah, berbohong dan memfitnah, memutar dan memusing aspirasi murni Konfederasi Malaysia bagi mewajarkan standard Sabah dan Sarawak dijatuhkan sebagai negeri dengan mengadaptasikan identiti Persekutuan Malaya 1957 menjadi identiti Konfederasi Malaysia 1963. Yang demikian, kebangkitan rakyat Sabah dan Sarawak menjadi kewajaran bagi menuntut keadilan dan kedaulatan bersama dalam konteks negara Konfederasi Malaysia.
Justeru, cabaran terbesar warga Malaysia Timur adalah membina pasukan pemimpin standard negarawan antarabangsa untuk memimpin rakyat mencabut akar kezaliman, pengkhianatan dan seterusnya menggulingkan regim durjana melayu UMNO di Sabah, hatta seantero Konfederasi Malaysia, disamping mendirikan pemerintahan autonomi wilayah Borneo.
Salah satu formula utama yang dapat dibayangkan, yang boleh membantu kedaulatan autonomi wilayah Malaysia Timur adalah visi bangsa Borneo bermasyarakat dan bernegara dengan kemampuan pemimpin yang dinamik dan komprehensif dalam memahami watak keparat melayu UMNO dulu, kini dan selamanya sebagai badai sial yang telah menghancurkan perjanjian pembentukan Konfederasi Malaysia.
Mengapa warga Malaysia Timur amat memerlukan pemimpin yang dinamik dan komprehensif? Jawapannya adalah bagi memungkinkan warga Malaysia Timur mampu dibawa mendepani cabaran kearifan sebagai pemimpin dengan rasa tanggungjawab mengemudi rakyat Borneo ke mercu kedamaian dan kesentosaan dalam bermasyarakat dan bernegara yang berdaulat dan merdeka dengan kewaspadaan tinggi untuk mencapai puncak kebahagiaan, kesempurnaan dan kehidupan yang lebih baik, sebagaimana warga Brunei dan Singapura.
Tegasnya, Malaysia Timur tidak memerlukan sejenis pemimpin yang hanya bernafsu besar untuk menjadi pemimpin, tetapi tidak mampu berfikir besar sebagai negarawan atau wibawa sebagai ‘Internationally minded’.
Sabah adalah sebuah negara; sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Justeru, hendaknya kedaulatan Sabah sebagai sebuah negara yang merdeka dihormati dalam konteks keadilan atau keseimbangan bermasyarakat dan bernegara dalam Konfederasi Malaysia.
Jika tidak, nescaya ‘Declaration of North Borneo Independence’ pada 31 Ogos 1963 bagaikan mimpi agung yang kosong seorang hamba abdi yang begitu merindui kebebasan diambang nazak menanti ajal.
John Stuart Mill (1806–1873), pernah menjelaskan bahawa, kerajaan sesebuah negara adalah pantulan dari standard pemikiran warganya. Justeru, dikatakan bahawa pimpinan UMNO perasuah, penipu dan pembohong.
Dengan kata lain, kerajaan melayu UMNO bukan dibentuk oleh rakyat, tetapi oleh penipuan dan pembohongan melayu UMNO melalui pembelian undi ke atas pengundi dan undi pos yang dibantu sepenuhnya oleh instrumen negara seperti polis, media dan SPR!
Apa yang menjadi kemungkinan adalah, jika pimpinan melayu UMNO menipu dan membohong dalam proses mencapai kuasa, sudah tentulah mereka menipu dan berbohong dalam proses menggunakan kuasa yang mereka capai dari hasil penipuan dan pembohongan sebelumnya.
Sabah dan Sarawak digabungkan atau dikonfederasikan dengan Malaya menjadi Malaysia pada 16 September 1963. Kalau begitu, Malaysia bukan Malaya, demikian juga dengan Malaya yang bukan Malaysia.
Tetapi, sarjana agung dalam menipu (melayu UMNO) telah convert Malaysia 1963 kepada Malaya 1957, sehingga seluruh identiti Malaya telah menjadi identiti Malaysia. Dengan kata lain, Malaya tiada lagi identiti sebagai sebuah negara (1957-1963) setelah digabungkan atau dikonfederasikan dengan Sabah dan Sarawak menjadi Malaysia!
Namun begitu, sesudah Sabah dan Sarawak digabungkan atau dikonfederasikan dengan Malaya, lantas Sabah dan Sarawak bagaikan hanya keluar dari imperialism British untuk masuk ke dalam imperialism Malaya.
Dengan kata lain, pencabulan melayu UMNO terhadap 20 Perkara adalah ancaman terbesar terhadap keamanan dan kesejahteraan Sabahan bermasyarakat dan bernegara.
Oleh itu, hanya kuasa keramat undi Sabahan yang mampu menjadi penentu kehancuran sikap imperialism dan pengkhianatan melayu UMNO terhadap Malaysia Timur.
Justeru, seluruh intelektual Sabah mesti bersatu dan serentak bangun untuk mengembangkan sayap-sayap kesedaran demi mempertahankan segala hak Sabahan dalam urustadbir negara Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).
Sesungguhnya pemerintahan tamak dan ketidakadilan yang dilakukan ke atas Sabahan oleh melayu UMNO mesti dihentikan. Melayu UMNO dan Sabahan sama-sama dilahirkan bogel dan tiada meterai (seal) hina atau mulia.
Sama-sama tidak dicipta oleh Tuhan hanya untuk menjadi badut, tidak juga diberi akal hanya untuk berbohong, dan bukan untuk menjadi orang yang hanya untuk diperbodoh.
Sementelahan, Sabahan bukan lahir ke dunia hanya untuk menjadi hamba, kemampuan berfikir bukan untuk menerima penipuan, dan bukan juga untuk menjadi orang bodoh kepada melayu UMNO.
Dengan ungkapan lain, tiada ruang bagi melayu UMNO untuk mendabik dada sebagai pentabir negara yang terbaik di dunia atau tidak lebih baik berbanding urustadbir negara Singapura.
Singapura dua tahun berada dalam Konfederasi Malaysia (1963-1965). Tatkala naluri dan firasat pimpinan negara Singapura menjangkakan bahawa, pimpinan melayu UMNO menyeleweng dari tatacara urustadbir Konfederasi Malaysia sebagai gabungan 4 negara, lantas negara Singapura mencari akal dan helah untuk keluar dari Konfederasi Malaysia.
Kini, Singapura dalam kelompok negara maju dengan sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia. Akhirnya, di mana maruah Malaysia?
Pada hal, Singapura dari segi sumber hasil bumi tiada apa berbanding dengan Konfederasi Malaysia. Dalam pada itu, Malaysia serba serbi ketinggalan dengan Singapura. Gross Domestic Product (GDP) atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) contohnya, Konfederasi Malaysia (US dollar) $8,423, sedangkan Singapura (US dollar) $43,117. Sebab itu, gaji pegawai biasa di Singapura sekitar (Singapore dollar) $7,000 sebulan. Sekali lagi, di mana maruah Malaysia?
Badai Sial Fitnah Melayu UMNO
Keadilan itu bersifat universal, pemimpin yang adil adalah pemimpin yang menghargai kemanusiaan. Namun begitu, dihadapan mahkamah sejarah melayu sendiri membentangkan betapa, Tun Mutahir sekeluarga telah mati dibunuh pada tahun 1510 angkara fitnah Raja Mendeliar Kutty dan Si Kitol Kutty yang kononnya Tun Mutahir hendak merampas kuasa takhta Sultan Mahmud Shah.
Demikianlah agungnya fungsi fitnah dalam tasawwur atau weltanschauung melayu bermasyarakat dan bernegara dulu dan kini dalam pelbagai bentuk dan wajah fitnah baru tanpa kejahatan-kejahatan dari masa lampau yang terkutuk itu diakhiri.
Rentetan dari kesinambungan fitnah dalam sejarah masa silam melayu, maka menjelang fajar baru 1998 menjelma, lantas ‘50 Dalil Anwar Tak Layak Jadi PM’ dilancarkan, sekaligus menjadi instrumen kepada pemecatan, penderaan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim dalam era sejarah moden negara pada 2 September 1998 yang berhubung dengan fitnah ‘Liwat I’ sebagaimana kenyataan Mahathir di khalayak wartawan antarabangsa termasuk Newsweek.
“I had disbelieved the ‘Homosexuality’ charges at first but was convinced when I personally interviewed Anwar’s partner. They had not only performed ‘Sodomy’, but during the process, he was… I don’t know how you call it… he was ‘Masturbating’ this man. Do I go around town and tell the world that this is what my deputy was doing?”
Walau bagaimanapun, selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampok pemerintahan negara, Anwar Ibrahim dibebaskan pada 2 September 2004 setelah Mahkamah Persekutuan menimbangkan rayuan beliau, lantas membatalkan sabitan dan hukuman yang berhubung dengan kes (Liwat I-1998) yang ditimpakan atau dipaksakan ke atas beliau dengan begitu kejam atau jijik oleh para gerombolan panglima fitnah dubur keris bersilang songkok tinggi melayu UMNO di era pimpinan regim Mahathir.
Kini, di bawah gelombang pertikaian yang berpanjangan, pemimpin fitnah melayu UMNO yang berhubung dengan lubang dubur Saiful Bukhari Azlan 2008 dan video seks pornografi boroi Datuk T, sedang melanda dan bakal mewarnai fajar baru arus sejarah dunia melayu waktu muka, tanpa wujud sedikit perasaan aib dan malu kepada negara-negara jiran dalam lingkungan Association Of South East Asian Nations (ASEAN) seperti Brunei dan Singapura yang hidup aman damai dan sentosa, dan akhirnya, takkan hilang fitnah melayu di dunia!
Badai Sial Sistem Pendidikan Melayu UMNO
Sesungguhnya sistem dan model pendidikan melayu UMNO sekarang sarat dengan kepalsuan, penipuan dan pembodohan khususnya yang berhubung dengan sejarah pembentukan Malaysia, dan akhirnya mereka akan menelan kepalsuan, penipuan dan pembodohan mereka sendiri.
Tatkala itu ranking sistem pendidikan terbaik dunia dan ranking universiti terbaik dunia sebagaimana yang dikeluarkan oleh THE Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) comprehensive world education ranking report dan THE World University Rankings 2011-2012 anjuran Times Higher Education (THE), yang mana Malaysia tiada dalam ranking sistem pendidikan dan universiti terbaik dunia.
Justeru, betapa sistem pendidikan melayu UMNO sekarang dan selamanya tidak bertujuan untuk melahirkan orang yang pintar, tetapi hanya untuk melahirkan orang yang boleh mereka perbodoh.
Oleh itu, sistem politik dan pendidikan melayu UMNO lambat laun akan membuatkan warga Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menjadi orang yang bodoh seluruhnya.
Justeru, sistem pendidikan Sabah mesti dikeluarkan atau memisahkan diri dari sistem pendidikan mengarut melayu UMNO. Sementelahan, sistem pendidikan Sabah dan Sarawak tidak tertakluk kepada sistem pendidikan Malaya sebagaimana yang dinyatakan dalam perjanjian 20 Perkara point 15 jika tidak dikhianati oleh melayu UMNO bahawa, ‘Sistem Pendidikan Borneo (Sabah & Sarawak) yang sedia wujud hendaklah dikekalkan dan atas sebab ia haruslah terletak di bawah kuasa negeri (Sabah)’.
Badai Sial Birokrasi Melayu UMNO
Semenjak pembentukan Konfederasi Malaysia pada 16 September 1963, sistem gaji kakitangan awam negara adalah satu lapis yang telah berjalan dengan baik sehingga 1991. Kemudian, Sistem Saraan Baru (SSB) diperkenalkan untuk menggantikan sistem gaji satu lapis kakitangan awam pada 1 Januari 1992.
Manakala Sistem Saraan Malaysia (SSM) pula diperkenalkan untuk menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1 November 2001. Sesungguhnya, kedua-dua sistem tersebut kononnya bertujuan untuk menilai prestasi pekerja kakitangan awam, termasuk menentukan kewajaran kenaikan pangkat dan gaji.
Justeru, zaman sekarang untuk mendapat kenaikan pangkat dan gaji yang tinggi, seseorang itu perlu pintar dan bijak menjilat, mengampu dan membodek Ketua Jabatan proksi melayu UMNO. Jika tidak, betapa baik, lurus, amanah, dedikasi dan berhemah sekalipun seseorang itu, amatlah sukar untuk mendapat ganjaran kenaikan pangkat tanpa perkenan Ketua Jabatan yang telah dijilat, diampu dan dibodek sebelumnya.
Dengan kata lain, sistem pengurusan negara melayu UMNO baru sarat dan sendat dengan pelbagai wajah dan bentuk birokrasi, Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang tentunya bertujuan untuk menjana kakitangan awam yang hebat dan perkasa dalam hal ehwal menjilat, mengampu dan membodek Ketua Jabatan ternakkan melayu UMNO, dan akhirnya seluruh negara akan ditadbir sepenuhnya oleh para penjilat, pengampu dan pembodek yang pintar dan bijak berpura-pura sebagai kakitangan awam yang ‘Berkhidmat Untuk Ketua’ bagi menggantikan ungkapan ‘Berkhidmat Untuk Negara’ sebelumnya.
Sehubungan dengannya, sesekali kita perlu merenung ungkapan bijaksana leluhur silam yang disampaikan oleh ‘Lao Tzu’ bahawa; “Dalam kerajaan, banyak larangan akan meningkatkan kemiskinan rakyat. Semakin banyak cara penambahan cukai dari keuntungan yang dimiliki rakyat, semakin besar masalah dalam negara dan bangsa. Semakin banyak tindakan bermuslihat yang dimiliki orang, semakin sering masalah aneh muncul; semakin banyak hukum diwartakan, semakin banyak pencuri dan perompak.” (Tao Te Ching 57:2)
Sebagai penutup, saya ingin sekali melihat gelombang kebangkitan warga Malaysia merempuh melayu UMNO dengan keberanian tinggi yang bermoral sebagai panglima, sebagaimana keberanian rakyat Tunisia, Mesir dan Libya merempuh kerajaan zalim negara mereka sehingga tumbang dengan penuh kehinaan akhirnya.
No comments:
Post a Comment