MERIAH… Jamawi (tengah bertopi) merakamkan gambar kenangan bersama para peserta yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Futsal Sekampung tersebut.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
GOLONGAN belia di Tenom menghargai keprihatinan kerajaan Barisan Nasional kerana menyediakan peruntukan untuk membina 150 gelanggang futsal tambahan bagi kegunaan masyarakat, terutama golongan muda dalam Bajet 2012.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom, Jamawi Jaafar berkata, pembinaan gelanggang tersebut akan menggalakkan generasi muda untuk melibatkan diri dengan aktiviti menyihatkan badan daripada membuang masa dengan kegiatan tidak berfaedah.
Menurutnya, dengan adanya kemudahan itu, lebih banyak pihak dapat menganjurkan pertandingan seperti Kejohanan Futsal yang bertepatan dengan aspirasi negara untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain, menyihatkan badan dan mengasah bakat belia dalam bidang sukan.
"Ia menjadi platform bagi golongan belia untuk beriadah dan menjalinkan hubungan kerjasama antara pemimpin belia di samping dapat mengisi masa terluang mereka daripada terjebak dengan aktiviti tidak bermoral,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Futsal Sekampung di Kampung Jawa, Melalap anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Jawa Melalap dan Biro Belia di Gelanggang Fustal, Pekan Tenom, pagi kelmarin.
Semasa Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi membina gelanggang Futsal tambahan agar matlamat ‘Satu Gelanggang, Satu Mukim’ tercapai.
Menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, pembinaan gelanggang fustal perlu juga ditumpukan di kawasan luar bandar, bagi memberikan peluang kepada belia luar bandar mengembangkan bakat serta potensi mereka dalam sukan futsal.
Dalam perkembangan yang sama, Jamawi juga berharap agar Jabatan dan agensi kerajaan menyusun program bagi membantu golongan belia mengisi masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah serta memberikan kebaikan kepada mereka.
Katanya, usaha bersepadu perlu dilakukan bagi sama-sama membantu mereka (belia) yang bermasalah keluar dari 'krisis' yang membelenggu kehidupan mereka.
Menurutnya, sebagai golongan remaja dan belia, sikap ingin mengetahui serta melakukan perkara-perkara yang menarik perhatian masyarakat menyebabkan mereka dilabel dengan pelbagai panggilan negatif.
"Kalau mereka minat dalam bidang sukan, bagaimana caranya untuk kita mendekati mereka dan memahami kehendak mereka. Begitu juga dengan bidang lain seperti permotoran dan aktiviti lasak. Tanggungjawab ini wajar dipikul bersama dan tidak terletak di bahu agensi yang berkaitan dan sebaliknya perlu diberikan perhatian oleh semua pihak," katanya.
Sehubungan itu, beliau memuji usaha yang dilakukan oleh JKKK Kampung Jawa Melalap dan Biro Belia yang berusaha menganjurkan kejohanan tersebut kerana menurut Jamawi, selain aktiviti riadah, dapat memperkukuhkan semangat perpaduan selaras dengan Gagasan 1 Malaysia.
No comments:
Post a Comment