Monday, 5 December 2011

CALON TIDAK TERPILIH JANGAN BERKECIL HATI



ANGGOTA parti yang tidak terpilih untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang harus akur dengan keputusan pucuk pimpinan dan tidak berkecil hati, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata khidmat atau perkhidmatan seseorang terletak pada penilaian dan setiap orang ada tempohnya.

"Dan bagi tempoh (khidmat)nya yang tidak lagi disambung, Alhamdulillah ia harus diiktiraf dan dihormati dan bagi tempoh yang disambung haruslah mereka itu berkhidmat dan memenangkan kawasan (yang ditandingi) dengan baik," katanya kepada pemberita di sini selepas merasmikan Pesta Sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2011 di Politeknik Merlimau, Melaka, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Barisan Nasional (BN) akan meletakkan lebih ramai calon muka baru di kalangan orang muda yang memenuhi kriteria calon boleh menang pada pilihan raya umum akan datang.

Najib pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Umno ke-62 di Kuala Lumpur malam kelmarin berkata langkah itu adalah keperluan bagi mengukuhkan barisan parti dan meletakkan Umno sebagai parti dinamik serta sedia membawa perubahan.

Menurut Rais sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri itu, calon yang boleh menang itu harus terdiri daripada mereka yang boleh diterima masyarakat.

"Kalau muda sahaja, tidak diterima masyarakat, bagaimana? dan kalau lama, tak diterima masyarakat, bagaimana?," tanya beliau.

Mengenai pemimpin tertentu yang menyuarakan hasrat untuk berundur dan tidak bertanding, Rais berkata terserah kepada diri masing-masing tetapi pemimpin berkenaan tidak harus menonjolkan diri dalam perkara itu.

"Yang penting harus akur kepada apa yang diputuskan sebab kita tak harus menilai diri sendiri, mesti orang lain yang menilai," katanya.

Mengenai pesta sukan itu yang berakhir Rabu ini, Rais yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berkata aktiviti sukan itu adalah untuk mengeratkan hubungan lebih 800 peserta seluruh negara yang menyertainya.

Sukan dwitahunan kali kesembilan itu bermula sejak 1995 dan sebanyak 11 acara dipertandingkan iaitu bola sepak, badminton, bola jaring, bola tampar, boling, dart, catur, karom, futsal, sepak takraw dan ping pong. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment