Oleh : FADZLI RAMLI
MALAYSIA antara negara
terbaik di dunia dalam menyediakan peluang serta kemudahan kepada rakyatnya,
justeru orang Melayu di Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang
tersedia itu.
Itulah pandangan beberapa
penduduk Melayu di Lingga, Riau, Indonesia yang ditemui Bernama.
Mohammad Salim, 51, dari
Pulau Benan, Lingga, berkata terdapat begitu banyak peluang, termasuk dalam
bidang pendidikan dan ekonomi, yang terhidang di depan mata yang disediakan
oleh kerajaan untuk rakyat Malaysia.
"Kami di sini tidak
mempunyai peluang sebanyak diperoleh orang Melayu di Malaysia, jadi jangan
duduk menunggu untuk disuap, orang Melayu di Malaysia perlu rebut peluang ini
bagi memajukan diri, masyarakat dan generasi seterusnya," katanya kepada
Bernama di Lingga.
Beliau yang bekerja sebagai
penternak ikan kagum dengan usaha yang dilakukan bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad selama lebih 20 tahun bagi memajukan bangsa Melayu di
Malaysia.
"Cerita kehebatan bapak
Mahathir memajukan bangsa Melayu di Malaysia meniti di bibir orang Melayu di
sini. Usaha beliau di peringkat antarabangsa telah membawa bangsa Melayu dikenali
di serata dunia.
"Bagi saya, bapak
Mahathir 'pemegang utuh' kata-kata Hang Tuah 'Takkan Melayu hilang di dunia!'
Bapak Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) juga tidak kurang
hebatnya, beliau mampu meneruskan usaha bapak Mahathir," kata Salim.
Ismail, 57, yang tinggal di
Pulau Mepar, Lingga berkata pendidikan merupakan peluang terpenting yang perlu
direbut masyarakat Melayu di Malaysia.
"Pelajaran ilmu ini ibu
bagi segalanya. Dengan adanya ilmu, orang Melayu mampu memegang segalanya daripada
ekonomi sehingga pentadbiran. Maka hargailah peluang menuntut ilmu di Malaysia.
"Di Malaysia banyak
pusat pembelajaran ilmu yang tinggi-tinggi, jadi orang Melayu di sana perlu
rebut peluang ini. Orang Melayu di sini sukar untuk dapat peluang belajar
tinggi seperti itu," katanya yang bekerja sebagai pemandu bot.
Umi Kalthom, 45, seorang
pegawai pelancongan berpesan supaya orang Melayu di Malaysia tidak melakukan
perkara yang mampu menjejaskan peluang yang diberikan kepada mereka.
"Saya lihat di kaca
televisyen ada terdapat demonstrasi berbaju kuning (Bersih 3.0, Sabtu lepas) di
ibu kota Malaysia. Apa yang menyedihkan saya ramai orang Melayu terlibat dalam
demonstrasi itu, malah ramai juga mahasiswa Melayu.
"Kita orang Melayu
bangsa yang lemah lembut juga sopan santun, kenapa kita gunakan kekerasan
seperti itu bagi mencapai apa yang dimahukan. Benar mereka mahu perubahan
tetapi demonstrasi bukan caranya," katanya yang tinggal di Daik, Lingga.
Ahmad Salleh, 48, yang
bekerja sebagai pemandu van teksi di Dabo Singkep, Lingga berpesan agar orang
Melayu di Malaysia tidak sekali-kali 'terlena' dengan kesenangan dan peluang
yang mereka peroleh.
"Jika kita sudah makan
kenyang, mudah bagi kita rasa mengantuk. Maka jangan sekali-kali kita 'terlena'
setelah 'kenyang' dengan kesenangan dan peluang yang kita dapat. Kita mesti
terus menerus berusaha," katanya.
Ketua Ekspedisi Jejak Jawi
III, Dalim Othman berkata orang Melayu di Malaysia perlu mencontohi orang
Melayu di Lingga yang masih berpegang teguh kepada adat serta budaya yang
menjadi pegangan kukuh kehidupan mereka.
"Adat dan budaya ini
mengajar mereka cara untuk hidup dengan berdisiplin bagi mengejar kehidupan
yang lebih baik bagi diri mereka dan keluarga mereka. Malah masalah sosial juga
amat kurang di sini.
"Namun ramai antara
kita di Malaysia melihat adat dan budaya ini hanya kepada tarian, muzik dan
pelbagai lagi ... bukan cara hidup. Kita telah lupa cara hidup ini dan perlu
diingatkan kembali," katanya.
Beliau berkata dengan cara
hidup yang berpegang kepada adat dan budaya, orang Melayu di negara mampu
mengorak langkah menjadi sebuah bangsa yang terbaik di dunia.
Ekspedisi Jejak Warisan Jawi
III selama lima hari bermula Rabu lepas menjelajah ke kepulauan Riau - Lingga
dalam usaha menjejak warisan tulisan Jawi, sejarah Melayu dan Islam di kawasan
kepulauan tersebut. (Bernama)
Semua rakyat perlulah memanfaatkan peluang untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.
ReplyDeleteDr. M, "Melayu mudah lupa".
ReplyDeleteKaum Melayu adalah majoriti di negara ini. Banyak keistmewaan untuk mereka. Jika mereka tidak tahu hargainya, ianya sangat merugikan.
ReplyDeletebyk peluang diberika kepada orng Melayu, mereka harus memanfaatkan peluang tersebut.
ReplyDeleteTersangat bergantung pun susah juga
DeleteKerajaan sudah bagi banyak kemudahan tapi rakyat saja yang kadang2 tidak tahu menghargai. sama juga macam PTPTN tu.
ReplyDeletePelbagai peluang ada diluar sana cuma kita tidak tahu bagaimana untuk menembusi peluang yang ada itu.
ReplyDeletePeluang yang ada gunakan sebaik mungkin.
ReplyDeleterakyat di negara asing pula yang memuji Malaysia, sedangkan rakyat sendiri terus berdemo menumbangkan kerajaan yang telah berjaya meletakkan Malaysia antara negara yang terbaik di dunia..
ReplyDelete