Wednesday 26 June 2013

AGONG MINTA PEMBANGKANG TERIMA PRU13






KUALA LUMPUR : Semua pihak harus menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13.

Seri Paduka bertitah ini kerana PRU13 telah diadakan mengikut lunas-lunas sistem demokrasi.

Kesemua 222 anggota parlimen hadir pada majlis tersebut termasuk kesemua 89 anggota pembangkang yang turut mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat semalam.

Anggota pembangkang sebelum ini mengancam untuk memboikot acara berkenaan kerana membantah keputusan PRU13 atas alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dan bebas serta berlaku curang.

Seri Paduka turut mengingatkan semua anggota parlimen supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menjurus kepada kemusnahan negara kerana ia membawa implikasi amat besar terhadap masa depan tanah air.

Seri Paduka bertitah sebuah negara yang tersungkur akibat sesuatu masalah mungkin mengambil masa yang panjang untuk pulih.

"Sebuah negara yang musnah akibat persengketaan atau mengalami kejatuhan ekonomi belum tentu dapat bangkit semula dalam tempoh yang singkat," titah Tuanku Abdul Halim.

Seri Paduka menggesa semua anggota parlimen supaya merapatkan saf, berganding bahu membangun dan memajukan negara.

"Beta ingin mengingatkan ahli-ahli Yang Berhormat sebagai ahli Dewan yang mulia ini agar menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara serta sentiasa memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," titah Seri Paduka seperti mana yang dilafazkan oleh anggota parlimen ketika mengangkat sumpah sebagai anggota dewan tersebut semalam.

Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan anggota parlimen supaya bersama-sama memikul amanah rakyat yang inginkan kestabilan dan kemakmuran negara berkekalan.

Dengan ini, titah Seri Paduka, kesejahteraan hidup terus meningkat, serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama semakin kukuh.

Yang di-Pertuan Agong berharap rakyat bekerjasama dengan kerajaan bagi membolehkan negara melangkah ke depan untuk mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Komitmen kerajaan dalam merealisasikan agenda transformasi nasional akan memanfaatkan segenap lapisan masyarakat baik dari segi ekonomi, sosial, keselamatan dan politik, titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap nilai-nilai akauntabiliti, integriti, pematuhan undang-undang dan tadbir urus yang baik.

Seri Paduka mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan jemaah menterinya kerana berjaya membentuk kerajaan selepas PRU13 pada 5 Mei lepas.

"Beta yakin kerajaan akan terus berusaha dengan gigih untuk membangunkan negara bagi mencapai matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," titah Seri Paduka.

Seri Paduka juga mengucapkan tahniah kepada semua anggota Dewan Rakyat dan berharap mereka akan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

Yang di-Pertuan Agong mahu mereka menunjukkan akhlak terpuji demi agama, maruah diri, institusi Parlimen yang mulia dan negara tercinta. (Bernama)

15 comments:

  1. Bukan saja menjadikan pembohongan sebagai “makanan ruji” hariannya, kini Anwar Ibrahim yang baru saja ditabalkan DAP sebagai Ketua Pembangkang telah mengampuhkan lagi serangannya bagi melemahkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di negara kita.

    ReplyDelete
  2. Terbukti sikap derhaka dan “Si Kitul”nya apabila dengan biadap dia menyatakan pada media bahawa titah DYMM Yang DiPertuan Agong pada ucapan pembukaan sidang Dewan Rakyat semalam disampaikan di dewan itu untuk dibahas dan bukannya arahan.

    ReplyDelete
  3. Sebelum ini, Anwar juga pernah menuduh DYMM Yang DiPertuan Agong seolah-olah menjadi boneka BN apabila baginda menitahkan sekalian rakyat supaya menerima keputusan PRU ke-13 dengan hati yang terbuka tanpa sebarang pertikaian.

    ReplyDelete
  4. Paling biadap, Anwar mendakwa bahawa teks titah DYMM Yang DiPertuan Agong itu disediakan oleh Pejabat Perdana Menteri dan baginda hanya perlu membacanya di hadapan rakyat.

    ReplyDelete
  5. Mujurlah Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menafi dan menegaskan bahawa titah baginda itu datangnya dari Istana Negara dan tiada kena mengena dengan Pejabat Perdana Menteri.

    ReplyDelete
  6. Pada saya, tuduhan dan pertikaian Anwar terhadap titah DYMM Yang DiPertuan Agong itu adalah satu kenyataan biadap yang cuba “diimplan” Ketua Pembangkang itu dengan tujuan supaya rakyat membenci dan memandang rendah pada institusi Raja-Raja Melayu.

    ReplyDelete
  7. Baru sehari dia mengangkat sumpah di dewan yang bernaung di bawah DYMM Yang DiPertuan Agong, hari ini dia (Anwar Ibrahim) sudah berkurang ajar, derhaka pada baginda.

    ReplyDelete
  8. Untuk pengetahuan Anwar, DYMM Yang DiPertuan Agong itu sudah dua kali ditabalkan ke jawatan tertinggi negara itu dan saya yakin baginda belum pernah jumpa seorang Ahli Parlimen sebiadap seperti Anwar Ibrahim dan konco-konconya. Apakah Anwar fikir DYMM Yang DiPertuan Agong tidak punya kuasa untuk menolak sebarang usul dari Perdana Menteri?

    ReplyDelete
  9. Sekiranya Perdana Menteri senaraikan sejuta usul sekalipun pada DYMM Yang DiPertuan Agong, tetapi baginda enggan bertitah mengenai usul-usul tersebut, saya yakin ia tidak akan dititahkan di dalam Dewan Rakyat.

    ReplyDelete
  10. Tiada siapa pun yang dapat memaksa DYMM Yang DiPertuan Agong bertitah mengikut telunjuk atau kemahuannya kerana baginda merupakan antara Raja-Raja Melayu yang berpengalaman dan bijak memikirkan masa depan Islam, bangsa dan negara.

    ReplyDelete
  11. Mungkin Anwar sengaja “menyerang” titah DYMM Yang DiPertuan Agong itu kerana hatinya tersinggung dengan sindiran tajam yang mahu semua pihak menerima keputusan PRU ke-13 tanpa sebarang pertikaian.

    ReplyDelete
  12. Mungkin hati Anwar terlalu pedih apabila memikirkan titah itu seolah-olah ditujukan tepat ke dahinya apabila baginda menyeru supaya tidak mempersoalkan kedudukan agama Islam bagi kepentingan mana-mana pihak.

    ReplyDelete
  13. Saya yakin, serangan Anwar terhadap institusi Raja-Raja Melayu tidak akan terhenti semalam sahaja. Dia akan lancarkan beberapa lagi serangan terhadap institusi “payung negara” itu dari masa ke semasa.

    ReplyDelete
  14. Kita sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada perlembagaan dan rukunegara wajar berjaga-jaga dengan propaganda “api kebencian” Anwar itu dan memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu tidak tercemar dan terus terpelihara kukuh dipersada negara. Daulat Tuanku!

    ReplyDelete
  15. keputusan PRu harus diterima dgn hati terbuka, ia adalah keputusan dibuat oleh rakyat

    ReplyDelete