Oleh: AZLINA ROSDY
TASEK GELUGOR : Bukan sahaja tidak logik dan tidak masuk akal,
rumah mampu milik di Pulau Pinang berharga RM400,000 adalah cara halus DAP menghalau
orang miskin dari negeri itu, demikian pandangan Ketua Wanita UMNO Bahagian
Tasek Gelugor, Datuk Jahara Hamid.
Menurut beliau, Kerajaan
Negeri Pulau Pinang hanya menggunakan nama ‘rumah mampu milik’ tetapi pada
hakikatnya harga yang ditawarkan jauh dari jangkauan rakyat.
“Mana mungkin rakyat
berpendapatan rendah dan sederhana mampu membeli rumah berharga sedemikian.
Kalau sudah berharga sampai RM400 ribu, ini bukan lagi rumah mampu milik, tetapi
rumah mampu mimpi. Bagaimana mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana
mampu membeli rumah harga sebegini.
“Golongan muda yang baru
bekerja dan baru berkahwin juga tidak akan mampu beli. Hanya mereka yang kaya
sahaja yang mampu beli. Malah saya melihat ini adalah salah satu strategi DAP
menghalau mereka yang berpendapatan rendah dari negeri Pulau Pinang.
“Mereka seakan mahu
menjadikan negeri ini hanya untuk golongan elit sahaja. Siapa yang tidak mampu
sila keluar dari negeri ini. Cara inikah mahu bantu rakyat…,” ujarnya kepada
UMNO-Online.
Tambah Jahara lagi,
seharusnya projek rumah mampu milik adalah sebuah projek yang membantu rakyat
kurang berkemampuan untuk memiliki rumah. Oleh itu projek sebegini tidak
seharusnya bermotifkan keuntungan kerana ia bagi memastikan keperluan
masyarakat dipenuhi.
“Namun, apabila harga tinggi
diletakkan, bagaimana mereka yang tidak mampu mahu memiliki rumah. Ia
terang-terangan menyusahkan rakyat. Apabila rakyat negeri ini tidak mampu untuk
membeli rumah di negeri mereka sendiri maka mereka akan mencari di negeri
berdekatan.
“Golongan rendah dan
sederhana ini akan keluar membeli rumah di negeri lain. Maka siapa lagi yang
tinggal di negeri ini? Hanya golongan elit. Janji untuk membela nasib rakyat
miskin terus berkubur kerana DAP hanya mengejar wang,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Pengerusi
Barisan Nasional (BN) negeri Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata unit rumah
seluas 1,000 kaki persegi ditawarkan pada harga siling RM400,000 itu adalah di
luar kemampuan bagi golongan berpendapatan kurang RM5,000 sebulan. (MediaUMNO)
No comments:
Post a Comment