Wednesday, 27 February 2013

PENCEROBOHAN, APMM DIJANGKA UBAH SOP







KOTA KINABALU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi Sabah dan Sarawak dijangka mengubah prosedur operasi standardnya (SOP) berikutan kes pencerobohan sekumpulan rakyat Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Bagaimanapun, Laksamana Pertama (Maritim) APMM Karunanithi Munusamy berkata penambahbaikan terhadap peranan agensi itu memerlukan anggota tambahan dan penambahbaikan terhadap kaedah mendapatkan maklumat dan risikan.

Katanya beberapa pengajaran boleh diambil daripada pencerobohan pada 12 Feb itu.

"Bagaimanapun, oleh kerana kami perlu mengawal garisan pantai sepanjang kira-kira 1,400km, sudah tentu ada kawasan perairan yang tidak terpantau," katanya pada sidang akhbar sempena sambutan ulang tahun kelapan penubuhan APMM di sini hari ini.

Karunanithi berkata kegiatan maritim di Lahad Datu berjalan seperti biasa walaupun berlaku pencerobohan oleh rakyat Filipina itu, yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu.

APMM memainkan peranan penting dalam menyelaras usaha polis dan tentera mengepung kawasan yang diceroboh dan mengerah pasukan sokongannya dari Tawau dan Sandakan dengan bantuan Putrajaya.

Dalam perkembangan lain, Karunanithi berkata pada 22 Feb, APMM Sabah dan Labuan menggagalkan cubaan menyeludup rokok bernilai kira-kira RM1.8 juta dari Filipina dalam operasi bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ia juga menghalang cubaan menyeludup keluar petrol bersubsidi bernilai RM11,637, katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment