TINJAUAN...... Merdeka Center
mendapati 60 peratus pengundi percaya sebahagian besar warga asing mendapat kad
pengenalan biru untuk menunjukkan status mereka sebagai warganegara.
Oleh : DEBRA CHONG
KUALA LUMPUR : Sembilan
daripada 10 pengundi tidak bersetuju dengan langkah Putrajaya memberi
kewarganegaraan kepada warga Indonesia dan Filipina untuk tinggal dan mengundi
di Sabah, berdasarkan tinjauan pengundi berikutan pendedahan semasa Inkuiri
Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai kebanjiran warganegara asing sejak 20 tahun
lalu di negeri tersebut.
Merdeka Center, yang
melakukan tinjauan bebas ke atas 1,021 pengundi di Semenanjung Malaysia pada
akhir Januari berkata, 86 peratus mengatakan mereka tidak bersetuju dengan
tindakan kerajaan yang digelar 'Projek IC' sehingga menyebabkan peningkatan
mendadak populasi di negeri Di Bawah Bayu itu.
Tinjauan tersebut
menunjukkan 60 peratus pengundi percaya sebahagian besar warga asing mendapat
kad pengenalan biru untuk menunjukkan status mereka sebagai warganegara.
Isu yang berbangkit mengenai
pendatang haram tidak dikaji berdekad lama menyebabkan kemarahan di kalangan
rakyat Sabah khususnya kaum asli seperti Kadazandusun dan Murut, yang merasakan
negeri mereka dicabul kedaulatannya dengan kebanjiran pendatang asing dari
Filipina dan Indonesia.
Lebih suku daripada populasi
di Sabah ialah pendatang asing, sejumlah 889,000 dari 3.2 juta penduduk, iaitu
28 peratus berdasarkan bancian 2010.
Sabah mempunyai 926,638
pengundi menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris The Star pada Jun.
Kehadiran pendatang asing
dalam jumlah yang besar membimbangkan penduduk Sabah, selain turut menyalahkan
mereka berikutan peningkatan jenayah dan kekurangan peluang pekerjaan.
Selain itu, baru-baru ini
lebih 100 orang bersenjata dari Filipina menceroboh Lahad Datu dan mendakwa
Kesultanan Sulu memiliki Sabah sejak 2009 serta enggan meninggalkan kawasan
berkenaan.
Melihat kepada masalah
kebanjiran pendatang asing, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razik bersetuju
untuk mengadakan inkuiri suruhanjaya diraja (RCI) bagi mencari jalan
penyelesaian.
Tun Dr Mahathir Mohamad,
perdana menteri paling lama memerintah Malaysia bermula 1981 hingga 2003,
dituduh sebagai dalang dalam 'Projek IC', di mana kewarganegaraan diberi untuk
mendapatkan undi.
Namun Bekas Ketua Menteri Sabah,
Tan Sri Harris Salleh yang mentadbir negeri itu dari 1976 hingga 1985 menafikan
kewujudan 'Projek IC'.
Dr Mahathir dalam sidang
media bulan lalu berkata warga asing di Sabah sememangnya layak mendapatkan kewarganegaraan,
tetapi menegaskan ia 'masih mengikut undang-undang'.
Inkuiri yang diketuai oleh Bekas
Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong akan disambung
semula pada 5 Mac.
Tinjauan 23 Januari hingga 6
Februari yang dibiayai Merdeka Center melihat kepada persepsi pengundi
menjelang pilihan raya ke-13 tidak lama lagi, dengan ralat sebanyak 3 peratus.
Badan peninjau itu berkata
tinjauan itu dilakukan selepas 12 Januari, iaitu Perhimpunan Kebangkitan Rakyat
yang dianjurkan pemimpun Pakatan Rakyat (PR) di ibu negara dan juga liputan
media mengenai inkuiri suruhanjaya diraja mengenai Projek IC di Sabah.
Ia juga bertanya pelbagai
isu, termasuk mengenai peniaga permaidani Deepak Jaikishan, kenyataan bekas
ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan yang sering bertentangan dengan kerajaan
dan isu kalimah Allah.
No comments:
Post a Comment