MALAYSIA menentang keras
hasrat Israel untuk membahagikan Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat suci bagi
umat Islam dan penganut Kristian.
"Langkah ini merupakan
satu lagi perbuatan mencabul undang-undang antarabangsa dan akan memburukkan
lagi keadaan di wilayah Palestin yang diduduki rejim Yahudi itu.
"Israel juga perlu
menghentikan semua kegiatan penempatan haram dan meroboh struktur binaan rakyat
Palestin serta mematuhi gesaan masyarakat antarabangsa supaya menarik balik
sekatan haram yang dikenakannya terhadap Gaza," kata Duta Besar Malaysia
ke China Datuk Iskandar Sarudin dalam mesyuarat antarabangsa dua hari
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyokong perdamaian Israel-Palestin, yang
bermula hari ini.
Mesyuarat itu bertemakan
'Menghidupkan kembali penglibatan bersama antarabangsa ke arah mencapai
penyelesaian dua negara dalam sengketa Israel-Palestin'.
Iskandar berkata Israel
perlu sedar bahawa masa depannya bergantung pada penubuhan Negara Palestin
melalui penyelesaian secara dua peringkat, yang berpandukan sempadan yang wujud
sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.
Malaysia terus mengutuk
keras kegiatan penempatan haram yang sedang dilakukan Israel, yang berkali-kali
diisytihar sebagai perbuatan melanggar undang-undang dan tidak sah oleh
pelbagai badan antarabangsa.
Badan berkenaan termasuk
Perhimpunan Agung PBB, majlis Hak Asasi Manusia, majlis Ekonomi dan Sosial,
mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Majlis Kselamatan PBB.
Malaysia percaya tindakan
biadab Israel menghalang rakyat Palestin membina penempatan dan mengusahakan
tanah mereka, akan meningkatkan lagi semangat masyarakat antarabangsa untuk
berpadu tenaga bagi menghentikan tindakan tidak sah itu serta sekatan yang
dikenakan secara haram, kata Iskandar.
Mengenai tindakan Israel
terhadap rakyat Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman bagi membantah
layanan buruk terhadap banduan Palestin, beliau berkata Malaysia mengutuk
tindakan pasukan keselamatan Israel menggunakan kekerasan secara melampau
terhadap mereka, hingga mengakibatkan ramai daripada penunjuk perasaan
mengalami kecederaan, termasuk beberapa remaja.
Beliau berkata Malaysia akan
terus menyokong proses damai Israel-Palestin dan perjuangan rakyat Palestin
untuk mendapatkan semula hak dan kedaulatan tanah air mereka.
"Kami menggesa Israel
dan Palestin supaya terus menyelesaikan sengketa antara mereka secara baik,
membina dan bermakna," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment