Tindakan kerajaan menunda tayangan
filem Tanda Putera sebanyak tiga kali menyebabkan pengarahnya, Datin Paduka
Shuhaimi Baba rasa seperti didiskriminasi oleh kerajaan Malaysia.
Shuhaimi
berkata, penerbitannya hilang momentum sejak tahun lalu lagi dan kesannya dapat
dilihat daripada sudut pasukan pemasaran yang hilang fokus.
"Mustahil
bagi kami untuk mengembalikan momentum itu meskipun Finas berusaha membantu dengan
memberikan peruntukan promosi namun masanya terlalu singkat bagi melihat
kesannya dan kita hanya melakukan apa yang termampu,” katanya kepada The
Malaysian Insider dalam satu majlis sambutan Aidilfitri di Kuala Lumpur semalam
merujuk kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.
Menurut Shuhaimi, sebelum penangguhan, pihak penerbitannya diberikan masa lebih
lama iaitu sekitar tujuh hingga lapan bulan sebagai persediaan untuk mengadakan
promosi berbanding sekarang hanya dua bulan.
"Tentu
sekali kami tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan menangguhkan tayangan
filem ini kerana proses menyiapkan filem ini mengambil jangka masa panjang dan
penangguhannya bukan sahaja memberi kesan kepada saya malah pekerja dan pelakon
filem lain yang ingin melihat hasil kerja mereka.
"Semasa
mendapat tahu penangguhan filem ini, kami sendiri tidak diberi sebab yang jelas
mengapa tayangan filem itu dibatalkan namun kita tetap terima dan menganggapnya
sebagai risiko dalam industri perfileman," katanya.
Apabila
diminta mengulas tindakan Namewee yang mempertikai tayangan Tanda Putera dan
filem The New Village berdepan penggantungan, beliau menjelaskan sikap penyanyi
Rap itu memang diketahui sukakan kontroversi.
Katanya,
Namewee seharusnya berlaku adil dengan bukan sahaja marah apabila filem The New
Village tidak dapat ditayangkan, tetapi bersikap sama apabila Tanda Putera
ditangguhkan tayangannya sebanyak tiga kali.
"Mereka
yang menggelar Tanda Putera ini rasis, mereka berbohong serta menipu orang lain
kerana mereka belum menonton dan bagaimana boleh menggelar filem ini rasis.
"Orang
yang cenderung menuduh seseorang rasis mungkin mereka sendiri yang rasis lalu
cenderung menuduh pihak lain.
"Sebagai
contoh DAP menjadikan Tanda Putera sebagai sasaran dengan berusaha menggunakan
apa juga isu yang ada untuk dipolitikkan dan mendapat perhatian tetapi Tanda
Putera menjadi mangsanya," katanya.
Tanda
Putera mula ditayangkan di The Gardens, Kuala Lumpur semalam kepada media
di samping promosi di media sosial seperti Facebook serta dengan strategi
pengiklanan lain sehingga ke hari tayangan pertama pada 29 Ogos ini.
Hujung
bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
mengakui penagguhan filem Tanda Putera bagi mengelak penayangan filem berkenaan
dari dipolitikkan semasa musim pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.
Shabery
berkata, tiada isu perkauman diketengahkan dalam Tanda Putera tetapi DAP
membuat kesimpulan sedemikian walaupun pemimpin DAP belum menonton filem
berkenaan.
Tanda
Putera mengisahkan persahabatan dan perjuangan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul
Razak Hussein dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam tragedi 13 Mei
1969.
Filem
arahan Shuhaimi itu dibantah oleh pembangkang kerana dikatakan memberi gambaran
salah mengenai tragedi hitam 13 Mei 1969. (The Malaysian Insider)
No comments:
Post a Comment