Tuesday 9 June 2020

Musa Aman bebas 46 tuduhan



Oleh Ahmad Johari Ali
ajohari@bh.com.my


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid, bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

Sepatutnya hari ini dijadualkan bagi pengurusan kes.



Peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Musa kemudian memohon mahkamah untuk melepas dan membebaskan anak guamnya bagi mengelakkan daripada tuduhan tergantung.

Berikutan itu, Muhammad Jamil mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan.

Hakim juga membatalkan dua permohonan daripada pihak pembelaan iaitu untuk membatalkan tuduhan dan permohonan bagi mencabar keperlembagaan Seksyen 82(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Bagi kes rasuah, Musa, 69, menghadapi 30 pertuduhan, sebagai ejen kerajaan Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah AS$50.1 juta.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Bagi kes pengubahan wang haram, pertuduhan pertama dan ke-16, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Beliau juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima AS$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes yang jumlah itu adalah daripada hasil aktiviti haram tertuduh manakala bagi pertuduhan ke-10 pula, beliau didakwa menerima AS$2.5 juta atas sebab sama.

Ng ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata, pihak pembelaan menerima baik keputusan itu kerana ia adalah adil dan tepat.

No comments:

Post a Comment