Monday 28 February 2011

LAPORAN TERHADAP LIGS TENOM TIDAK TEPAT



Oleh: MAIL MATHEW

PEGAWAI Kawalan Pembelian Bahagian Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Tenom, Chu Wui Man menafikan kenyataan Naib Ketua Bahagian UMNO, Esar Andamas yang mendakwa kononnya para pekebun kecil getah di sini sukar mendapat bayaran jualan kepingan getah yang memakan masa satu hingga dua bulan adalah kurang tepat dan mengelirukan.

Tegasnya, laporan itu memberikan impak yang negatif terhadap LIGS kerana tidak melaporkan dengan tepat berhubung masalah kelewatan melunaskan bil tertunggak kepada pekebun kecil kerana kenyataan itu dikhuatiri akan mengelirukan pemahaman masyarakat sekeliling dan akan memandang serong kepada LIGS.

“Sebenarnya, ia hanya berlaku tunggakan antara seminggu atau dua minggu tetapi bukan antara satu hingga dua bulan seperti yang didakwa Esar,” kata beliau ketika dihubungi pada Isnin untuk mendapatkan ulasan berhubung beberapa rungutan pekebun kecil terhadap LIGS.

Chu berkata, kelewatan itu berlaku disebabkan masalah putaran modal yang melibatkan tabung kewangan yang agak terhad di pihak pusat tetapi menekankan bahawa ia bukan bererti kelemahan itu melambangkan ketidak mampuan LIGS melaksanakan tanggung jawabnya.

“Soal tindakan pekebun kecil menjual getah kepingan mereka kepada pembeli persendirian dengan harga yang lebih murah daripada LIGS, adalah tanggung jawab mereka sendiri kerana LIGS sememangnya tidak menggalakkan penurunan harga siling getah setiap hari,” tegas Chu.

Pada Ahad, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong yang juga Naib Ketua Bahagian UMNO, Esar Andamas mendakwa bahawa lebih kurang 4,000 keluarga pekebun kecil menghadapi pelbagai masalah perbelenjaan runcit kerana kelewatan pihak LIGS melunaskan bil-bil jualan getah yang telah tertunggak sekian lama.

Antara lain Esar turut merasa kesal kerana tunggakan yang lewat dijelaskan antara satu hingga dua bulan menyebabkan mereka (pekebun kecil) terpaksa menjualkan kepingan getah mereka kepada pihak pembeli persendirian dengan harga yang murah antara RM7 dan RM7.40 sekilo kerana mendakwa mereka tiada pilihan lain.

Sementara itu, seorang pekebun kecil getah dalam Mukim Pamilaan mantan Ketua Anak Negeri (KAN), Gonsubin Yosundang turut menggesa pengurusan LIGS supaya jangka masa bayaran bil yang tertunggak dipendekkan kepada tiga hari daripada seminggu.

Gonsubin menegaskan adalah kerana mereka juga perlu menggunakan wang hasil pendapatan harian itu bagi membeli keperluan pelbagai guna termasuk ‘sulfurik acid’ untuk kegunaan memproses getah kepingan.

Ketika ditanya sama mereka pernah mengalami bil tertunggak yang belum dilunaskan oleh LIGS antara sebulan hingga dua bulan beliau berkata,

“Setakat ini kami di sini belum pernah mengalami masalah sedemikian tetapi dalam jangka masa satu hingga dua minggu memang sudah menjadi kebiasaannya. Bagaimanapun, kalau boleh kami mahu kasi cepatkan lagi,” tegas Gonsubin sambil menjelaskan masalah tersebut turut dialami jiran-jiran mereka seperti di Kg Tepoh, Pengalat dan Kg Sumbiling.

Dalam pada itu, Pengawal Operasi LIGS Pusat, Liau tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan lanjut.

JANGAN SISIHKAN RUNDUM DARI PEMBANGUNAN



Oleh: MEDIA PBS

SUMAMBU dan Rundum, dua kampung terpencil yang berpotensi untuk dimajukan namun memerlukan perhatian mendesak kerana masih berstatus Hutan Simpan sekalipun kebanyakan penduduk telah memiliki geran tanah.

Demikianlah komen Ketua Bahagian PBS Kemabong, Sabini Ansumor di akhir lawatan dua hari ke kampung berkenaan dalam rangka lawatan Kaunter Bergerak menawarkan khidmat Pendaftaran SPR dan ramah-mesra.

"Saya telah melihat sendiri kampung Sumambu dan berpendapat kampung ini bakal menjadi sebuah Desa Wawasan jika mendapat perhatian sewajarnya," kata beliau.

Sabini turut memohon agar kemudahan bekalan elektrik solar di SK Sumambu dibaik pulih segera dan digantikan dengan bateri lithium yang mesra alam bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru diutamakan.

Beliau terkejut dan bimbang melihat tebing sungai yang runtuh sudah masuk ke kawasan sekolah dan salah sebuah stor lama hanya tinggal sekaki setengah akan runtuh ke dalam sungai.

Menurutnya lagi, beliau risau pelajar di SK Sumambu mengalami kemalangan yang sepatutnya boleh dihindarkan dengan cara membina gabion.

Beliau turut tidak melepaskan peluang untuk melawat kampung Rundum kira-kira 12 km dari Sumambu. Jalan yang mencabar membayangkan kesulitan yang terpaksa di hadapi oleh penduduk Rundum. Jalan hampir tertutup oleh tanah runtuh dan berbecak, mencabar kenderaan 4WD.

"Saya mohon agar jalanraya ini dibaik pulih. Saya telah melalui jalan becak, jalan hampir tertutup akibat tanah runtuh dan pembetung yang hampir tidak boleh dilalui. Malah saya melihat di satu tempat itu, penduduk sendiri telah bergotong-royong membuang tanah berlumpur bagi mengelakkan kenderaan terkandas," kata beliau sambil mengakui keindahan kampung Rundum agak terpencil akibat daif.

Mengulas tentang kampung Rundum, Sabini melahirkan rasa terkilan kerana kedaifan jalanraya mengakibatkan sayuran hawa sederhana seperti kubis dan epal tidak dapat diusahakan.

“Penduduk kampung mengadu mereka tidak dapat memasarkan hasil pertanian kerana faktor perhubungan sehingga semua aktiviti pertanian mereka terbengkalai,” ujar Sabini lagi.

Difahamkan ramai pelancong berminat untuk melawat Rundum bagi menikmati kesegaran dan keindahan alam semulajadi serta tapak sejarah Kubu Antenom, namun terpaksa menunggu sehingga jalanraya dinaik taraf. Rata-rata penduduk masih ternanti-nanti siapnya jalanraya berturap seperti yang dinikmati oleh rakyat di kawasan lain.

Sementara itu penduduk di Kampung Sumambu gelisah sebab jalanraya yang bakal dibina menghubungkan Kemabong Rundum tidak melalui kampung mereka. Penduduk Sumambu berharap jalan berkenaan dapat dihubungkan dengan mereka selain merayu pihak SFI menyelenggara selalu jalanraya yang sedia ada.

BELB PAHU-GARAS-TONTOLOB SIAP MAC 2011



Saudara Pengarang,

TERLEBIH dahulu kami mengucapkan terima kasih atas maklumbalas tuan pada 27 Februari 2011 melalui artikel bertajuk ‘Kami Masih Guna Lampu Pilasut’.

Untuk makluman pengadu, kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik dari kampung Pahu-Garas-Tontolob Liwan, Tambunan merupakan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang dikendalikan (dalam bidang kuasa) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Selain itu, kerja-kerja tapak (penyambungan tiang dan talian elektrik) kini di dalam proses akhir dan dijangka siap pada pertengahan bulan Mac 2011.

Segala kerumitan amat dikesali.

Sekian dan harap maklum,

"Bersama Memacu Pembangunan Negeri Sabah"

WAN MARIA OTHMAN LEE

Pengurus Besar (Perkhidmatan Korporat)

SAMBUTAN CNY BERSEJARAH DI KG ANSIP



TERIMA…. Kurup dan Ellron menerima 'skrol' dari pihak penganjur.

Oleh: ROZIE JUMAT

MASYARAKAT Tiounghua di kawasan Parlimen Pensiangan mencipta sejarah tersendiri buat kali pertama kerana mengadakan sambutan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Sambutan Tahun Baru Cina.

Satu-satunya perkampungan Cina di kawasan itu ialah Kampung Ansip Tengah, dengan kebanyakan penduduknya adalah pekebun dan penternak, meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama Ahli Parlimen Pensiangan dan Wakil Rakyat N.37 Sook.

Pengerusi Penganjur majlis pemimpin bersama rakyat sempena sambutan Tahun Cina, Chong Nyuk Phing berkata, sambutan itu yang dianjurkan bersama Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan, membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak meminggirkan golongan minoriti dalam sesuatu kawasan seperti perkampungan Kg.Ansip.

Menurut Chong, sambutan perayaan di peringkat kampung tidak pernah diadakan di kampung itu, dan majlis rumah terbuka yang diadakan adalah julung kali diadakan.

"Dalam sejarah kampung ini tidak pernah ada pemimpin datang dan makan bersama-sama kami apatah lagi menyambutnya secara besar-besaran ," kata Chong.

Katanya kehadiran pemimpin di kawasan itu dalam majlis seumpama itu ibarat seorang saudara atau anak yang berkumpul bersama keluarga sempena perayaan tersebut.

Kata Chong, kampung itu juga berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memberi projek kepada kampung itu terutamanya membaiki sistem perparitan bagi mengatasi masalah banjir.

Penduduk kampung juga meminta agar jalan ke kuil Cina dan sekolah Cina di kampung itu diberi perhatian kerajaan.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Tan Sri Joseph Kurup berkata, walaupun masyarakat Cina di kawasan P182 Pensiangan adalah sedikit tetapi masyarakat itu juga telah memberi sokongan dan kerajaan sangat menghargai sumbangan mereka.

"Seperti kaum-kaum yang lain, masyarakat Cina di kawasan ini tetap merupakan penyokong kuat kepada BN meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti isu-isu kenaikan harga barang, kerana mereka berkeyakinan terhadap keupayaan BN menangani isu-isu semasa," kata Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.

Turut hadir, Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin, ketua ketua masyarakat Cina Keningau, dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Vincent Lee.

Mengenai majlis rumah terbuka itu, Kurup berkata, perpaduan dapat ditingkatkan melalui kefahaman melalui budaya suku kaum lain.

"Ini adalah satu aktiviti yang meningkatkan kefahamam toleransi di kalangan masyarakat kita yang pelbagai kaum," kata Kurup.

JANGAN DABIK DADA, PRU 13 JADI PENENTU



Oleh: Mail Mathew

SETIAUSAHA Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tenom, Misery Raisimin menggesa pemimpin Umno Tenom, khususnya Timbalan Ketua Bahagiannya, Suhaili Guriaman agar tidak mencampuri urusan kepimpinan dalaman PKR tetapi adalah lebih baik beliau menumpukan perhatian kemantapan bahagian parti itu yang kini pengikut mereka semakin berkurangan dan berhijrah ke parti pembangkang.

Katanya, adalah kerana beliau (Suhaili) senantiasa ‘syok sendiri’ dan duduk di bilik berhawa dingin setiap hari menyebabkan dia sendiri yang tidak tahu apa telah berlaku dengan pengikut-pengikut parti itu yang dianggapnya masih kukuh seperti dulu lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini pada Isnin ketika mengulas kenyataan Suhaili yang tersiar di akhbar tempatan baru-baru ini yang mendakwa kononnya kepimpinan PKR semakin berkecai kerana pemimpin-pemimpinnya tidak sehaluan dan tiada halatuju membangunkan rakyat.

Misery berkata, Suhaili yang sekadar melihat satu pihak sahaja terutamanya pembangkang yang mengambil contoh pergolakan dalaman PKR sebagai sasaran, kononnya pembangkang lemah dan tidak mampu menawan hati rakyat; adalah merupakan satu anilisis dan perkiraan politik yang diamalkan Suhaili sebagai ‘silap dan kabur’.

Misery menambah, mengapa Suhaili tidak melihat secara keseluruhannya yang melibatkan parti-parti komponen yang kini sedang bergelut dengan masalah korupsi yang serius dan berhadapan dengan perbicaraan di Mahkamah seperti beberapa pemimpin MCA.

Malahan merangkumi beberapa pemimpin Umno yang telah terlibat dengan kes rasuah semasa pemilihan Umno lalu termasuk beberapa kes pemimpin Umno Sabah terutamanya mantan Ketua Menteri Sabah yang terlibat kes hutang jutaan ringgit kerana perjudian luar Negara.

“Inikah jenis pemimpin yang dikatakan Suhaili kononnya pemimpin Umno semuanya baik baik dan BN adalah wadah perjuangan politik terbaik kerana pemimpin pemimpinnya berwibawa dan baik-baik?. Apakah benar dakwaan Suhaili itu dan betulkah mereka ini baik dan layak disokong rakyat sekali lagi,” tegas Misery.

Tegasnya lagi, soal pergolakan dalaman parti ia bukan sahaja dialami kepimpinan PKR tetapi juga di pihak UMNO juga pernah melaluinya, malah lebih teruk daripada apa yang berlaku dalam PKR sejak akhir-akhir ini.

“Kita juga pernah dikejutkan apabila beberapa pemimpin tertinggi Umno pusat suatu ketika dulu keluar beramai-ramai ketika era Tun Mahathir, antaranya Tun Musa Hitam letak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri; Tengku Razaleigh Hamzah keluar Umno dan menubuhkan Semangat 46. Manakala di Sabah, Datuk Karim Ghani dan beberapa lagi yang lain keluar Umno kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan Umno negeri yang tidak konsisten dalam agenda perjuangannya,” tegas Misery.

Mengenai dakwaan Suhaili kononnya PKR sudah tidak ada pemimpin yang baik-baik kerana semua pemimpin yang baik-baik sudah berada dalam BN menyebabkan PKR sukar untuk memenangi pilihanraya akan datang Misery berkata;

“Soal menang atau kalah dalam sesuatu pilihanraya ia ditentukan oleh pengundi dan bukan ditentukan oleh seseorang individu khususnya Suhaili, kerana pengundi yang lebih arif dan paling berkuasa membuat pilihan pemimpin yang mereka suka, malah mereka lebih cenderung memilih pemimpin yang tidak korup, biar pun pemimpin itu dilihat perawakannya agak sederhana,” tegas Misery.

Dalam pada itu, Misery mencabar Suhaili agar membuat satu memorandum yang ditandatangani oleh semua ahli Umno di sini menyokong cadangan Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran) Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat pemberian Kad Pengenalan Palsu dan kerakyatan kepada PATI jika benar Umno Tenom dan Suhaili menyatakan kehadiran UMNO-BN di Sabah demi keselamatan dan kesejahteraan serta keharmonian rakyat Sabah.

Sebagai makluman Suhaili, kepimpinan PKR dan parti pembangkang di Sabah sudah pun menubuhkan ‘task force’ masing-masing untuk mendapatkan tanda tangan segenap lapisan rakyat Sabah untuk menyokong penubuhan Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat siapakah dalang di sebalik projek pemberian Kad Pengenalan dan kerakyatan kepada PATI termasuklah warga Pakistan yang kini berkeliaran di Tenom.