Sunday 2 August 2020

PEMBUBARAN DUN SAH KERANA DIPERSETUJUI TYT


 

Oleh HIRIZAL ARIFIN

 

KENINGAU: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUan) Sabah adalah sah daripada sudut perundangan kerana mendapat persetujuan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

 

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony berkata, rakyat negeri ini tidak seharusnya diheret oleh segolongan ahli politik yang bertindak menyebarluaskan maklumat yang salah tentang pembubaran tersebut.

 

Menurutnya rakyat perlu tahu bahawa kuasa pembubaran tertakluk di bawah bidang kuasa dan Tun Juhar.

 

“Kedudukan pada ketika ini dewan sudah bubar, namun terdapat suara-suara sumbang yang mendakwa bahawa dewan kononnya tidak sah bubar.

 

“Tetapi pada zahirnya dewan sudah bubar oleh kerana ia telah diperkenankan oleh tuan yang terutama tun dan pilihan raya akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari,” katanya yang ditemui pada majlis penyerahan jersi dan kelengkapan sukan bola sepak kepada pasukan bola sepak Bandukan Legacy FC di Bingkor, Keningau pada Sabtu.

 

Pasukan bola sepak tersebut telah tersenarai sebagai salah sebuah pasukan yang akan menyertai liga bole sepak Piala Borneo melibatkan pasukan dari negeri Sabah, Sarawak, Labuan dan Brunei Darussalam.

 

Penganjuran Piala Borneo tersebut adalah inisiatif dari Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM)

 

Mengulas lanjut Peter berkata, rakyat di negeri ini lebih bijak kini selepas melihat sendiri kemelut politik yang telah berlaku.

 

“Saya yakin mereka (rakyat Sabah) sudah tahu dan mereka sudah membuat pilihan.

 

“Apapun di peringkat parti kita akan berkerja keras,” katanya

 

Ditanya mengenai kesediaan parti menjelang pilihanraya, Peter menegaskan gerak kerja parti di peringkat akar umbi telah bermula.

 

“Dengan jentera pada ketika ini yang sedang turun di semua kawasan dan daerah bagi memberi penerangan tentang apa yang sudah berlaku.

 

“Secara tidak langsung kedudukan parti dan sebagainya itu juga dapat kita terangkan kepada pengundi-pengundi kita seperti sekarang ini di Bingkor dan sebentar lagi ke Tambunan dan kawasan-kawasan lain,” katanya.

Sumber : BorneoToday

No comments:

Post a Comment