Monday, 10 August 2020

Anugerah geran tanah kepada rakyat bukan kesinambungan usaha kerajaan BN

  Oleh : Yap Siong Han

 

 

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) membidas kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai yang mendakwa bahawa Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal hanya menumpang nama atas segala usaha Barisan Nasional (BN) Sabah yang terdahulu apabila beliau menyerahkan geran tanah kepada rakyat di Keningau baru-baru ini.

 

Setiausaha Agung WARISAN Datuk Loretto Padua Jr berkata, majlis penyerahan berkenaan ialah bukti bahawa Shafie prihatin dengan nasib dan masa depan kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus serta mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan sebagai Ketua Menteri.

 

"Tindakan mengeluarkan geran-geran tanah NT yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri pimpinan WARISAN Plus adalah seiring dengan manifesto pilihan raya PRU14 WARISAN dan tidak boleh disamakan dengan idea mengenai Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang telah dilhamkan oleh bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman ketika zaman pemerintahan BN Sabah pada tahun 2011.

 

"Ini adalah kerana sebelum tahun 2011, orang-orang kampung sudah cukup bosan dan marah dengan Kerajaan BN Sabah pada ketika itu kerana proses pendaftaran dan pemberian geran tanah NT kepada yang layak sangat lambat sehinggakan ada yang terpaksa menunggu sehingga 40 tahun lamanya seperti beberapa kes di Kiulu," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

 

Beliau berkata, Musa menjadi Ketua Menteri pada 2003 dan PBS kembali ke BN pada tahun 2002. Mereka hanya terfikir untuk membantu orang-orang kampung mendapat geran tanah NT selepas tujuh dan lapan tahun berkuasa di Sabah melalui PANTAS dan itupun selepas orang-orang kampung marah dan bosan dengan BN?

 

"Tambahan pula ada diantara pemohon yang tidak sempat menerima geran tanah kerana sudah meninggal dunia? Adakah ini yang dibanggakan oleh Joniston?

 

"Kalau orang-orang kampung tidak dibantu oleh laporan-laporan surat khabar ketika itu yang menyiarkan keluhan dan rayuan mereka, saya berpendapat Musa tidak mungkin akan wujudkan PANTAS," katanya.

 

Loretto juga mengatakan bahawa bukan semua yang dilakukan oleh kerajaan WARISAN sekarang adalah idea asal Kerajaan BN.

 

"Bukan semua yang telah dilaksanakan oleh BN diteruskan oleh WARISAN kerana sesetengahnya tidak mendatangkan faedah kepada rakyat Sabah contohnya pemberian Geran Komunal dan pemberian lesen konsesi balak yang berleluasa kepada kroni dengan tempoh kontrak yang lama.

 

"Sesetengah pembangunan ataupun pembinaan yang dibuat oleh Kerajaan BN dahulu terpaksa diteruskan kerana kerajaan sudah berbelanja besar untuk tujuan itu seperti pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

 

"Tetapi Kerajaan WARISAN Plus terpaksa membuat perubahan dan penambahbaikan dengan mengutamakan nilai tambah ke atas beberapa perancangan awal Kerajaan BN Sabah yang rata-rata hanya bertujuan menguntungkan kroni-kroni BN dan bukannya orang-orang kampung," katanya.

 

Loreto memberikan contoh seperti pemberian geran tanah NT dibawah PANTAS, Musa dan Joniston bercakap besar mengatakan bahawa melalui idea mereka itu, pemilikan tanah NT oleh orang-orang kampung akan menjadi lebih mudah tetapi mereka tidak pernah membuat sebarang cadangan mengenai nilai tambah seperti pertanian bersepadu yang boleh dilaksanakan bersama oleh penerima-penerima geran tanah ini.

 

Katanya, ia juga akan memberikan manfaat kepada agensi kerajaan berkaitan dan sekaligus pastinya akan menguntungkan semua pihak serta menaikkan taraf hidup rakyat luar bandar.

 

Sumber : Utusan Borneo

No comments:

Post a comment