Monday, 1 November 2010

KAMI TETAP KUBU KUAT BN, BUKAN PKR!



Oleh : HASSAN DALIMPOS

PENDUDUK Kg.Mamaitom melahirkan kekesalan di atas kenyataan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tenom, Halik Zaman, yang dikeluarkan dalam sebuah media baru-baru ini menyatakan penduduk Kg.Mamaitom telah beralih sokongan kepada PKR yang diketuainya.

Sebaliknya masyarakat Kg.Mamaitom masih tetap utuh sokongannya kepada kerajaan Barisan Nasional malah semakin padu dan kuat.

Mengulas kenyataan Ketua Cabang PKR Tenom itu dalam Sabahkini.Net yang bertajuk ‘PKR Tawan Kampung Raime Unggi’, Antui @ Siang Ambau, 52, mengatakan bahawa kenyataan Halik adalah gimik politik murahan oleh Ketua Cabang PKR Tenom itu yang terdesak dan cuba mahu menunjukan kepada umum bahawa PKR mendapat sokongan di Tenom sebaliknya ‘indah khabar dari rupa’.

Selaku Pengerusi JKKK Kg.Mamaitom, Antui mengatakan bahawa masyarakat Kg.Mamaitom pada ketika ini menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan terutamanya dalam aspek kemudahan infrastruktur dan kampung ini juga telah mendapat Rumah Kebudayaan yang baru serta sebuah bangunan Pra Sekolah. Oleh itu kenyataan bahawa PKR menawan kampong Mamaitom amat tidak berasas sama sekali.

Sejak kebelakangan ini, kata Antui, pelbagai program kerajaan telah dijalankan di kampung ini. Malah kampung ini sedang mengorak langkah mewujudkan industri ‘Homestay’ yang pastinya memberi impak terhadap kemajuan kampung ini, katanya.

Menurut Antui lagi, Kg.Mamaitom seringkali dilawati oleh pelancong sama ada pelancong domestik mahu pun luar negara untuk melihat dengan lebih dekat lagi sosiobudaya tempatan masyarakat Murut. Malah ramai pelajar-pelajar daripada IPTA seperti UMS telah datang ke kampung ini untuk menjalankan tesis mereka dan baru-baru ini kampung ini dipilih oleh UMS bagi menjalankan Program Jalinan Mesra Interim Sek.1.

Sementara seorang penduduk yang hadiri perjumpaan tersebut, Jack Ukir, 35, mengatakan bahawa dia dan isterinya dijemput hadir di kediaman Korom tetapi tidak dimaklumkan tujuan sebenar pelawaan tersebut.

“Saya dan isteri terkejut tiba-tiba Halik Zaman pula yang hadir dalam perjumpaan tersebut. Kami yang berada dalam perjumpaan itu merasa tertipu. Tapi oleh kerana sudah terlanjur datang kami sekadar mendengar apa yang diperkatakan oleh Halik dan diajak bergambar sambil memegang borang kosong,” katanya.

Tambah Jack lagi, bilangan yang hadir dalam perjumpaan tersebut daripada Kg.Mamaitom hanya sebilangan kecil sahaja yang selebihnya daripada orang luar daripada kampung itu yang turut hadir mengikuti rombongan Halik.

Jack sedar Halik telah mempergunakan perjumpaan tersebut untuk mencari publisiti murahan untuk cuba menjatuhkan reputasi Datuk Raime Unggi selaku wakil rakyat dan anak kampung ini.

“Tapi kami penduduk kampung ini tahu menilai antara kaca dan permata dan sokongan kami kepada BN tetap padu khususnya kepada wakil rakyat Datuk Raime Unggi dan Datuk Rubin Balang,” jelas beliau.

Ketua Anak Negeri dan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kg.Mamaitom, KAN Angkangon Sagul, 62, berkata, dakwaan Halik Zaman bahawa PKR telah menawan Kampung ini adalah satu dakwaan yang tidak berasas dan satu pembohongan.

“Masyarakat kampung ini adalah diasaskan melalui jalinan persaudaran dan kerjasama yang padu dan kami telah menikmati perubahan dan kemajuan yang ketara dibawah kerajaan BN,” tegasnya.

“Sebagai ‘orang tua’ dan telah banyak pengalamn dalam politik, Halik Zaman sedar bahawa masyarakat kampung ini tidak mungkin akan berpaling daripada BN apatah lagi menjatuhkan Raime Unggi, tapi Halik mempergunakan perjumpaan kecil itu untuk membuat propaganda kerana kerana saya tau dia (Halik) memang pakar putarbelit. kenyataan Halik umpama menjolok sarang tebuan,” katanya.

Menurut Angkangon, kehadiran Halik Zaman di Kg.Mamaitom adalah atas perbuatan segelintir ‘budak nakal’ di kampung ini dan menggesa kepada masyarakat kampung ini agar berwaspada agar tidak terperangkap dengan dakyah pembangkang yang sengaja cuba mencemarkan nama baik kampung Mamaitom.

MURUT LUNDAYEH KAYA ADAT RESAM



Oleh : HASSAN DALIMPOS

PERPADUAN....Pairin disambut oleh penari suku Lundayeh ketika tiba di perkarangan Dewan Ontoros, sementara diiringi Radin (kiri) dan Sabini.

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tidak menafikan masih banyak lagi adat resam dan seni budaya kaum dan etnik di negeri ini belum diketengahkan kepada umum.

Beliau menyatakan perkara itu ketika ditanya media selepas merasmikan Pesta Budaya Murut Lundayeh Anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kemabong di Dewan Datuk Sri Ontoros Kemabong Tenom yang dihadiri 3000 orang masyarakat sekitar daerah itu.

Berikutan terdapat kelainan persembahan dan pakaian yang ditonjolkan menerusi persembahan kepelbagaian suku dan sub-etnik Murut/Lundayeh sekali gus jelas menunjukkan ia mempunyai elemen-elemen suku sub-etnik berkenaan masih belum dipertontonkan kepada umum sebelum ini katanya.

Justeru itu, beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) menyeru kepada para budayawan di negeri ini agar bertindak secara proaktif menampilkan serta memperkenalkan kepelbagaian seni budaya yang terdapat di negeri ini secara menyeluruh.

Katanya, dengan adanya usaha ke arah itu, beliau berkeyakinan ia dapat memperkayakan lagi khazanah budaya negara di samping menjadi landasan terhadap kekuatan semangat perpaduan sedia ada dalam kalangan rakyat Sabah dan dicontohi di negara ini, selaras dengan gagasan 1-Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Tan Sri Pairin yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata usaha memperkasakan seni budaya itu juga mampu menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara untuk terus mengunjungi kawasan Pedalaman seterusnya menjadi sebahagian daripada sumber ekonomi baru khususnya luar bandar.

Terdahulu ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau menasihatkan kepada generasi muda agar tidak mengabaikan soal aspek masa depan pembangunan seni budaya kaum dan etnik masing-masing ketika dunia berhadapan dengan ledakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi sebaliknya memerlukan keseimbangan demi kelesterian pembangunan seni budaya warisan bangsa.

Mengenai cadangan mengadakan penganjuran sambutan Pesta Murut-Lundayeh secara tahunan, Pairin berkata pihak penganjur kini masih dalam peringkat perancangan.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, merangkap Adun Melalap Datuk Radin Mallih, Ketua bahagian PBS Kemabong Sabini Ansumor, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kemabong dan wakil Adun Kemabong Sukimin Rukini dan PKR Melalap Balasius Masuning dan pengerusi pelaksana, Florentius Alex.

KREDIBILITI TRIBUNAL PENGGUNA DIRAGUI?



SIA-SIA….Juaris menunjukkan dokumen keputusan mahkamah tribunal yang berpihak kepadanya namun hanya kertas yang tidak bernilai dan sia-sia.

Oleh: ROZIE JUMAT

LAPAN bulan selepas keputusan Mahkamah Tribunal Pengguna berpihak kepadanya, seorang pengguna kesal kerana tidak ada tindakan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDN) bagi melindungi dan mengembalikan haknya sebagai pengguna.

Juaris Agud, 46, berkata, pada tarikh 5 Februari yang lalu, pihaknya telah memenangi kes terhadap sebuah syarikat kereta terpakai tempat beliau membeli sebuah kereta Toyota Land Cruiser pada tahun 2007 berharga RM28 ribu, dengan bayaran deposit sebanyak RM17 ribu dan selebihnya melalui pembayaran ansaruran RM360 sebulan selama tiga tahun.

Bagaimanapun kata Juaris, setelah dua tahun menggunakan kenderaan tersebut pihak syarikat yang berpangkalan di daerah ini menggunakan pelbagai helah termasuk menuduh beliau sebagai pencuri untuk mendapatkan kereta tersebut.

“Pihak syarikat telah merampas kereta ini dengan berbagai-bagai alasan penipuan, kerana tidak berpuas hati, saya membawa kes ini ke Mahkamah Tribunal dan memenanginya,”kata Juaris.

Bagaimanapun kata Juaris, sehingga kini, pihak syarikat itu gagal menyerahkan kenderaan itu kepadanya, kerana telah dijual kepada pihak lain. Manakala pihak KPDN juga didakwanya gagal melaksanakan tanggungjawab mereka membela pengguna kerana sehingga kini tidak ada tindakan dilakukan meskipun beliau telah mengadu beberapa kali.

Kata Juaris, apa yang mengecewakan ialah pihak syarikat tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Tribunal sementara Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, turut mempertikaikan keputusan mahkamah.

“Bukankah ini jelas membayangkan kepada rakyat bahawa kerajaan UMNO gagal melindungi rakyat, dan saya sangat kesal kerana mungkin banyak kes sebegini berlaku di pedalaman tetapi tidak mendapat pembelaan sewajarnya,” kata Juaris.

Kata Juaris, lapan bulan telah berlalu, sedangkan mengikut keputusan Mahkamah Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, pihak syarikat itu diminta untuk mengembalikan kereta tersebut dalam masa 14 hari.

“Saya sangat kesal kerana mereka lambat bertindak. Mereka tidak tahu betapa sukarnya keadaan kami sekeluarga menghadapi situasi ini, termasuklah samseng-samseng yang mengepung rumah kami untuk merampas kereta itu secara paksa dan pelbagai jenis ugutan, jenayah dan kekerasan,” tegas Juaris dengan nada kesal.

Menurut Juaris lagi, memenangi kes itu tidak memberi keadilan kepadanya kerana tuntutan beliau tidak dihiraukan oleh pihak syarikat tersebut dan KPDNK juga terus berdiam diri.

“Adakah keputusan Mahkamah Tribunal tidak diterima atau diiktiraf?,” kata Juaris mempersoalkan.

Tambahnya kerajaan tidak dapat memberikan keadilan kepada rakyat kerana gagal melindungi kepentingan rakyat, walaupun kerajaan menubuhkan Mahkamah Tribunal melalui KPDNKK namun semuanya seolah-olah hanya mengaburi mata rakyat Malaysia khususnya di negeri Sabah.

Sebagai pengguna kata Juaris beliau merasa tidak mendapat keadilan yang sewajarnya, dan usaha beliau untuk menuntut pembelaan gagal diberikan oleh pihak yang berkenan.

Katanya beliau sangat kesal kerana KPDNK tidak peka dan tidak mampu menyahut saranan dan cabaran Perdana Menteri.

Kegagalan mematuhi keputusan mahkamah (award) mengikut masa yang ditetapkan (14 hari dari tarikh award dikeluarkan) menjadi kesalahan jenayah di bawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna (APP) dengan kesalahan pertama denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sekama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua duanya sekali. Kesalahan berterusan, sebagai tambahan kepada penalti di bawah Seksyen 117 (1), di denda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

TIADA LIPUTAN MEDIA PENTARAMA TAMAN MESRA?



AKSI…..Dua artis Pentarama sedang beraksi diatas pentas terbuka menghiburkan para penonton

Oleh : SHAIMON S JUMADI

PENTARAMA anjuran Jabatan Penerangan Sabah yang diadakan di perkarangan perumahan Taman Mesra yang disajikan dengan pelbagai persembahan nyanyian yang didatangkan khas dari Kota Kinabalu betul-betul telah menambat dan menawan jiwa murni setiap penonton yang menyaksikan

Pelbagai jenis lagu bermula daripada lagu-lagu irama 50-an dan 60-an sehinggalah lagu ala rentak Balada dan R & B telah dipersembahkan sehingga memikat lebih 1,000 orang penduduk Taman Mesra termasuk penduduk sekitarnya yang datang menyaksikan majlis tersebut.

Wartawan Sabahkini.net dan jurufotonya yang membuat liputan sepenuhnya majlis malam tadi, merasa harian kenapa tiada seorangpun kelihatan wartawan datang untuk membuat ‘coverage’ program tersebut sedangkan program itu merupakan program rasmi kerajaan

Sebenarnya progam ini adalah sebahagian kempen pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi dan sebelum ini pentarama ini telah diadakan di Flat MPS Karamunting.

Dalam kiraan rambang penduduk Taman Mesra mempunyai rekod 45 peratus pengundi Karamunting dan Sekong ini jelas ketara sekali kerana Blok 35 telah dijadikan Markas pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi untuk mengesan dan membuat semakan pengundi yang berada di Taman Mesra.

50 MURID TERIMA BANTUAN YAYASAN SABAH



TERIMA KASIH….salah seorang murid sedang menerima bantuan tersebut yang disampaikan oleh Au.

Oleh : SHAIMON A JUMADI Jurufoto : JUN PACIFICO

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Elopura Au Kam Wah menggesa ibubapa supaya menititberatkan pelajaran anak-anak mereka agar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan setiap tahun.

Katanya mereka yang memperoleh keputusan yang cemerlang akan menerima pelbagai kemudahan yang disediakan Kementerian Pelajaran untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Au membuat gesaan tersebut demikian ketika berucap di majlis perasmian dan penyampaian Skim Bantuan Khas tajaan oleh kumpulan Yayasan Sabah 2010 di Sandakan, kelmarin.

Katanya orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berpendidikan tinggi sahaja yang boleh mengubah nasib untuk menempuh kehidupan yang cerah.

Au berkata untuk meningkatkan tahap pendidikan kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah memainkan peranan penting ke arah itu demi mencapai hasrat dan matlamat kerajaan untuk menjadikan rakyatnya mempunyai ilmu pengetahuan dan berpendidikan tinggi.

“Demi kepentingan rakyat, Kerajaan telah membina sebuah Universiti di Sungei Batang dengan tujuan untuk memberi peluang kepada anak-anak warga Sandakan untuk melanjutkan pelajaran tanpa perlu pergi jauh,” kata Au yang mengakui banyak peluang pekerjaan yang disediakan untuk warga setempat.

Sementara dalam ucapan alu-aluan Ketua Pentadbir Zon Pantai Timur Utara, Yayasan Sabah, Hajah Rosinah Abd Moin antara lain menjelaskan tujuan pihaknya memberikan bantuan sedemikian adalah untuk membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh ibubapa mereka dalam segi yuran dan sebagainya terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah iaitu tidak lebih RM600 ke atas.

Seramai 50 orang yang membabitkan penuntut sekolah menengah dan murid sekolah rendah mereka masing-masing menerima skim bantuan tersebut.