Monday, 1 October 2012

UTUSAN MAHU MALAYSIAKINI MINTA MAAF




UTUSAN Malaysia hari ini menuntut Malaysiakini memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas dakwaan bahawa portal berita itu dibiaya jutawan George Soros.

Dalam edisi hujung minggunya hari ini, Awang Selamat – nama samaran untuk Pengarang Akhbar tersebut – juga mempersoalkan jika Malaysiakini berniat untuk menjadi 'Alat Pihak Asing'.

"Dengan sekian banyak bukti, jangan lagi berulang kali mendakwa portal itu bersifat bebas, itu hanya menghina diri sendiri. Belum terlewat lagi untuk kembali ke pangkal jalan, lebih-lebih lagi ini adalah soal kedaulatan," kata penulis tanpa nama itu.

Penulis berkenaan menyalahkan pembiaya asing yang didakwanya 'menjadi ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara' atas laporan 'memburuk-burukkan kerajaan' dan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kempennya sebelum ini, Utusan turut melaporkan dakwaan seorang bekas editor Malaysiakini yang mendakwa salah seorang pengarah portal itu, Harlan M Mandel merupakan 'Orang Soros'.

Bagaimanapun, akhbar milik Umno itu tidak melaporkan kenyataan dan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran berhubung isu tersebut.

Akhbar itu juga tidak melaporkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berbaik-baik dengan Soros dan turut meminta jutawan itu menyokong Projek Anti-Perang Forum Keamanan Dunia yang diusahakan Bekas Perdana Menteri itu.

Malaysiakini sebelum ini mendedahkan bahawa Mandel menjadi salah seorang Pengarah Mkini Dotcom Sdn Bhd selepas mengetuai Media Development Loan Fund pada tahun lalu.

WANITA MILIKI KEKUATAN HADAPI CABARAN SEJAGAT





BEAUFORT: Wanita terbukti mampu memberi sumbangan besar dalam kehidupan sejagat dengan memiliki kekuatan istimewa yang dianugerahkan Tuhan. Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Malaysia, Datuk Sharizat Abd Jalil berkata realiti dan sejarahnya wanita sering berhadapan dengan berbagai cabaran dan dugaan.

Namun wanita mampu menunaikan amanah yang terpikul di bahu mereka dengan sebaiknya, terutamanya dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

“Kami wanita menghadapi berbagai cabaran alam hidup. Dalam keluarga, alam masyarakat dan dalam parti. Tuhan beri kekuatan istimewa kepada wanita terutama kita menghadapi cabaran dan juga dugaan.

“Namun demikian, apabila wanita diberi jawatan (dan tanggungjawab) dalam apa pun (bidang) kita mesti jalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berwibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kenduri Sekampung MPWK Parlimen Beaufort di Kampung Rancangan Klias di sini, kelmarin.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun, Setiuasaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Sohaimi Ibrahim, Pemangku Ketua umno Bahgaian Beaufort, Isnin Alisanih, Pemimpin Wanita parti komponen Barisan Nasional (BN), pemimpin parti komponen BN Beaufort dan pemimpin masyarakat.

Sharizat yang juga Ketua Pergerakan wanita Umno Malaysia itu berharap wanita terus bersatu padu bagi memastikan kekuatan BN tidak tergugat.

“Saya berharap puan-puan akan bersatu padu untuk terus memberi sokongan dan kerjasama kepada pemimpin BN di sini bagi memastikan kita terus kuat sebagai sebuah kerajaan,” katanya sambil mengulas sinis tindakan Ketua Umno Bahagian Beaufort meninggalkan parti baru-baru ini.

 




“Dalam dunia ini yang mustahak ialah sistemnya, orang boleh datang dan pergi. Kita rasa kesal apabila 'bapa' kita lari tengah malam begitu. Kita rasa kesal..sebab kita semua sayang kepada pemimpin tetapi apabila dah lari begitu kita tak boleh biarkan sesiapa pun menumbangkan kita,” katanya disambut tepukan gemuruh penduduk yang hadir.

Sharizat menyerus penduduk sentiasa bekerjasama dengan semua pemimpin menyokong dan memilih BN dalam pilihanraya akan datang bagi memastikan Belanjawan 2013 dapat direalisasikan untuk kesejahteraan rakyat negara ini.

“Inilah satu-satunya belajawan yang betul-betul berjiwa rakyat, dimana tiap-tiap daripada tuan-tuan dan puan-puan akan menerima ganjaran daripadanya (Belanjawan 2013),”

“(Namun) Ini semua Perdana Menteri boleh buat kerana kita diperingkat akar umbi (telah) menangkan parti (komponen) BN sebagai satu keluarga. Justeru itu marilah kita undi BN untuk kemenangan lebih besar agar kerajaan kita kuat sekali gus tmampu membawa keamanan, kesejahteraan, kestabilan dan pembangunan seluruh rakyat Malaysia secara berterusan.

Pada program yang dihadiri kira-kira 2,000 penduduk itu Sharizat berkesampatan menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang kurang bernasib baik di kampung itu.

SABAH DI AMBANG KEPUPUSAN PRIBUMI




Oleh : NASPAZI

SESUNGGUHNYA Sabah, Sarawak dan Malaya sama-sama pernah merasai pahitnya penjajahan; sama-sama mencapai kemerdekaan pada tarikh yang berbeza;  sama-sama membentuk Malaysia pada 16 September 1963; dan sama-sama dalam Malaysia dengan status yang setara.

Oleh itu, perkataan 'Malaysia' bukan hak siapa-siapa, bukan hak Sabah, bukan hak Sarawak dan bukan juga hak Malaya, tetapi adalah hak bersama dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963.

Namun begitu, Malaya kini menganggap Malaysia itu seolah-olah dirinya, lantas mendakwa Sabah Sarawak sebagai wilayahnya yang ke-12 dan ke-13 atas nama Malaysia 1957, maka jatuhlah taraf dan maruah Sabah Sarawak dari status negara kepada status negeri.

Justeru, impak nyata darinya adalah Malaya mengambil tempat British mentadbir (menjajah) Sabah Sarawak. Tujuannya, sudah tentu untuk membolot sumber hasil kekayaan Sabah Sarawak atas nama Persekutuan, sehingga Sabah Sarawak jatuh termiskin dalam Malaysia gara-gara perkataan 'Persekutuan' yang dijadikan C4 untuk menghancurkan konsep asal penubuhan Malaysia 1963.

Perkataan 'Persekutuan' dalam bahasa yang paling mudah difahami adalah rakan kongsi, saling bantu-membantu dan tolong-menolong dalam usaha mencapai manfaat bersama atau menghadapi bahaya bersama. Dalam konteks Malaysia, Sabah, Sarawak dan Malaya sama-sama dalam Malaysia bagi mencapai kemajuan dan pembangunan bersama.

Namun begitu, bukan semua Jabatan dari Malaya itu yang boleh dianggap sebagai Jabatan Persekutuan. Sebab, Malaya itu bukan Persekutuan, Persekutuan itu bukan Malaya. Yang demikian, hanya beberapa Jabatan dari Malaya yang boleh dianggap sebagai Jabatan Persekutuan, yang wajar wujud dan berfungsi menjalankan tugas sebagai Kakitangan Persekutuan bagi membantu dan menolong Sabah dalam hal-hal tertentu seperti berikut:

1. Cawangan Pejabat, Suruhanjaya Pilihanraya;
2. Cawangan Pejabat, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian;
3. Cawangan Pejabat, Pengatur Cara;
4. Cawangan Pejabat, Bank Negara;
5. Cawangan Pejabat, Penilaian Kawasan;
6. Cawangan Pejabat, Lembaga Tabung Pemindahan; dan
7. Cawangan Pejabat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Menyentuh soal kewujudan beberapa Jabatan di atas, yang dianggap sebagai Jabatan Persekutuan itu kononnya, maka Jawatan Setiausaha Persekutuan telah diwujudkan di Sabah pada tahun 1963, atas dasar tanggungjawab Malaya terhadap Sabah kononnya sebagai rakan kongsi dalam Malaysia untuk membantu mewujudkan jabatan-jabatan di Sabah, kerana Sabah belum ada kemampuan atau kepakaran sendiri tentangnya.

Fungsi  Pejabat Setiausaha Persekutuan di Sabah kononnya adalah untuk mentadbir, di mana dirasai perlu, perkara-perkara yang berkaitan dengan hal-hal Persekutuan di wilayah-wilayah Borneo, dengan menjalankan kuasa yang diamanahkan menurut undang-undang Persekutuan.

Bagaimanapun, kewujudan Jabatan Persekutuan tersebut di Sabah kononnya akan dihapuskan, selepas Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan di Sabah telah mencapai kematangan dan kemampuan sendiri dalam soal yang setugas dengannya, melalui persefahaman yang baik antara Kerajaan Sabah (Malaysia Timur) dengan Kerajaan Malaya (Malaysia Barat); tanpa menyentuh atau mengusik fungsi-fungsi dan tugas-tugas Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan di Sabah yang sudah kukuh seperti berikut:



JABATAN-JABATAN KERAJAAN SABAH

JABATAN KETUA MENTERI

1. Dewan Undangan Negeri Sabah;
2. Jabatan Tanah Dan Ukur;
3. Jabatan Hutan;
4. Jabatan Kajibumi;
5. Jabatan Cetak Kerajaan;
6. Pusat Pembangunan Masyarakat;
7. Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah;
8. Jabatan Pendaftaran;
9. Jabatan Imigresen;
10. Jabatan Pelajaran;
11. Jabatan Perangkaan;
12. Perkhidmatan Perubatan Dan Kesihatan;
13. Jabatan Kastam;
14. Pasukan Polis Komponen Sabah;
15. Pejabat Penilaian Kawasan;
16. Perkhidmatan Kajicuaca;
17. Jabatan Penerangan;
18. Jabatan Penyiaran;
19. Yayasan Sabah; dan
20. Biro Bahasa Malaysia.

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN PERIKANAN



1. Jabatan Pertanian;
2. Jabatan Perikanan;
3. Jabatan Parit Dan Taliair;
4. Jabatan Kemajuan Kerjasama;
5. Lembaga Padi Sabah; dan
6. Lembaga Tabung Getah Sabah.

KEMENTERIAN PERHUBUNGAN DAN KERJARAYA

1. Jabatan Kerjaraya;
2. Keretaapi Negeri Sabah;
3. Jabatan Kenderaan Jalanraya;
4. Jabatan Laut;
5. Jabatan Penerbangan Awam;
6. Jabatan Perkhidmatan Pos;
7. Jabatan Telekom;
8. Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah; dan
9. Lembaga Letrik Sabah.

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN PERUSAHAAN

1. Pembangunan Perusahaan Sabah.

KEMENTERIAN KEWANGAN



1. Kemajuan Ekonomi Negeri Sabah; dan
2. Jabatan Hasil Dalam Negeri.

KEMENTERIAN KERAJAAN TEMPATAN

1. Suruhanjaya Perumahan Negeri Sabah; dan
2. Perkhidmatan Bomba.

KEMENTERIAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

1. Jabatan Perkhidmatan Masyarakat;
2. Perpustakaan Kerajaan;
3. Muzium Sabah; dan
4. Jabatan Penjara.

Malangnya, selepas kerajaan USNO yang digantikan oleh Kerajaan Berjaya pada tahun 1976, maka berlakulah perubahan bentuk dan fungsi perkataan 'Persekutuan' yang ditimpakan ke atas Sabah oleh Malaya.

Oleh itu, secara drastik dan menyeluruh Malaya telah mengubah fungsi persekutuan dalam bentuk dominasi atau penjajahan tanpa memperdulikan konsep dan semangat persekutuan dalam erti kata rakan kongsi dalam Malaysia.

Justeru, berlakulah pengambilan secara besar-besaran (rompakan sebenarnya) ke atas Jabatan-Jabatan Kerajaan negara Sabah oleh regim Malaya, termasuk Pulau Labuan dengan cara Loyar buruk dan putar alam, penipuan dan pembohongan, sehingga orang buta pun nampak topeng mega penipuan dan pembohongan regim Malaya dalam usaha mempertolol kerajaan Sabah pasca USNO untuk merompak dan menyamun sumber hasil kekayaan Sabah; sehingga Sabah termalu dan teraib sebagai negeri paling miskin di Malaysia, pada hal Sabah memiliki sumber hasil kekayaan yang banyak dan besar berbanding 11 negeri Malaya.

Perlu ditegaskan, bahawa loyar buruk bukan terma dan syarat pembentukan Malaysia. Walaupun tema loyar buruk dan putar alam menjadi instrumen regim Malaya untuk mewajarkan kejatuhan Sabah Sarawak kepada negeri di bawah hegemoni regim Malaya, namun pengadilan sejarah yang murni akan menjadi hakim pemutus yang membuktikan, bahawa Malaya, Sabah dan Sarawak dalam Malaysia adalah setara (sama taraf).

Lantarannya, sementara regim Malaya bermati-matian menipu; bermati-matian berdusta; dan bermati-matian mewajarkan kebohongannya dalam kelompok puak yang jahat. Namun, bertolak dari kejahatan mereka, mereka telah mendapat apa yang mereka inginkan di Sabah akhirnya, iaitu sekitar RM37 billion hasil kekayaan bumi Sabah setahun atas nama Malaysia 1957, kononnya.

Manakala, pengamal politik Sabah yang menjadi proksi kepada regim Malaya, yang bermatian-matian mempertahankan penipuan, pendustaan, pembohongan dan mewajarkan kejahatan regim Malaya; hanya mendapat jutaan PATI yang diberi IC Projek.

Malah status negara Sabah diturunkan kepada negeri; kerajaan negara Sabah dirampas; jabatan-jabatan kerajaan negara Sabah disamun; sumber hasil kekayaan Sabah dirompak; dan tanah-tanah NCR Sabah disonglap.

Kini, wabak PATI yang diberi IC Projek oleh regim Malaya sedang berkembang dan membiak menjadi ancaman terbesar kepada kelangsungan generasi pribumi asli Sabah sepanjang zaman. Dalam erti kata lain, Sabah sedang di ambang kehilangan generasi pribumi aslinya, jika masih tiada kesedaran yang menjelma untuk mempertahankannya.

Sesungguhnya, IC Projek regim Malaya kepada PATI di Sabah, sedang menghantar isyarat yang nyata, bahawa cahaya kehidupan dan masa depan generasi pribumi asli Sabah dalam Malaysia amat suram dan akhirnya bakal terpadam menuju kehancuran abadi, laksana terpadamnya keagungan bangsa Aztec dan Maya dalam sejarah Amerika moden.

Demikianlah, kehidupan berlangsung di atas kematian yang lain. Kehidupan penguin di atas kematian ikan; kehidupan ana-anai di atas kematian pokok; kehidupan katak di atas kematian serangga; kehidupan bangsa Eropah di atas kehancuran bangsa Aztec dan Maya; dan kehidupan warga IC Projek regim Malaya di atas kehancuran generasi pribumi asli Sabah kelak.

Yang demikian, dalam siri paradigma penulis yang lepas, penulis pernah menyatakan, bahawa pengalaman sejarah telah menawarkan pelbagai bukti yang tidak terkira banyaknya, tentang betapa kemusnahan warga tulen sesebuah wilayah akibat rempuhan orang asing adalah nyata.

Sebagaimana yang ditunjukkan dengan jelas dalam sejarah rempuhan warga Eropah ke atas bangsa Aztec dan Maya, yang akhirnya telah menghancurkan bangsa Aztec dan Malaya, waima menjadi Red Indian yang begitu hina di khalayak Amerika moden.

Wal hal, bangsa Aztec dan Maya merupakan antara bangsa manusia yang mencetuskan tamadun tinggi kepada dunia, sehingga kalendar sejagat yang berasaskan kepada matahari adalah hasil penemuan tamadun mereka.

Oleh itu, buat rakyat Sabah yang bukan siapa-siapa dalam arena peradaban dunia, berbanding dengan bangsa Aztec dan Maya, sudah tentu lebih mudah lagi berhadapan dengan kehancuran dan kemusnahan dalam senario IC Projek ciptaan regim Malaya.

Justeru, kekuatan terbesar rakyat Sabah dalam menghadapi cabaran jahat regim Malaya adalah jangan memberi muka kepada mereka; jangan layan mereka; jangan lagi berkompromi dengan mereka, sebagaimana ketegasan dan keberanian Sultan Brunei dan politikus Singapura mengabaikan kelentongan auta regim Malaya. Ingatlah, Brunei Singapura sekarang, merupakan antara ranking negara terbaik, terkaya dan termaju di dunia!


Lantaran itu, rakyat Sabah hendaklah membangun semula kepercayaan diri kepada sebuah kebangkitan dan kemenangan dari terus menjadi mangsa oleh arus perancangan jahat regim Malaya.

Walaupun tahun-tahun yang lepas telah pergi meninggalkan Sabah dalam kehinaan dan telah memberikan Sabah keaiban di bawah pimpinan proksi regim Malaya. Justeru, sejarah Sabah akan mengenangnya sebagai tahun-tahun kerugian dan kesedihan dengan penuh kepedihan dan penyesalan.

Sesungguhnya rakyat Sabah, tidak lahir ke dunia hanya untuk menjadi rakyat yang tidak layak untuk mendapatkan apa yang rakyat Sabah inginkan dalam negaranya sendiri, sehingga terpaksa menghadapi kehidupan dan kematian di sebalik perangkap yang mendakwa sebagai rakan kongsi setara pada mulanya, namun menjadi pengkhianat dan penindas pada akhirnya.

Oleh itu, rakyat Sabah perlu mempertahankan kelangsungan generasinya, hasil kekayaan sumber buminya dan tradisi budayanya dengan penuh kearifan dan kesedaran baru, bahawa kelangsungan hidup generasi pribumi Sabah pada masa akan datang, tidak jatuh dari langit ke tangan generasi pribumi Sabah, jika pribumi Sabah sendiri yang tidak berusaha untuk mempertahankannya!

PAS KESAL ASRNS TIDAK DIPULIHKAN




Oleh: HAMZAH HJ ABDULLAH

PAS Sabah merasa kesal dengan pembentangan Bajet 2013 yang langsung tidak mengembil kira hak kebajikan rakyat Negeri ini. Bagi pihak rakyat Sabah, saya telah meneliti kandungan Bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan merumuskan bahawa yang akan 'kenyang' daripada dentuman Bajet ini hanya pemimpin UMNO/BN.

Rakyat Sabah, khususnya pribumi Sabah, yang rata-rata masih berada di bawah paras kemiskinan hanya bakal menerima tangki-tangki air dan keperluan asas yang hanya  boleh bertahan paling lama 8 bulan.

40,000 tangki air 1Malaysia yang bakal diageh-agehkan kepada orang kampung hanya 'menggemukkan' pembekal yang tentunya kroni-kroni UMNO/BN dan mempunyai saham dalam bentuk komisyen. Tangki air ini hanya mempunyai jangkahayat paling lama 8 bulan kerana daripada jenis berkualiti rendah.

BN sewajarnya tidak berfikir bahawa rakyat masih bodoh dan boleh diperbodohkan seperti zaman sebelum wujudnya ICT. Sekarang kita berada pada era maklumat berada di hujung jari.

Rakyat Sabah masih tidak lupa dengan teguran Ketua Audit Negara bagaimana peralatan sekolah dan alat kelengkapan tentera seperti teropong telah dibeli dengan harga sehingga melonjak 1,000% dari harga asal! Ini lah yang mesti rakyat fikir dan usah teruja terhadap pembentangan yang masih jauh daripada jangkauan kita.

PAS Sabah menuntut supaya dipulihkan semula Amanah Saham Rakyat Negeri Sabah (ASRNS) atau popular dengan panggilan Amanah Saham Tun Mustapha yang telah diasaskan oleh Bapa Kemerdekaan Sabah, Almarhum Tun Mustapha di era pemerintahan USNO.

Almarhum Tun Mustapha adalah pemimpin Sabah pertama yang mempunyai ciri-ciri pemimpin seorang yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kebajikan rakyat Sabah. Di zaman Tun Mustapha jugalah pelajar-pelajar Sabah yang cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke UK atau Australia dengan pembiayaan wang Yayasan Sabah, yang mempunyai konsesi balak pemberian Kerajaan Negeri.

Almarhum Tun Mustapha juga telah menggunakan wang kerajaan Negeri bagi membiaya kos menunaikan haji bagi jemaah haji Sabah, termasuk membiayai guru-guru agama yang bertauliah untuk mengajar di sekolah-sekolah agama seluruh Sabah.

PAS Sabah menuntut supaya Datuk Pairin mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas pemansuhan Amanah Tun Mustapha kerana di zaman PBS lah amanah saham ini telah dimansuhkan!

PAS Sabah seterusnya mencabar Pairin supaya 'cakap serupa bikin' kalau benar dia bersetuju dengan slogan 'rakyat didahulukan'. Ini masanya kehendak rakyat diutamakan memandangkan Datuk Pairin masih berkuasa di dalam kerajaan UMNO/BN Sabah.

PAS Sabah menuntut supaya pembayaran amanah saham ini dibuat dengan mengambil kira tahun ia dimansuhkan iaitu sekitar tahun 1988. Ertinya rakyat Sabah berhak mendapat saham ini  untuk tempoh tertunggak sejak 1988 yang bererti selama 24 tahun.

Kalau setiap tahun rakyat Sabah yang layak mendapatnya berjumlah RM200 setiap tahun, maka setiap seorang rakyat yang layak mesti diberikan hak mereka berjumlah RM4,800!

PAS Sabah akan membawa isu ini ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Pakatan Rakyat yang akan datang agar diterima sebagai sebahagian daripada Manifesto Pilihanraya.