Tuesday, 22 February 2011

LANTIK SISWAZAH TEMPATAN SEBAGAI GSTT



Oleh: MAIL MATHEW

KETUA Bahagian United Pasokmomogun Kadazandusun dan Murut Orginazation (UPKO) Tenom, Biou Suyan (gambar), menegaskan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu rasional dalam tindakannya mengatasi masalah kekurangan guru di Sabah terutamanya di kawasan terpencil luar bandar yang tidak sepatutnya bergantung kepada penghantaran guru-guru dari Semenanjong untuk mengisi kekosongan tersebut.

Tegasnya, selain kira-kira 578 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tamat kontrak tahun lepas disambung, manakala selebihnya lebih praktikal jika KPM melantik para belia tempatan yang berijazah dan masih menganggur mengisi kekosongan jawatan tersebut.

“Kita menyokong jika GSTT yang sudah mempunyai pengalaman disambung semula kontrak mereka kerana membiarkan para GSTT terus menganggur seolah-olah mereka disisihkan dan teraniaya begitu sahaja,” kata beliau dalam satu kenyataan ketika memberitahu Sabahkini.net di Kemabong petang tadi sambil menyatakan bahawa penghantaran guru-guru dari Semenanjung tidak menyelesaikan masalah tersebut.

Biou berkata demikian ketika menyokong kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan baru-baru ini berhubung tindakan KPM yang menghantar guru-guru dari Semenanjung untuk mengisi kekosongan guru di kawasan terpencil luar bandar.

Sebelum itu pada Sabtu lepas, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan akan terus menghantar guru ke Sabah dan Sarawak sehingga masalah kekurangan guru mahir di dua negeri berkenaan dapat diatasi. Ekoran kenyataan beliau itu telah mengakibatkan banyak penentangan di kalangan pemimpin-pemimpin politik BN dan pembangkang di Sabah.

Katanya lagi, beliau masih teringat suatu ketika dahulu di mana wujud ketidak puasan hati di kalangan guru-guru tempatan dengan mereka yang dari Semenanjung yang menerima imbuhan elaun wilayah dan perumahan yang tinggi tetapi ditempatkan di kawasan bandar dan pekan.

Manakala guru-guru tempatan tegas Biou, dipindahkan pula kekawasan luar bandar yang terpencil yang terpaksa mengharungi hutan belantara selain tidak memiliki kemudahan elektrik dan kemudahan moden lain, tetapi tidak menerima imbuhan sepertimana yang diperolehi dari rakan mereka dari Semenanjung.

“Keadaan sebegini telah mewujudkan suasana yang tidak menyenangkan perasaan pemimpin-pemimpin di Sabah yang menyifatkannya sebagai ada perbezaan dari segi layanan kerajaan pusat, khususnya KPM di antara guru-guru tempatan dan Semenanjung,” tegas Biou yang berterus terang menyatakan bahawa kerajaan BN tidak berusaha malah gagal dalam menangani masalah perbezaan layanan tersebut.

Biou yang agak kesal dengan situasi itu seterunya berkata, “Dari dulu lagi kita tidak senang hati dengan cara pusat mengendalikan temuduga pemohonan pekerja, sebagai contoh, jika seratus belia graduan kita ditemuduga, keputusannya hanya dua atau tiga orang sahaja yang dapat. Itulah yang saya maksudkan wujud perbezaan layanan yang tidak seimbang, seterusnya tidak menyenangkan kita,” kata Biou yang menekankan agar pemimpin politik Semenanjung menghormati Perjanjian Malaysia dan 20 Perkara.

No comments:

Post a Comment