Oleh: MAIL MATHEW
DUA penduduk dari Mukim Rundum, Eman bin Undok, 57, Ketua Cawangan UMNO Bangkulin dan Palipus bin Ampasu, 45, terus dilanda kebimbangan dan khuatir mereka akan dipaksa menjadi pelarian di bumi sendiri sekiranya masalah status perkampungan mereka yang dilabelkan Jabatan Hutan sebagai ‘HARAM’ kerana terletak di kawasan Hutan Simpan yang merangkumi Kg Katubu, Kg Kapulu dan Kg Sumambu tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini.
Mereka menegaskan bahawa, mereka ingin mengetahui perkembangan status perkampungan mereka selepas dituduh menduduki dan membuka ladang kawasan Hutan Simpan secara haram oleh Penguatkuasa Jabatan Hutan yang mengusir mereka dari kawasan itu pada 13 Januari 2011.
Justeru, mereka meminta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman untuk campurtangan menyelesaikan masalah tersebut dalam masa terdekat ini demi masa depan anak cucu cicit dan penduduk di situ seramai 3,000 orang.
Pengarah Jabatan Hutan, Datuk Sam Mannan dalam kenyataannya selepas insiden tersebut telah menambah keperitan perasaan mereka dan menyifatkan Sam Mannan seolah-olah menghalalkan tindakan ganas kakitangannya.
Apa tidaknya tambah mereka, Mannan mendakwa kononya penduduk yang mendirikan pondok (shelter) disitu hanyalah tempat mereka berteduh yang lebih bersifat sementara dan bukannya rumah bangunan kekal seperti yang penduduk dakwa sebelum itu.
Antara lain, Sam Mannan mendakwa bahawa pondok itu didirikan semata-mata untuk kegunaan sebagai perhentian mereka (penduduk) ketika aktiviti berburu binatang sambil menerokai perladangan di kawasan hutan simpan secara haram.
Bagaimanapun Eman Undok menyangkal dakwaan itu dengan memberi penjelasan bahawa rumah orang kampung yang diulit kemiskinan sejak dahulu kala sememangnya seakan-akan pondok tetapi itulah sebenarnya rumah kekal mereka.
“Kalau itu disifatkannya sebagai tempat persinggahan sahaja, bagaimana pula padi yang dihasilkan di situ ada tersimpan disulap itu, sedangkan kami sudah tinggal di sini sejak turun temurun mewarisi nenek moyang kami lagi,” tegas Eman.
Memanglah, kata Eman, Sam Mannan menganggap rumah mereka di sini sebagai pondok kerana ini bukan bangunan konkrit yang terdapat seperti di Bandar, tambahan pula kesemua mereka miskin dan tidak mampu untuk membina bungalow.
"Jika Pelarian Filipina dibela dan diberikan tempat dalam parti dan kerajaan, kenapa kami penduduk Kampung Katubu dipaksa menjadi pelarian di tanah tumpah darah kami sendiri?," tanya Eman.
Insiden yang berlaku pada 13 Januari 2011 itu menyebabkan satu laporan Polis telah dibuat oleh Palipus Ampasu sekitar jam 1 petang setelah beliau telah diiringi beberapa penduduk kampung terbabit termasuk Ketua Kampong (KK) Haji Sabli Ambarok.
Sementara itu, Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raimie Unggi dalam kenyataan beliau (akhbar ini) pada 21 Januari 2011 menyelar sikap Jabatan Hutan sebagai bertindak ‘sambil lewa’ dan tidak serius.
Raimie turut dipetik sebagai berkata bahawa perkara tersebut sudah dikemukakan kepada Jabatan itu sejak sekian lama, namun gerak kerja bagi mengenal pasti tanah adat seluas lebih kurang 800 ekar diabaikan oleh Jabatan itu.
Inilah akibatnya mengundi BN. BN bukanlah pembela Rakyat malah perampus hak Rakyat. Dengan mengumpan dengan Wang ringgit semasa pilihan raya sudah termakan umpan tersebut. Jadi sekarang bangunlah, sedarlah sebelum terlambat. Masih lagi ada harapan jika kita menukar kerajaan yang zalim sekarang ini.
ReplyDelete