Wednesday, 2 November 2011

HOSPITAL KENINGAU CARI ‘AUNTIE KECEWA’




EKORAN daripada aduan ‘Auntie Kecewa’ bertajuk ‘Doktor Hospital Keningau Semakin Cuai’ yang disiarkan pada 7 Oktober 2011, di Sabahkini.net, Hospital Keningau dalam suratnya Bil (5) dlm. PPKGU (SB) (S) 199/2/1 (Kes 10/2011) bertarikh 24 Oktober 2011, mencari ‘Auntie Kecewa’ agar menghubungi Pengarah Hospital Keningau, Dr Adnan Musa Balidran bagi menyelesaikan aduan yang difailkan melalui Sabahkini.net.

(NOTA: Atas Dasar Perlindungan Saksi, Sabahkini.net tidak dapat memberikan maklumat nama penuh, alamat dan biodata Auntie Kecewa tanpa kebenarannya. Sehubungan itu, adalah elok jika Auntie Kecewa menghubungi Dr Adnan melalui Talian 087-313000).

Tuesday, 1 November 2011

LDP HARUS TENTANG UMNO DALAM PRU-13



Oleh : MUTALIB M.D

PARTI Liberal Demokratik (LDP) disaran menentang UMNO satu lawan satu bagi kerusi Parlimen Sandakan untuk membuktikan sama ada LDP masih relevan; atau sinonim dengan MCA atau GERAKAN di Semenanjung, tanpa bantuan UMNO/BN.

Aktivis Politik, Abdullahsani Haji Abdul Salleh yang menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi mencadangkan formula tersebut sebagai penyelesaian kepada kemelut politik yang ditimbulkan hampir semua pemimpin tertinggi LDP terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

“Walaupun cadangan ini ganjil, tetapi itulah cara penyelesaian ‘Anak Jantan’ kerana pemimpin LDP seperti V.K.Liew, Chin Su Phin dan Nancy Lim Ng Guan sering mendabik dada mengagungkan LDP sebagai Parti pilihan rakyat, terutama parti pilihan masyarakat Cina,” kata Abdullahsani yang menegaskan LDP tidak lagi sesuai berada di dalam BN kerana walaupun tidur satu bantal, tetapi mimpi lain-lain.

Tidak ada gunanya, kata Abdullahsani, Chin Su Phin menjadi ‘Kuda Tunggangan’ Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melalui umpanan projek dan jawatan Senator jika berperangai seperti ‘Parasit’ yang menghancurkan BN dari dalam.

“Cerita ‘Menteri Pelesit’ Shafie Apdal ini sudah diketahui umum, terutama memperdaya Menteri Kewangan Malaysia dengan melantik kontraktor yang mampu menawarkan komisyen yang tinggi, sekalipun tidak mempunyai pengalaman, dana atau kelayakan,” kata Abdullahsani yang turut membidas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana cuai menjalankan siasatan sekalipun banyak laporan dibuat terhadap Shafie.

Abdullahsani turut menamakan adik Shafie, Haji Mohd Yusof Apdal, Christopher Chiew, Marzuki Datuk Nasir dan Aziz Jamman sebagai ‘runner’ yang dilantik Shafie untuk memungut komisyen daripada kontraktor yang menjalankan projek NKRA di seluruh Malaysia.

“Dia merasakan dengan wang haram yang begitu banyak dia mampu membeli Ketua UMNO Bahagian dan pemimpin Parti Komponen di Sabah, terutama LDP dan PBS untuk melaksanakan fasa keempat Kudita (Coup-de-taat) dengan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Ketua Menteri Sabah,” kata Abdullahsani yang mengakui Shafie kini sebagai beban paling besar yang digalas Perdana Menteri.

PDRM SINONIM DENGAN MAHARAJA LAWAK?


LAWAK...Antara pelakon Maharaja Lawak yang boleh dinobatkan sebagai JUARA abad ini.

Oleh : MUTALIB M.D

SKANDAL pembunuhan ibu tunggal, Kartini Binti Borhan, kini memasuki fasa pertengahan selepas Polis membebaskan tertuduh, Inspektor Ahmad Omar dengan ikat jamin RM20,000 tanpa deposit sementara menunggu kes ini disebut di Mahkamah; seolah-olah satu episod daripada Persembahan Maharaja Lawak di Astro.

Seorang saksi yang menghubungi Sabahkini.net berkata, beliau dan beberapa rakan terkejut melihat Rizal memandu laju sebuah Proton Wira Hitam bernombor SU5539 A pada 29 Oktober 2011, lebih kurang jam 7.15 malam ke Barik Polis tempat beliau tinggal; sedangkan Daily Express keluaran 26 Oktober 2011 memaparkan gambar Rizal masih menggunakan tongkat kerana mengalami kecederaan di kaki.

Sehubungan itu, Sabahkini.net mendapat tahu bahawa bapa mangsa, Borhan Bin Sulaiman, 52, yang menetap di Kampung Banjar, Keningau membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu kerana bimbang dikasari atau dimarahi oleh pegawai polis di Balai Polis Keningau.

Dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Karamunsing, Keningau/4940/2011 yang diterima Koperal Norainie pada 1.30 petang, 30 Oktober 2011, Borhan mendakwa bahawa Rizal telah membuat laporan palsu dan mendesak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sejajar dengan undang-undang yang berkuatkuasa.

Borhan menyatakan bahawa pegawai polis, Ahmad Rizal Omar, 29, dikatakan telah mendapat panggilan daripada anak Borhan (mangsa), Kartini, 27, yang kononnya meminta bantuan apabila mendapati seorang lelaki tidak dikenali pada kira-kira jam 4.40 pagi berpusing-pusing di kawasan rumah mangsa.

Anggota polis itu kemudian bergegas ke rumah wanita terbabit dan mendapati pintunya terbuka sebelum melihat mangsa sedang bergelut dengan seorang lelaki yang memegang pisau lalu cuba memberi bantuan.

3 SEGI....Mungkinkah Cinta Tiga Segi menjadikan roh Kartini tidak tenang selagi Rizal masih bersama isterinya?

Dalam keadaan kelam-kabut, suspek nekad menikam anggota polis terbabit di kaki, bahu dan belakang badan menyebabkan mangsa berlumuran darah, sebelum suspek melarikan diri.

Pegawai polis yang dalam keadaan cedera ekoran pergelutan itu sempat melihat suspek menikam mangsa di badan dan terus meminta bantuan di balai polis sebelum dikejarkan ke Hospital Keningau untuk rawatan kecemasan.

Menurut Borhan, beliau terpaksa membuat laporan polis kali kedua kerana mengesyaki bahawa Ahmad Rizal Omar telah melakukan beberapa penipuan di dalam kes ini, termasuk menyembunyi dan memalsukan beberapa fakta berkenaan kes tersebut iaitu;

01.Membuat laporan polis mengatakan kejadian rompakan telah berlaku pada awal pagi kejadian, namun fakta menunjukkan bahawa tiada apa-apa tanda rompakan berlaku seperti pintu rumah langsung tiada tanda pecah masuk.

02.Menyatakan bahawa arwah Kartini ada menghubungi beliau pada awal pagi kejadian untuk meminta bantuan, sedangkan secara fakta tiada bukti panggilan daripada bil telefon arwah Kartini yang dikeluarkan oleh DiGi bertarikh 1 September - 30 September 2011.

03.Menurut Doktor Ganesan iaitu Doktor Forensik Kota Kinabalu yang menyatakan secara lisan kepada Borhan bahawa Kartini telah meninggal dunia kira-kira 3 jam lebih awal sebelum 5.30 pagi pada 29 September 2011 . Ini bererti kejadian bunuh tersebut terjadi sekitar 2.30 pagi dan amat bertentangan dengan laporan Ahmad Rizal Omar dari segi masa kejadian iaitu 4.40am menerima panggilan dan 5.15am menghantar arwah ke hospital.

04.Ahmad Rizal Omar mengaku sebagai ahli keluarga arwah Kartini semasa menghantar arwah Kartini ke hospital sedangkan mereka langsung tiada kaitan persaudaraan.

05.Dalam laporan Ahmad Rizal Omar meminta bantuan di Balai Polis Keningau selepas kejadian, tetapi kenapa tidak ada kereta ambulance atau pun kereta polis menghantar arwah ke hospital, tetapi hanya membawa arwah Kartini menggunakan kereta persendirian Ahmad Rizal Omar.

06.Menurut bil DiGi arwah Kartini pada pukul 10.30 pagi dan 16.47 petang pada 29 September 2011 selepas arwah Kartini meninggal dunia, terdapat panggilan keluar dibuat ke nombor 0138515934 (Azizi) dan ke 0138816607 (Ahmad Rizal Omar). Bolehkah bahan bukti digunakan kerana pada ketika itu telefon milik arwah telah berada di Balai Polis Keningau yang telah diambil oleh pihak polis untuk dijadikan barang bukti pembunuhan.

07.Laporan polis yang dibuat oleh Ahmad Rizal Omar disyaki merupakan suatu penipuan untuk menutup fakta kejadian sebenar, bahkan Ahmad Rizal Omar tidak ke Balai Polis Keningau untuk membuat laporan polis tersebut kerana beliau telah ditahan di wad hospital Keningau pada pagi itu.

Sehubungan itu, kata Borhan, beliau menggesa PDRM menyiasat segala penipuan yang dilakukan oleh Ahmad Rizal Omar dengan dibantu oleh beberapa anggota polis Balai Polis Keningau lain pada pagi kejadian.

JANGAN SALAH GUNA PINJAMAN



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

PERNIAGAAN Restoran memerlukan rencah sari resepi, pengalaman dan aura menarik pelanggan, tukang masak yang berpengalaman dan budaya menghormati pelanggan seperti ‘Raja’; semua keperluan ini telah dipenuhi oleh Diana Catering.

Pengerusi Koperasi Usahawan Wanita Bumiputera Sandakan Bhd, Noraini Sulong berkata demikinan dalam ucapannya ketika merasmikan pembukaan restoran baru iaitu Diana Catering yang terletak di Bandar Satelit Litat di Sandakan, kelmarin.

“Memang ramai bumiputera yang menceburi dalam bidang perniagaan seumpama ini, tetapi tidak mempunyai daya tahan dan daya saing kerana berpunca daripada sikap pada pemilik restoran itu sendiri yang tidak berani menghadapi sebarang cabaran dan tidak sabar menghadapi karenah pelanggan,” kata Noraini sehingga menyebabkan perniagaan mereka berhenti separuh jalan.

Kata Noraini, sebagai seorang peniaga, sewajarnya tidak mudah mengalah kerana jika gagal sekali, bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya; malah harus berani bangkit kembali dan berhadapan dengan pelbagai rintangan untuk menempuh kejayaan.

Noraini turut mendedahkan sikap segelintir bumiputera yang telah mendapat kemudahan pinjaman daripada institusi kewangan sama ada bank mahupun MARA dan TEKUN yang tidak memanfaatkan peluang yang diberikan sebaliknya menyalah gunakan pinjaman untuk tujuan lain sehingga modal pusingan lesap begitu sahaja.

“Ada yang menggunakan pinjaman tersebut untuk membeli kereta mewah seperti double cap dengan harga RM100,000 dan bayaran ansuran bulanan tidak kurang RM900untuk jangka masa 9 tahun lamanya. Jadi macam mana mahu bayar balik hutang-piutang bank, hutang kereta, bayar sewa kedai dan sebagainya?,” tanya Noraini yang kesal dengan sikap haloba segelintir peniaga bumiputera yang gemar menyalahkan kerajaan jika terjerat dengan hutang.

Sementara itu, dalam temubual eksklusif dengan pemilik Diana Catering, Normalah Piut menjelaskan bahawa beliau menceburi bidang penyedian makanan ala katering sejak 20 tahun lalu bermula daripada Gerai Bumiputera milik MARA.

“Setelah gerai tersebut diroboh kerana tapak tersebut dibangunkan Kompleks SEDCO, kami berpindah ke komplek tersebut dan dari situlah perniagaan kami terus berkembang maju dan tahap pendapatan harian yang diperoleh agak lumayan kerana pelanggan tak putus-putus berkunjung,” ujar Normalah.

Mungkin disebabkan perniagaannya maju, maka usaha mereka telah mendapat perhatian khusus daripada beberapa institusi kewangan, lantas Diana Katering mendapat tawaran pinjaman kemudian sehingga dapat berpindah ke bangunan yang ada sekarang ini kerana lokasinya amat strategik.

RUBIN ‘JUAL BORONG’ ORANG MURUT?



Oleh: GONOD SUNDA

KEGHAIRAHAN pemimpin-pemimpin politik KDM untuk mendapat kuasa lebih dalam UMNO sehingga mereka hilang arah dalam memacu persatuan yang menghimpunkan ratusan ribu pengikutnya; terutamanya Persatuan Murut Sabah (PMS) yang dipimpin Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang yang kini menjadi Timbalan Presiden Persatuan KDM Malaysia di bawah teraju Datuk John Ambrose, Ketua BahagiAn UMNO Penampang.

Malahan ramai yang menyifatkan kemunculan Persatuan KDM Malaysia yang diasaskan pemimpin KDM dalam UMNO amat mengelirukan, malah persatuan itu seolah-olah ingin mencantas dan mengambil alih peranan persatuan kesukuan lain yang telah wujud sekian lama, khususnya PMS.

Mereka juga turut mempersoalkan motif di sebalik keistImewaan Persatuan KDM Malaysia diluluskan pendaftarannya, sedangkan etnik-etnik kesukuan dalam KDM telah pun mempunyai persatuan masing masing.

Adakah kelulusan ini mungkin satu strategi atau satu taktik memperalatkan Persatuan KDM Malaysia sebagai perkakas UMNO untuk memecahbelahkan KDM dalam konteks ‘Pecah dan Perintah’ bagi memenangi PRU13 untuk terus berkuasa di Sabah?

Tindakan Rubin menyertai KDM Malaysia, jelas menunjukkan satu percubaan paling tragis untuk ‘menjual borong’ orang Murut kepada UMNO, sedangkan bukan semua Murut menyukai UMNO atau BN.

Datuk Rubin yang menjadi Presiden PMS harus memahami perasaan ratusan ribu ahlinya dari keturunan suku kaum Murut yang merangkumi lapan etnik di dalamnya, sepatutnya perlu dimaklumkan terlebih dahulu hasratnya, sebelum terus menyertai Persatuan KDM Malaysia yang dianggap sebagai ‘telah membelakangi PMS’.

Selepas pengumuman penubuhan Persatuan KDM Malaysia beberapa hari lalu, Datuk John Ambrose turut mengumumkan hasrat persatuan itu untuk menyertai badan gabungan dengan UMNO sepertimana berlaku pada USBO.

Selain itu, menurut Datuk John Ambrose, persatuan itu akan membantu masyarakat KDM di luar bandar untuk mendapatkan PPRT kerana matlamatnya akan mempastikan BN kemenangan BN pada PRU13.

“Jika itulah niat yang tersirat dan tersurat di hati John Ambrose dan Rubin Balang, apakah UMNO dan BN tetap kalah pada PRU13 menyebabkan mereka terpaksa mengheret persatuan-persatuan ke kancah politik, sedangkan dalam perlembagaan persatuan masing masing khususnya PMS tidak membenarkan ianya diperalatkan sebagai batu loncatan seseorang pemimpin untuk maju dalam politik,“ kata seorang ahli PMS di Pedalaman, Christopher, yang dihubungi beberapa hari lalu.

“Kita tidak menghalang penubuhan itu kerana dalam Perlembagaan juga membenarkan demikian, tetapi biarlah penubuhan itu tidak berlaku pertindihan supaya masyarakat sesuatu kesukuan tidak terkeliru atau dalam dilema. Berapa banyak persatuan berasaskan KDM seperti KDCA, USDA, PMS, Murut 1 Borneo, Persatuan Tobilung Sabah dan banyak lagi. Apakah tidak boleh dimajukan dengan menggunakan jentera kerajaan jika tujuannya telus dan tidak terpesong kepada maksud yang lain,” tegas Christopher lagi.

Justeru, ramai ahli PMS yang meminta Datuk Rubin Balang menyatakan secara jelas kedudukannya, sama ada masih terus memimpin PMS atau memilih kedudukannya sekarang sebagai Timbalan Presiden Persatuan KDM Malaysia. Sekiranya jawapan Rubin memilih kedudukannya sekarang, maka beliau harus melepaskan jawatan selaku Presiden PMS secara terhormat.

Paling penting, ketelusan dan kejujuran Rubin untuk meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin Murut dengan cara yang betul dan terhormat supaya martabat suku kaum Murut di negeri ini akan terus disegani dan dihormati oleh masyarakat lain (kalau tidak pun di seluruh dunia) kerana prinsip dan pendirian yang jelas ketika memimpin ratusan ribu ahlinya; yang bukan kesemuanya mahu menyertai UMNO kerana mereka juga masing-masing mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza.