Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
PERNIAGAAN Restoran memerlukan rencah sari resepi, pengalaman dan aura menarik pelanggan, tukang masak yang berpengalaman dan budaya menghormati pelanggan seperti ‘Raja’; semua keperluan ini telah dipenuhi oleh Diana Catering.
Pengerusi Koperasi Usahawan Wanita Bumiputera Sandakan Bhd, Noraini Sulong berkata demikinan dalam ucapannya ketika merasmikan pembukaan restoran baru iaitu Diana Catering yang terletak di Bandar Satelit Litat di Sandakan, kelmarin.
“Memang ramai bumiputera yang menceburi dalam bidang perniagaan seumpama ini, tetapi tidak mempunyai daya tahan dan daya saing kerana berpunca daripada sikap pada pemilik restoran itu sendiri yang tidak berani menghadapi sebarang cabaran dan tidak sabar menghadapi karenah pelanggan,” kata Noraini sehingga menyebabkan perniagaan mereka berhenti separuh jalan.
Kata Noraini, sebagai seorang peniaga, sewajarnya tidak mudah mengalah kerana jika gagal sekali, bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya; malah harus berani bangkit kembali dan berhadapan dengan pelbagai rintangan untuk menempuh kejayaan.
Noraini turut mendedahkan sikap segelintir bumiputera yang telah mendapat kemudahan pinjaman daripada institusi kewangan sama ada bank mahupun MARA dan TEKUN yang tidak memanfaatkan peluang yang diberikan sebaliknya menyalah gunakan pinjaman untuk tujuan lain sehingga modal pusingan lesap begitu sahaja.
“Ada yang menggunakan pinjaman tersebut untuk membeli kereta mewah seperti double cap dengan harga RM100,000 dan bayaran ansuran bulanan tidak kurang RM900untuk jangka masa 9 tahun lamanya. Jadi macam mana mahu bayar balik hutang-piutang bank, hutang kereta, bayar sewa kedai dan sebagainya?,” tanya Noraini yang kesal dengan sikap haloba segelintir peniaga bumiputera yang gemar menyalahkan kerajaan jika terjerat dengan hutang.
Sementara itu, dalam temubual eksklusif dengan pemilik Diana Catering, Normalah Piut menjelaskan bahawa beliau menceburi bidang penyedian makanan ala katering sejak 20 tahun lalu bermula daripada Gerai Bumiputera milik MARA.
“Setelah gerai tersebut diroboh kerana tapak tersebut dibangunkan Kompleks SEDCO, kami berpindah ke komplek tersebut dan dari situlah perniagaan kami terus berkembang maju dan tahap pendapatan harian yang diperoleh agak lumayan kerana pelanggan tak putus-putus berkunjung,” ujar Normalah.
Mungkin disebabkan perniagaannya maju, maka usaha mereka telah mendapat perhatian khusus daripada beberapa institusi kewangan, lantas Diana Katering mendapat tawaran pinjaman kemudian sehingga dapat berpindah ke bangunan yang ada sekarang ini kerana lokasinya amat strategik.
No comments:
Post a Comment