Thursday, 1 December 2011

RAMAI MP BAKAL TINGGALKAN PARTI/BN?



Oleh : ISMAILY BUNGSU

APA gunanya terus dalam parti/BN kalau tidak dapat menyumbang kepada rakyat yang diwakili kesan pimpinan atasan asyik isi kantung sendiri?

Apa gunanya terus dalam parti kalau Sabah sendiri di bawah BN bukan semakin membaik, tetapi keadaan rakyat semakin memburuk dan rakyat tidak terbela, malah sejak 20 tahun UMNO berkuasa di Sabah, rakyat Sabah semakin menderita dan hidup di Sabah tidak aman lagi dan Kota Kinabalu seperti bandar orang asing kelihatannya.

Kehidupan rakyat semakin tersepit meski Sabah sebenarnya negeri yang kaya kerana hasil2 minyak, balak, hutan, laut dan segala macam, tetapi hampir semuanya dimiliki oleh orang asing kesan kepimpinan UMNO sendiri yang memiliki kuasa dan kemudian menjualnya kepada orang lain dan Sabahan hanya melihat dengan putih mata duduk di muka pintu.

Ramai pemimpin dalam BN merasa sakit hati tetapi mereka ini jadi serbasalah kerana kesan peraturan berparti tidak boleh melawan dan kerana itulah rata-rata mereka ini hanya menunggu waktu yang sesuai untuk bersuara dan kemudian segera meninggalkan parti sesudah waktunya tepat nanti.

Setakat ini ada 6 orang MP bakal meninggalkan parti dan bakal kepalai parti yang sekian lama ditubuhkan dan saya difahamkan parti berkenaan akan menjadi tapak untuk mereka berjuang untuk menentang BN/UMNO dan kalau ini terjadi maka Tsunami Politik akan terjadi di Sabah dan hal ini akan menjadi sejarah.

Apakah tidak memecahkan undi pembangkang?

Inilah suatu persoalan yang selalu bermain di kepala kita dan memang nyata yang kehadiran parti2 lain untuk bertanding di PRU-13 akan datang akan memecahkan undi pembangkang dan sebagai contoh tentu saja kes piliharaya kecil Batu Sapi dan ini akan pasti.

Tetapi untuk ini tidak mungkin, sebab saya ramalkan akan ada kesepakatan yang diluar jangka dan yang diluar jangka ini bakal menakutkan dan bakal menjahanamkan kepimpinan BN di Sabah, malah di Malaysia amnya.

Barangkali PAKATAN tidak akan menumpukan perhatiannya di DUN Sabah, tetapi lebih fokas kepada kerusi parlimen di Sabah. Parti lokal akan bertanding di kesemua 60 DUN di Sabah dan parti lokal ini akan bersatu hati dan tenaga untuk mempastikan ‘Satu Lawan Satu’ dan inilah yang selama ini menakutkan BN di sabah.

Memang diakui rata-rata rakyat Sabah sudah tidak percayakan UMNO/BN lagi dan demikian juga ahli PBRS dan UPKO sendiri yang ‘menumpang kasih’ termasuk PBS. Yang sebenarnya tinggal hanyalah mereka yang mendapat keuntungan sedikit sekadar mengalas perut untuk makan dan majoriti rakyat terutama KDM hidup dalam keadaan yang susah dan keadaan keselamatan serta masa depan Sabah, sebenarnya dalam bahaya kesan pendatang tanpa izin yang secara rasmi direstui oleh UMNO dan ini bakal menjahanamkan masa depan negara bangsa.

Memang parti lokal ini difahamkan sepakat dan telah membincangkan perkara ini dan kemungkinan PKR dan DAP hanya meletakkan sekitar 3-10 kerusi sahaja peringkat ADUN, tetapi PKR dan DAP akan meletakkan calon mereka di kesemua kerusi Parlimen untuk mempastikan Putrajaya bakal diambil alih.

Secara tolak campur menurut ramalan BN di Sabah/ramalan orang dalam, bahawa PAKATAN di Semananjung Malaysia akan menguasai 102 kerusi MP yang maknanya hanya diperlukan 10 kerusi Parlimen sahaja lagi untuk PAKATAN memerintah kerajaan persekutuan dan membolehkan Anwar duduki kerusi PM dan ini tidak mustahil kala di PRU-12 BN tersungkur di Semenanjung Malaysia. Cuma diselamatkan oleh Sabah dan Sarawak yang punya 55 kerusi MP dan ketika itu Sabah dan Sarawak menjadi ‘Talian Hayat’ Najib bin Razak yang membolehkan tidak kempunan duduki kerusi PM.

Pilihanraya umum DUN Sarawak musim lalu telah jelas memperlihatkan suatu peningkatan pengundi yang cukup bagus kerana hanya 55% pengundi mengundi BN, sedang 45% mengundi pembangkang dan tidak mengundi dan itupun pembangkang ketika itu tidak bersatu; maka kesannya di Sarawak BN banyak kehilangan kerusi DUN dan minggu lalu terjadi lagi kesan pecat memecat ADUN parti BN di Sarawak yang menimbulkan masalah dan ini memperlihatkan di PRU-13 akan ada perubahan yang cukup hebat dari segi kerusi MP nantinya.

Untuk Sabah kita lihat sekarang ini memang agak sukar untuk menguasai baik DUN atau MP kala yang kita lihat belum ada penyatuan yang baik di kalangan parti lokal/pembangkang dan sekarang ini semuanya sedang aktif mencari dan mendapatkan kuasa rakyat dengan cara masing-masing mengatakan bakal jadi juara; tetapi apa yang terjadi di dalam soal kesepakatan parti pembangkang rakyat masih kabur dan tidak hairan seperti yang saya perkatakan diawal tulisan ini bakal bersatu sesuatu yang ‘Ajaib’ dan di luar jangka.

Kalaulah apa yang saya ramalkan dan perkatakan ini menjadi dan ramalan di Semenajung yang PAKATAN bisa memperolehi 102 kerusi dan adalah perkara mustahil kalau-kalau pembangkang tidak berjaya mendapatkan 10 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.

Saya ramal pembangkang akan memperolehi sekitar 20-30 kerusi MP atau kalau-kalau rakyat sudah marah dan tidak mustahil rakyat akan menumbangkan BN seperti rakyat menumbangkan USNO dan BERJAYA dahulu sebab rakyat Sabah memang terkenal menumbangkan parti dalam sekelip mata kalau memang rasa benci dan muak sekian lama tersimpan dalam dada.

Mari kita fikirkan bersama soal yang saya fikirkan ini!

KEPUTUSAN KES ANWAR PENENTU PRU?



KEPUTUSAN kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara faktor penentu tarikh pilihanraya umum akan datang, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Setakat ini katanya, keputusan mahkamah dilihat masih berpihak kepada pendakwaraya, termasuk jangkaan menolak keterangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya sebagai saksi.

“Walau apapun cara, saya yakin Anwar akan dijatuhkan hukuman bersalah. Objektifnya mudah iaitu untuk memastikan Anwar tidak dapat bertanding,” kata beliau.

Namun begitu, kata Johari, sukar untuk meramalkan tarikh pilihan raya ekoran pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat masih kabur dan teragak-agak untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, Najib sebelum ini mengumumkan beberapa langkah pembaharuan, termasuk mengingatkan penghapusan kuota bumiputera melalui Model Ekonomi Baru yang diperkenalkannya tahun lalu.

“Jadi untuk laksanakan pilihanraya, Najib perlu sesuatu yang kuat dan ada objektif yang jelas sebagai modal berkempen. (Tetapi sekarang ) Ini dengan ekonomi yang murung ditambah dengan masalah dalaman Umno (sukar bagi Najib membuat keputusan),” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mat Akin berkata sebarang keputusan samada Anwar didapati bersalah atau tidak akan mengambil kira keadaan politik semasa.

“Kalau (sekiranya) Anwar dibebaskan ia dapat meraih keuntungan politik kepada Kerajaan BN, tidak mustahil mereka akan melaksanakannya. Ini kerana Najib akan memberitahu rakyat bahawa mahkamah sebenarnya bebas dan negara mengamalkan demokrasi sekaligus menafikan konspirasi,” katanya.

Menurut Shamsul isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah Anwar sebagai warganegara berhak mendapat perbicaraan adil.

“Kita lihat hampir keseluruhan masyarakat antarabangsa melihat kecacatan yang serius dalam kes ini khususnya untuk perbicaraan yang adil”

“Apa saja keputusan akan berkait dengan Najib bersama kabinetnya dan ia akan memberi kepada implikasi terhadap ekonomi dan politik negara,” kata beliau.

MANIS MUKA TARIK PERHATIAN PAU



"Manis Muka Dara nama aku bah. Dari Semporna, kayangan indah". Inilah kata-kata memperkenalkan diri seorang perwakilan Wanita Umno Sabah semasa membahaskan usul politik pada perhimpunan Pergerakan Wanita Umno (PAU), kelmarin.

Manis Muka binti Dara, 53, ialah perwakilan Umno Bahagian Semporna, daerah di pantai timur Sabah, kira-kira 83km dari Tawau.

Memiliki lesung pipit yang menawan, wanita suku kaum Bajau itu sentiasa menjadi tumpuan kerana namanya yang unik.

"Dari kecil hingga sekarang, nama saya sentiasa menjadi perhatian ramai kerana mereka ingin tahu maksud nama saya," kata ibu yang mempunyai 10 orang anak dan empat cucu.

"Nama saya yang glamour ini telah membawa tuah kepada saya. Kini, pemimpin-pemimpin mengingati saya berikutan nama saya yang unik," katanya kepada Bernama di sini hari Rabu.

Menurut Manis Muka, keturunan nenek moyangnya ‘cantik-cantik’ belaka dan ada yang mempunyai nama sepertinya berasal dari sebuah pulau bernama Simunu Tubig Indangan di selatan Filipina dan mereka mempunyai darah kacukan Sepanyol.

"Nenek moyang saya yang itu (Manis Muka) menjadi rebutan ramai, termasuk sultan-sultan di Filipina," katanya. (BERNAMA)

BLOGGER KOMOT PERLUKAN SOKONGAN



BLOGGER ‘Komot’ sudah sedar daripada pengsan namun tangan kirinya masih belum boleh digerakkan. Menurut maklumat keluarganya, pengurusan hospital memanggil semua ahli keluarga untuk taklimat perkembangan Raily Ritus pada hari ini (Khamis), 01 Disember 2011, jam 9 pagi, bertempat di Bilik Mesyuarat Utama,Tingkat 4, Bangunan Bilik Pakar, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.

Sehubungan itu, keluarga Raily mempelawa agar rakan-rakan bloger, ahli keluarga jauh dekat dan Peguam yang berminat dalam kes ini di jemput hadir. Maklumat Lanjut sila hubungi 0138817736 (Duali).

Dalam masa yang sama rakyat Sabah boleh menyalurkan derma peribadi mereka ke[ada Raily melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1210029000212711 atas nama Raily Ritus Munsin (MyKad 910211-11-6053); untuk mengurangkan beban keluarga Raily.

PILIHANRAYA UMUM KE 13, 15 JANUARI?



Oleh : SUARA PAKATAN RAKYAT

AKHBAR Cina, Oriental Daily dalam laporan muka depannya kelmarin memuatkan spekulasi terbaru tarikh pilihanraya umum bakal diadakan, iaitu pada 15 Januari 2012.

Asas kepada ramalan Oriental Daily ialah dari sumbernya yang mengatakan Perdana Menteri tidak akan berkunjung ke luar negeri pada Januari, selain cuti anggota polis yang dibekukan.

Akhbar Cina seperti yang kita ketahui jarang memilih berita-berita yang tidak punya kualiti untuk disiarkan, apatah lagi untuk dimuatkan di berita muka hadapan.

Penulis masih memegang pendirian bahawa ramalan-ramalan mengenai tarikh pilihanraya ini tidak mempunyai merit seperti mana yang telah banyak terbukti sejak Julai 2011.

Bagaimanapun, keberanian Oriental Daily memuatkan berita sedemikian di halaman depan, membuatkan penulis terfikir bahawa ramalan kali ini ada besar kemungkinannya untuk berlaku.

Jika ramalan Oriental Daily ini benar-benar menjadi kenyataan, kita akan menyaksikan buat pertama kalinya pilihanraya negeri untuk Selangor dan Pulau Pinang akan diadakan berasingan dari pilihanraya umum. Kedua ketua kerajaan negeri tersebut telah mengumumkan tidak akan membubarkan DUN masing-masing serentak dengan pilihanraya umum.

Satu lagi perkara besar yang dijangka akan berlaku jika benar pilihanraya dilangsungkan pada 15 Januari 2012, Pakatan Rakyat dan NGO Bersih akan meneruskan perhimpunan Bersih 3.0 berikutan proses menambah baik pilihanraya yang sedang dalam kajian Jawatankuasa parlimen berkaitan masih belum selesai.

Tempoh masa dari tarikh parlimen dibubarkan sehingga pilihanraya dilangsungkan akan memberi peluang kepada NGO Bersih untuk mengatur koordinasi perhimpunan tersebut.

Apa pun, keputusan akhir masih lagi di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dia pula diketahui mempunyai corak pemikiran yang sukar dijangka, waima oleh ahli partinya sendiri.