"Manis Muka Dara nama aku bah. Dari Semporna, kayangan indah". Inilah kata-kata memperkenalkan diri seorang perwakilan Wanita Umno Sabah semasa membahaskan usul politik pada perhimpunan Pergerakan Wanita Umno (PAU), kelmarin.
Manis Muka binti Dara, 53, ialah perwakilan Umno Bahagian Semporna, daerah di pantai timur Sabah, kira-kira 83km dari Tawau.
Memiliki lesung pipit yang menawan, wanita suku kaum Bajau itu sentiasa menjadi tumpuan kerana namanya yang unik.
"Dari kecil hingga sekarang, nama saya sentiasa menjadi perhatian ramai kerana mereka ingin tahu maksud nama saya," kata ibu yang mempunyai 10 orang anak dan empat cucu.
"Nama saya yang glamour ini telah membawa tuah kepada saya. Kini, pemimpin-pemimpin mengingati saya berikutan nama saya yang unik," katanya kepada Bernama di sini hari Rabu.
Menurut Manis Muka, keturunan nenek moyangnya ‘cantik-cantik’ belaka dan ada yang mempunyai nama sepertinya berasal dari sebuah pulau bernama Simunu Tubig Indangan di selatan Filipina dan mereka mempunyai darah kacukan Sepanyol.
"Nenek moyang saya yang itu (Manis Muka) menjadi rebutan ramai, termasuk sultan-sultan di Filipina," katanya. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment