Sunday, 1 January 2012

37 TAHUN JADI ‘PELACUR’?



MUNGKINKAH?.....Mungkin pelacur tertua di dunia, Milly Cooper, 97, yang mengakui sudah ditiduri lebih dari 3,500 lelaki sejak Perang Dunia Kedua masih aktif menerima pelanggan yang berusia antara 29 tahun hingga 92 tahun, lebih ‘bermaruah’ daripada ADUN dan Ahli Parlimen Sabah yang menjual tubuh untuk mendapatkan pangkat dan kekayaan?

Oleh : MUTALIB M.D

MUNGKIN tidak keterlaluan jika saya menyimpulkan bahawa kesemua ADUN dan Ahli Parlimen dari Sabah sejak 1975 sehingga kini menjadi ‘pelacur’ politik dengan ‘menjual tubuh’ mereka di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen untuk kepentingan peribadi; tanpa mempedulikan hak rakyat Sabah untuk hidup bahagia tanpa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan mendapat pembelaan melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja.

Betapa tidak, kesemua ADUN dan Ahli Parlimen Sabah tidak mempunyai ‘political will’ untuk menyelesaikan isu ‘Pelarian Perang’ dan PATI yang berduyun-duyun ‘diimport’ masuk dan diberikan kerakyatan songsang Sabah melalui ‘Task Force’ USNO, BERJAYA dan UMNO bagi membolehkan mereka merampas kuasa, mendirikan tugu kuasa dan mengekalkan kuasa sehingga ke hari ini.

Sebagai rakyat Sabah yang mendapat ‘hak mutlak’ kerakyatan melalui proses undang-undang, saya sudah muak membicarakan Isu PATI dan MyKad melalui empat buku saya, IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir?

Kesemua Ahli Parlimen Sabah, bagaikan ‘Pelacur Jalanan’ yang menjaja diri mereka dengan janji akan memberi perkhidmatan terbaik, sekalipun rakyat sudah menolak mereka (terutama yang sudah terlalu lama berkhidmat sehingga Boeing 747 boleh membuat U-Turn); tetapi tetap dinamakan dan akhirnya melalui pelbagai cara dan kontroversi, kesemua mereka masih terpilih kerana ada yang mempunyai libido yang kuat (Ghairah) menjadi Perdana Menteri dan Ketua Menteri.

Isu Suruhanjaya Siasatan DiRaja dan PATI telah bergema di Parlimen sejak 1975, menjelang tumbangnya Parti USNO dan kemenangan Parti Berjaya melalui ‘pengklonan’ warga Indonesia, Filipina, India dan Pakistan; sebagai acuan politik yang mendirikan Kerajaan Barisan Nasional di Sabah melalui campurtangan Kerajaan Persekutuan; sekaligus menghilangkan kuasa autonomi Sabah setelah dipecah dan diperintah.

Kerangka pelan tindakan rampasan kuasa di Sabah sudah lama dirancang oleh pihak tertentu di peringkat persekutuan melalui ‘Skandal X-Files’ yang dengan mudah melalui ‘Denial Syndrom’; sedangkan seluruh dunia terutama Kerajaan Filipina dan Indonesia tahu rakyatnya direkrut sebagai pengundi di Sabah dan kini di Seluruh Malaysia.

Bagaikan ‘Si Buta’ kehilangan tongkat, Kementerian Dalam Negeri dan kuncu-kuncunya seperti ‘Sultan Akjan’ seperti PEKIDA, PKBS, DPPIM telah menafikan kewujudan ‘Skandal X-Files’ dan sekaligus menolak penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

Ketika memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dipengerusikan oleh Tan Sri Bernard Giluk Dompok pada 26 Februari 2007 dan menyerahkan memorandum dan kesemua buku saya kepada DYMM Yang Dipertuan Agong; saya telah melaksanakan tugas saya sebagai ‘Rakyat Sabah’ sekalipun sering dinista sebagai ‘Orang Melaya’.

Hari ini pada 1 Januari 2012, setelah hampir empat tahun saya memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti; akhirnya menyedari bahawa ‘Skandal X-Files’, Kebanjiran PATI dan Perjuangan Wakil Rakyat Sabah; termasuk semua ADUN di Sabah; hanyalah sebuah ‘Epik’ yang belum difilemkan, tetapi sudah 37 tahun berlaku di Sabah.

Bagi saya, bukannya sukar untuk mendesak Kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja atau menyelesaikan isu PATI dan Sindiket MyKad Projek jika kesemua ADUN dan Ahli Parlimen mempunyai ‘Political Will’.

Apakata jika kesemua 25 Ahli Parlimen dan 60 Adun Sabah memberi notis 14 hari kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu PATI dan sewaktu dengannya? Jika tidak dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut, mereka boleh mengisytiharkan mereka menjadi ADUN atau Ahli Parlimen Bebas?

Apa gunanya mengaku sebagai ADUN dan Ahli Parlimen BN jika kejalangan mereka semakin terserlah; menggunakan isu PATI dan Suruhanjaya Siasatan DiRaja sebagai modal politik sedangkan mereka tidak ikhlas dan beragenda dalam memperjuangkan hak dan kedaulatan Sabah?

Dalam keadaan darurat, terutama ketika BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen, peluang yang ada dipersiakan oleh semua ADUN dan Ahli Parlimen Sabah kerana kesemua mereka memilih untuk terus menjadi ‘pelacur tua’ yang menagih simpati pelanggan dengan mewar-warkan kehebatan perkhidmatan dan ‘kemutan’ mereka, sekalipun sudah seperti getah sekerap!


(NOTA: Pandangan penulis tidak semestinya pandangan Sabahkini.net; jika istilah yang digunakan keterlaluan, mungkin itulah kebenaran yang tersembunyi di sebalik artikel ini.)

ANGGOTA POLIS SEMBUNYI IDENTITI BOTAK?



Saudara Pengarang,

SAYA ingin menarik perhatian pembaca Sabahkini.net berhubung artikel bertajuk ‘Pegawai Perkeso Aniaya Anggota PDRM?’ kerana saya mengetahui cerita di sebalik berita yang dilaporkan Wartawan Sabahkini.net, Shaimon S Jumadi.

Dua Orang Anggota Polis ini, Shahrizan bin Samsidi (RF/161959) dan Lans Koperal Samsimon bin Akop (RF156328) adalah daripada unit Ronda. Saya difahamkan oleh Abdullah bahawa pada 05 Disember 2011, mereka telah menghubungi beliau melalui telefon bimbit lebih kurang jam 1.10 petang dan telah mengangkut Abdullah daripada premis Pejabat Perkeso Sandakan.

Sharizan adalah kawan baik Abdullah. Abdullah semasa diangkut oleh kedua-dua anggota ini telah dimaklumkan secara lisan bahawa beliau telah terlibat dalam banyak kes Pecah Amanah (CBT) dan Rasuah dan telah tersenarai dalam 10 Kes tertinggi di Sabah.

Kedua-dua anggota polis ini telah membawa Abdullah ke suatu lokasi (Restoran) dan Abdullah telah diperkenalkan seorang yang lain yang dikatakan sebagai ‘Orang Tengah’ yang boleh menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh Abdullah.

‘Orang Tengah’ ini mengaku Pegawai tertinggi dalam kerajaan yang boleh membersihkan nama-nama sesorang yang kononnya telah terlibat dengan kes-kes Jenayah Rasuah di seluruh Malaysia.

‘Orang Tengah’ ini dikenali sebagai ‘Botak’ atau ‘Amin’ kerana enggan memperkenalkan diri secara detail. Kedua-dua anggota Polis ini yang juga berasal daripada Negeri Sarawak enggan memberi nama sebenar ‘Orang Tengah’ tersebut setelah diminta.

Abdullah beberapa kali secara lisan bersemuka dan juga melalui perhubungan telefon. ‘Orang Tengah’ ini dengan sokongan kedua-dua anggota polis ini meminta wang sebanyak RM10,000 Ringgit dengan tujuan untuk membersihkan nama Abdullah.

Abdullah keliru dan merasa ada sesuatu yang tidak betul dalam kes ini kerana beliau tidak pernah terlibat dalam semua pertuduhan yang dilontarkan oleh ‘Orang Tengah’ itu dan juga di atas sokongan moral oleh kedua-dua anggota polis yang terlibat.

Sekurang-kurangnya dua perjumpaan telah berlaku susulan daripada perjumpaan yang pertama dan beberapa perbualan telefon dan mesej yang berjaya direkodkan. Untuk makluman, pengakuan Sharizan yang tidak mengenali Abdullah adalah tidak benar kerana mereka adalah kawan rapat dan pernah tidur serumah dengan Abdullah yang dianggap oleh Abdullah sebagai kawan paling rapat seperti adik beradik sehingga pada suatu masa Abdullah boleh memakai kasut seragam Polis Syahrizan.

Abdullah telah membuat laporan kepada pihak yang berkuasa dan meminta kedua-dua anggota polis ini membantu beliau menjejaki ‘Orang Tengah’ yang telah mengugut dan mengancam dan juga boleh membersihkan nama secara tipuan ini; tetapi anggapan dan harapan Abdullah telah berkecai kerana kedua-dua Anggota Polis ini seolah-olah bersubahat menyembunyikan identiti ‘Orang Tengah’ yang berbahaya itu.

Sepatutnya sekiranya kedua-dua anggota Polis ini tidak bersubahat dengan ‘Orang Tengah’ itu, mereka tidak takut untuk bekerjasama dalam memburu ‘Orang Tengah’ itu yang pakar berbahasa loghat Semenanjung, seperti yang telah dirakamkan oleh anggota polis itu sendiri Syahrizan semasa pertemuan mereka di Old Town Coffee House.

Anehnya, seorang yang mengaku dan telah membuat Laporan Polis Palsu boleh disabitkan satu kesalahan, namun Abdullah adalah seorang yang telus menjaga ‘erti Persahabatan’ yang ikhlas dan tidak ingin menyusahkan sahabat seagama dengannya.

Abdullah tidak mempunyai masalah untuk berhadapan dengan ugutan Kes Sivil yang dilemparkan kerana ada di antara anggota Polis yang membuat aduan telah membuat atau telah membuka ‘Akaun Semasa Bank’ bersama-sama di atas nama anggota itu bertahun sebelum kejadian ini berlaku.

Oleh itu pengakuan tidak kenal itu tidak betul sama sekali. Sehubungan itu, sekiranya erti persahabatan yang sebenarnya masih ada, maka anggota Polis yang terbabit seharusnya membantu memburu ‘Orang Tengah’ yang dikenali sebagai ‘Botak’ atau ‘Amin’.

Menurut Abdullah, anggota Polis terbabit juga pernah menggunakan ‘Kad Kredit’ milik Abdullah untuk membiayai tambang tiket penerbangan anggota Polis tersebut dan juga membiayai tiket penerbangan tunang kepada anggota polis terbabit.

Abdullah mengesatkan air mata semasa berkongsikan maklumat ini kerana anggota polis ini memilih untuk menjatuhkan maruahnya di halaman ini yang dianggap sebagai kawan yang baik, tetapi rupanya kawan yang sentiasa ‘menikamnya dari belakang’.

Salam Hormat,

VALARIE KJ

JPN MULA KELUARKAN MYKAD BARU MULAI 3 JAN



JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan MyKad baru yang mempunyai ciri-ciri keselamatan terkini secara berperingkat mulai Selasa ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Jariah Mohd Said.
Beliau berkata pengeluaran MyKad baru akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di JPN Putrajaya dan JPN Shah Alam, Selangor, sebelum dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara selepas 15 Februari ini.
Katanya, orang ramai digalak menukarkan kepada MyKad baru itu tetapi ia bukan wajib.
"MyKad yang berstruktur baru memiliki reka bentuk dan ciri-ciri keselamatan seperti diperbuat daripada bahan Polikarbonat yang lebih bertahan dan menggunakan cip baru yang lebih bertahan.
"Selain itu, MyKad baru mempunyai ‘ghost image’ yang menggunakan teknologi turisan laser pada permukaan kad bagi mengelakkan pemalsuan berlaku," katanya pada sidang media di sini.
Jariah berkata JPN yakin pengeluaran MyKad baru yang mengikuti piawaian antarabangsa tidak mudah rosak dan ia dapat mengatasi masalah berkaitan kualiti dan ketahanan MyKad termasuk kualiti cip yang sering dibangkitkan akhir-akhir ini.
Beliau berkata MyKad baru telah menambahbaik keseluruhan percetakan keselamatan MyKad dengan tekonologi terkini dan ia telah memperkukuhkan daya lekatan antara lapisan cetakan dengan ‘overlay’ dengan reka bentuk yang telah ditambahbaik.
Jariah berkata cawangan JPN di negeri-negeri lain seperti Kluang dan Ipoh akan mengeluarkan MyKad baru pada 10 Januari, Johor Bahru (14 Jan), Kuantan (15 Jan), Melaka (17 Jan), Kuching dan Kota Bharu (20 Jan), Kuala Terengganu dan Pulau Pinang (29 Jan).
Selain itu, beliau berkata pejabat JPN Alor Setar akan mengeluarkan MyKad baru pada 2 Feb, Miri (6 Feb), Kota Kinabalu dan cawangan-cawangan lain pada 7 Februari serta cawangan di Wilayah Persekutuan pada 15 Feb.
"JPN akan mengambil tempoh masa sehari untuk mengeluarkan MyKad struktur baru di cawangan-cawangan JPN yang dinyatakan. Lain -lain cawangan JPN akan mengambil masa 10 hari bekerja di Semenanjung dan maksimum 30 hari di Sabah dan Sarawak," katanya. (BERNAMA)

TAHUN NAGA BAWA TUAH BAGI SABAH



Oleh : NEWMOND TIBIN

Sabah, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, bukan sahaja sudah bersedia untuk menikmati keberuntungan dalam tahun-tahun akan datang malah ia juga berada pada kedudukan kewangan yang kukuh, dengan pilihan raya umum awal dijangka diadakan dalam Tahun Naga.

Dengan pengurusan kewangan dan sumbernya yang cekap dan berhemah, Sabah berada di bawah kepimpinan selamat Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, pernah berkata pujian harus diberikan kepada Musa kerana menerajui negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.

Salleh, yang juga yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, pernah berkata malah Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, memuji kedudukan kewangan Sabah dan memberikannya perakuan baik bagi 11 tahun berturut-turut.

"Dengan rizabnya melebihi RM3 bilion, ini bukan calang-calang pencapaian bagi pentadbiran negeri yang juga mendapat penarafan tertinggi ‘AAA’ daripada RAM Rating Services sejak tiga tahun lalu," kata seorang penganalisis.

Sabah juga memperoleh pensijilan ISO daripada Moody's International kerana pengurusan belanjawan negeri yang cekap dan wajar bagi tiga tahun berturut-turut.

Perlu juga ditegaskan bahawa laporan Ketua Audit Negara bagi tahun ini menunjukkan angka-angka sebenar yang mencerminkan pencapaian kewangan cemerlang negeri ini.

Salleh pernah berkata bahawa cetusan ilham Ketua Menteri, iaitu rangka tindakan ‘Halatuju’, telah berjaya membawa pembangunan positif ke negeri ini dan banyak faedah kepada rakyat.

Ini, serta kestabilan politik negeri ini, telah menjadikan Sabah destinasi yang amat kondusif bagi pelabur asing.

Musa, yang terkenal kerana mengubah nasib negeri ini sejak beliau mengambil alih tampuk kuasa pada 2003, meningkatkan prasarana dan meniupkan nafas baharu dalam jentera negeri yang lemah.

Beliau mengejutkan pembangkang apabila beliau mengumumkan belanjawan negeri yang sangat besar iaitu RM4.04 bilion bagi 2012, yang terbesar dalam sejarah Sabah selama 48 tahun.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata perbelanjaan yang dianggarkan pada 2012 meliputi tiga komponen utama, iaitu emolumen (RM623.66 juta), perbelanjaan berulang (RM1.120 billion) dan perbelanjaan khas (RM2.303 bilion).

Beliau juga mengunjurkan perkembangan ekonomi negeri di antara 4.5 peratus dengan 5 peratus pada 2012.

Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kiulu, Datuk Louis Rampas, berkata ekonomi Sabah yang kukuh dengan rizab yang membanggakan bakal menjadi ‘kelebihan’ bagi BN meskipun parti pemerintah itu mungkin menghadapi tugas berat dalam menghadapi barisan pembangkang kali ini.

Beliau berkata rakyat Sabah harus terus menyokong BN yang mempunyai rekod pencapaian yang terbukti dalam membela nasib rakyat, termasuk rakyat di pedalaman, dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam hubungan ini, beliau meminta parti-parti komponen BN di negeri ini berusaha keras dan berganding bahu untuk memastikan parti itu terus menjadi pilihan nombor satu rakyat.

JELASKAN KEJAYAAN BN KEPADA RAKYAT



SEMUA jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kejayaan BN selama ini dalam mentadbir negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi BN Sabah berkata kejayaan dalam memberi pemahaman mengenai usaha kerajaan mampu meyakinkan rakyat untuk menolak pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita menjelaskan kepada semua pengundi mengenai program dan dasar BN kerana inilah kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat.

"Kita lihat sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, banyak usaha dan pembangunan dilaksanakan untuk rakyat seperti penghapusan yuran sekolah, pemberian RM100 kepada pelajar sekolah dan pemberian RM500 kepada keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan," katanya pada Majlis Silaturrahim dan Makan Malam Wanita Penjalin Perpaduan anjuran Wanita Umno Sabah, di sini malam kelmarin.

Musa berkata BN bukan gabungan parti yang suka berbohong dan menabur janji kosong kepada rakyat seperti yang sering dilakukan oleh pembangkang sehingga rakyat yang menderita.

Katanya, rakyat harus jelas dengan usaha dan keikhlasan BN membela nasib mereka supaya mereka tidak mudah terperdaya dengan khabar angin dan janji pembangkang yang telah hilang hala tuju.

Beliau berkata selain menjelaskan kepada rakyat mengenai kejayaan BN, jentera pilihan raya BN juga perlu bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan semua calon BN pada PRU-13 akan datang. (BERNAMA)