Sunday, 1 January 2012

37 TAHUN JADI ‘PELACUR’?



MUNGKINKAH?.....Mungkin pelacur tertua di dunia, Milly Cooper, 97, yang mengakui sudah ditiduri lebih dari 3,500 lelaki sejak Perang Dunia Kedua masih aktif menerima pelanggan yang berusia antara 29 tahun hingga 92 tahun, lebih ‘bermaruah’ daripada ADUN dan Ahli Parlimen Sabah yang menjual tubuh untuk mendapatkan pangkat dan kekayaan?

Oleh : MUTALIB M.D

MUNGKIN tidak keterlaluan jika saya menyimpulkan bahawa kesemua ADUN dan Ahli Parlimen dari Sabah sejak 1975 sehingga kini menjadi ‘pelacur’ politik dengan ‘menjual tubuh’ mereka di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen untuk kepentingan peribadi; tanpa mempedulikan hak rakyat Sabah untuk hidup bahagia tanpa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan mendapat pembelaan melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja.

Betapa tidak, kesemua ADUN dan Ahli Parlimen Sabah tidak mempunyai ‘political will’ untuk menyelesaikan isu ‘Pelarian Perang’ dan PATI yang berduyun-duyun ‘diimport’ masuk dan diberikan kerakyatan songsang Sabah melalui ‘Task Force’ USNO, BERJAYA dan UMNO bagi membolehkan mereka merampas kuasa, mendirikan tugu kuasa dan mengekalkan kuasa sehingga ke hari ini.

Sebagai rakyat Sabah yang mendapat ‘hak mutlak’ kerakyatan melalui proses undang-undang, saya sudah muak membicarakan Isu PATI dan MyKad melalui empat buku saya, IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir?

Kesemua Ahli Parlimen Sabah, bagaikan ‘Pelacur Jalanan’ yang menjaja diri mereka dengan janji akan memberi perkhidmatan terbaik, sekalipun rakyat sudah menolak mereka (terutama yang sudah terlalu lama berkhidmat sehingga Boeing 747 boleh membuat U-Turn); tetapi tetap dinamakan dan akhirnya melalui pelbagai cara dan kontroversi, kesemua mereka masih terpilih kerana ada yang mempunyai libido yang kuat (Ghairah) menjadi Perdana Menteri dan Ketua Menteri.

Isu Suruhanjaya Siasatan DiRaja dan PATI telah bergema di Parlimen sejak 1975, menjelang tumbangnya Parti USNO dan kemenangan Parti Berjaya melalui ‘pengklonan’ warga Indonesia, Filipina, India dan Pakistan; sebagai acuan politik yang mendirikan Kerajaan Barisan Nasional di Sabah melalui campurtangan Kerajaan Persekutuan; sekaligus menghilangkan kuasa autonomi Sabah setelah dipecah dan diperintah.

Kerangka pelan tindakan rampasan kuasa di Sabah sudah lama dirancang oleh pihak tertentu di peringkat persekutuan melalui ‘Skandal X-Files’ yang dengan mudah melalui ‘Denial Syndrom’; sedangkan seluruh dunia terutama Kerajaan Filipina dan Indonesia tahu rakyatnya direkrut sebagai pengundi di Sabah dan kini di Seluruh Malaysia.

Bagaikan ‘Si Buta’ kehilangan tongkat, Kementerian Dalam Negeri dan kuncu-kuncunya seperti ‘Sultan Akjan’ seperti PEKIDA, PKBS, DPPIM telah menafikan kewujudan ‘Skandal X-Files’ dan sekaligus menolak penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

Ketika memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dipengerusikan oleh Tan Sri Bernard Giluk Dompok pada 26 Februari 2007 dan menyerahkan memorandum dan kesemua buku saya kepada DYMM Yang Dipertuan Agong; saya telah melaksanakan tugas saya sebagai ‘Rakyat Sabah’ sekalipun sering dinista sebagai ‘Orang Melaya’.

Hari ini pada 1 Januari 2012, setelah hampir empat tahun saya memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti; akhirnya menyedari bahawa ‘Skandal X-Files’, Kebanjiran PATI dan Perjuangan Wakil Rakyat Sabah; termasuk semua ADUN di Sabah; hanyalah sebuah ‘Epik’ yang belum difilemkan, tetapi sudah 37 tahun berlaku di Sabah.

Bagi saya, bukannya sukar untuk mendesak Kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja atau menyelesaikan isu PATI dan Sindiket MyKad Projek jika kesemua ADUN dan Ahli Parlimen mempunyai ‘Political Will’.

Apakata jika kesemua 25 Ahli Parlimen dan 60 Adun Sabah memberi notis 14 hari kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu PATI dan sewaktu dengannya? Jika tidak dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut, mereka boleh mengisytiharkan mereka menjadi ADUN atau Ahli Parlimen Bebas?

Apa gunanya mengaku sebagai ADUN dan Ahli Parlimen BN jika kejalangan mereka semakin terserlah; menggunakan isu PATI dan Suruhanjaya Siasatan DiRaja sebagai modal politik sedangkan mereka tidak ikhlas dan beragenda dalam memperjuangkan hak dan kedaulatan Sabah?

Dalam keadaan darurat, terutama ketika BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen, peluang yang ada dipersiakan oleh semua ADUN dan Ahli Parlimen Sabah kerana kesemua mereka memilih untuk terus menjadi ‘pelacur tua’ yang menagih simpati pelanggan dengan mewar-warkan kehebatan perkhidmatan dan ‘kemutan’ mereka, sekalipun sudah seperti getah sekerap!


(NOTA: Pandangan penulis tidak semestinya pandangan Sabahkini.net; jika istilah yang digunakan keterlaluan, mungkin itulah kebenaran yang tersembunyi di sebalik artikel ini.)

No comments:

Post a Comment