Thursday, 30 September 2010

SABAH DIBANJIRI PEKERJA SEMENANJUNG?



PARTI Maju Sabah (SAPP) berjanji akan memperbetulkan masalah kebanjiran tenaga kerja muda dari Semenanjung Malaysia yang dilihat merampas peluang kerja para belia di negeri ini.

Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, perkara itu boleh diatasi melalui Borneonisasi yang terdapat dalam 20 Perkara kerana penduduk tempatan harus diberi keutamaan mendapat pekerjaan di negeri.

"Borneonisasi yang terdapat dalam 20 Perkara itu jelas menyatakan bahawa penduduk tempatan harus diberi keutamaan memegang jawatan di negeri ini. Kita akan melakukan apa yang sewajarnya untuk memperbetulkan ketidakseimbangan dalam perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah," katanya.

Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan cawangan-cawangan SAPP bagi Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Pantai Manis dan Kawang, di sini.

Seramai 400 juruteknik dari Semenanjung dilaporkan sedang bekerja di negeri ini bagi menyelenggara komputer sekolah-sekolah di seluruh Sabah.

Berita tentang kehadiran para juruteknik itu seperti yang dilaporkan akhbar-akhbar tempatan adalah sangat mengejutkan kerana terdapat ramai belia di negeri ini yang mempunyai kemahiran komputer tetapi masih menganggur.

Teck Lee seterusnya menggesa para ahli parti memperhebatkan gerakan dan memperkuatkan jentera pilihanraya di Papar dan Kinarut kerana SAPP menerima banyak sambutan dan dilihat sebagai sebuah parti yang cukup tersusun dan kukuh untuk memerintah Sabah.

Beliau berkeyakinan tinggi bahawa semangat orang-orang Sabah untuk mengubah tampuk kerajaan sudah membara. Manakala pemimpin BN juga bercakaran sesama sendiri hanya disebabkan perkara yang remeh-temeh seperti isu nombor plat kenderaan.

“Mereka bertengakar dalam surat khabar seperti kanak-kanak kecil, ianya perkara yang memalukan, sedangkan isu-isu besar masih tidak selesai. Ini mendedahkan sikap buruk mereka”

Beliau juga menyarankan agar usaha menambah ahli di kawasan Pantai Manis dan Kawang ditingkatkan untuk mengukuhkan lagi kedua-dua kawasan tersebut. “penambahan kekuatan ini adalah usaha yang berterusan”

Sementara itu, turut berucap pada majlis itu ialah, Datuk Eric Majimbun Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Hj Mohd Noor Mansoor bekas Menteri Kewangan dan Encik Saidi Lampoh seorang aktivis politik yang menyertai SAPP baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Datuk Liew Teck Chan, Timbalan Presiden merangkap wakil rakyat Likas, Datuk Frankie Chong Timbalan Speaker yang juga Naib Presiden.

Ahli Parlimen Tawau dan Naib Presiden Datuk Dr. Chua Soon Bui, Don Chin (Naib Presiden), Jimmy Jawatah, Naib Presiden, Poon Kee Yang (Naib Presiden) Datuk Richard Yong (Setiausaha Agung), En. Chong Pit Fah, Ketua penerangan serta ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lainnya juga hadir. Beberapa calon yang menawarkan diri untuk pemilihan parti November ini juga turut hadir.

Terdahulu Edward Dagul selaku Pengerusi CLC Pantai Manis dan Kawang di dalam ucapannya menyeru agar ahli-ahli di kedua-dua kawasan terus tabah menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Beliau berkata usaha gigih dan ketabahan ahli-ahli ini merupakan kekuatan yang tidak terdapat di dalam parti lain.

Pemimpin BN pula hanya tahu mengejar projek dan sebaliknya tidak mengendahkan keperluan rakyat. Adalah menjadi kebiasaan mereka untuk turun padang hanya semasa pilihanraya. Sementara itu Parti Maju Sabah (SAPP) pula tidak menunggu hanya pilihanraya, tetapi terus bergerak kehadapan dan melawat kesemua kawasan.

Beliau berkata jadual ketat ini bukanlah perkara yang memenatkan tetapi adalah atas dasar tanggungjawab kepada rakyat.

“SAPP, akan meneruskan khidmatnya kepada rakyat tanpa mengira musim”.

SKMM ARAH TUTUP SABAHKINI.NET?



Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

WALAUPUN Kerajaan Malaysia telah memberi jaminan untuk memastikan Dasar Langit Terbuka sepenuhnya dengan pengenalan Koridor Raya Multimedia sehingga tertubuhnya Putrajaya dan Cyberjaya; namun Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media bertindak sebaliknya dengan melakukan hukum rimba, ‘pancung dahulu, baru bicara!’

Editor Sabahkini.net, Mutalib M.D ketika menghubungi Editorial daripada luar Negara sebentar tadi, bahawa SKMM telah mengeluarkan notis agar ‘Hosting’ Sabahkini.net menutup Portal Sabahkini.net kerana melanggar Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multi Media 1998.

“Siapa beri kuasa kepada SKMM untuk menyalahgunakan kuasa menutup Sabahkini.net tanpa melalui perintah Mahkamah? Apakah mereka boleh memijak Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk melindungi pihak tertentu?,” soal Mutalib yang mengharapkan agar SKMM menjalankan tugas sesuai dengan konsep yang diinginkan Kerajaan 1Malaysia.

Menurut Surat yang diterima daripada SKMM bil SKMM (T) 09-STGD/800/Jld. 13 bertarikh 30 September 2010, pihak SKMM menerima banyak aduan bahawa Sabahkini.net menyiarkan artikel yang mempunyai unsur hasutan dan larangan.


Setelah menjalankan kajian, SKMM mendapati bahawa Sabahkini.net telah melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menerbitkan artikel berunsur provokasi dan terlarang.

Sehubungan itu, SKMM telah mengarahkan Hosting Sabahkini.net ditamatkan perkhidmatannya. Surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah Siasatan, Mazlan Othman.

Kata Mutalib, sewajarnya SKMM mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada pihak Editorial dan meminta Editorial menarik balik mana-mana artikel yang melanggar Akta tanpa dibuktikan di mahkamah.

“Siapa bayar Mazlan untuk bertindak ke atas Sabahkini.net tanpa menurut Undang-Undang yang digubal di parlimen?,” tanya Mutalib yang meminta agar Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Rais Yatim campurtangan kerana sekatan terhadap satu-satunya media rakyat akan membuatkan rakyat Sabah kehilangan wadah untuk menyalurkan maklumat.

Dalam hubungan ini, kata Mutalib, beliau mengalu-alukan siasatan SKMM asalkan tidak menjurus kepada menyekat kebebasan media internet semata-mata kerana mendedahkan rahsia pemimpin kerajaan; apatah lagi jika sekatan SKMM hanya tertumpu kepada Sabahkini.net dan langsung tidak mengawal laman porno dan laman penipuan yang semakin banyak di Malaysia.

“Jika Sabahkini.net menyiarkan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang, SKMM atau polis sewajarnya melakukan siasatan menurut SOP yang diluluskan kerajaan tanpa wujudnya salahguna kuasa atau unsur rasuah setelah percubaan penggodam selama ini gagal memusnahkan Sabahkini.net,” ujar Mutalib lagi.

Kata Mutalib, beliau tidak mempunyai masalah untuk menutup Sabahkini.net kerana boleh membuka lebih 1,000 laman web baru dalam masa sehari; namun biarlah tindakan SKMM melalui saluran yang betul dan benar-benar menurut lunas dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Mutalib turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Pengarah Siasatan SKMM, Mazlan Othman kerana tindakan ‘luar tabii’ tersebut mungkin didorong oleh pihak tertentu terutama Michael Chia Tien Foh yang mengupah penggodam antarabangsa menggodam Sabahkini.net setiap hari.

“Sepanjang pengetahuan dan analisa saya, Sabahkini.net tidak pernah melakukan sesuatu tindakan atau menyiarkan sesuatu artikel di Bawah Akta Hasutan atau boleh mencetuskan permusuhan kaum dan membahayakan Negara, malah Sabahkini.net telah menjadi media untuk rakyat berkomunikasi dengan Kerajaan dan setakat ini Perdana Menteri senang dengan siaran Sabahkini.net yang mendukung slogan 1Malaysia,” ujar Mutalib yang kesal kerana Mazlan bertindak melebihi Perdana Menteri.

Lanjutan daripada itu, Mutalib meminta agar SKMM mengeluarkan surat tunjuk sebab atau amaran bertulis kepada Sabahkini.net melalui email atau media untuk mematuhi garis panduan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa dan bukannya menghukum ‘Hosting’ yang tidak berdosa.

Menurut siasatan Sabahkini.net, Seksyen 233 AKMM menyatakan bahawa Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll.

(1) Seseorang yang

(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar

(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan

(ii) memulakan penghantaran,

apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau

(b) memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik,

adalah melakukan suatu kesalahan

(2) Seseorang yang secara sedar

(a) dengan menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi memberikan apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang; atau

(b) membenarkan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalan orang itu untuk digunakan bagi suatu aktiviti yang diperihalkan dalam perenggan (a),

adalah melakukan suatu kesalahan.

(3) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

SHAFIE CAKAR MUKA MUSA AMAN?




HENTAM …Shafie menghentam habis-habisan Musa secara sindiran dengan disaksikan sebahagian besar penyokongnya.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

RETAK menunggu belah dalam Barisan Nasional (BN) Sabah semakin ketara setelah Program Juara Rakyat Sandakan yang berjaya mengumpulkan 50,000 warga Sabah termasuk pendatang tanpa izin; namun Program Majlis Rumah Terbuka Shafie Apdal berjaya menenggelamkan ego Ketua Menteri Sabah kerana dihadiri lebih 70,000 warga Pantai Timur, terutama PATI dan PADI yang dominan di sini.

Wartawan Sabahkini.net yang turut menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Pembangunan Luar Bandar Shafie (diwar-warkan sebagai Rumah Terbuka Agensi KKLW) yang dilangsungkan di Padang Bandaran Lahad Datu baru-baru ini, telah dibanjiri lautan manusia datangnya daripada Tawau, Semporna, Kunak, Tungku, Lahad Datu, Kinabantangan, Kudat dan Sandakan untuk menggelamkan gahnya Program Juara Rakyat Musa Aman di Sandakan.

Walaupun majlis rumah terbuka itu ia tidak sehebat seperti ‘Juara Rakyat Raksasa’ yang diadakan di Padang Bandaran Sandakan, tetapi cukup meriah dengan kehadiran begitu ramai ‘Fixed Deposit’ sehingga mengalahkan keramaian program Juara Rakyat Sandakan.

Sebagai tuan rumah pada majlis tersebut, Shafie dalam ucapan berapi-apinya benar-benar menghentam habis-habisan Musa Aman secara satira, sindiran dan simbolik (Jurus Politik), namun mereka yang mendengar ucapan Shafie selama hampir tiga jam itu faham apa yang telah dimaksudkan oleh Naib Presiden UMNO berkenaan.

Dalam hal ini, ramai yang berpendapat Shafie mempunyai peluang yang cukup luas untuk menaiki kerusi empuk jawatan Ketua Menteri Sabah pada masa terdekat ini jika mendapat kepercayaan Najib dan semua parti komponen BN jika berjaya mencetuskan ‘Tsunami Anti-Musa Aman’.

Secara kiasan, mungkin Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sudah bersiap sedia untuk mengambil alih buat sementara kerusi Ketua Menteri Sabah secara ‘Transit’ daripada Musa Aman sebelum digantikan Shafie selepas pilihanraya umum ke 13.

Sejak akhir-akhir ini kemelut politik Barisan Nasional (BN) begitu ketara sekali apabila beberapa pemimpin parti komponen BN bercakaran sesama sendiri yang melibatkan antaranya UMNO, LDP dan parti GERAKAN.

Parti LDP bagaikan tersedak kuih makmur apabila tiga cawangan parti Gerakan kawasan Tanjung Papat yang diketuai Samsul Bahari turut membuat protes menandatangani memorandum bahawa mereka juka tidak menyokong Datuk Liew Vui Kiong dan sebaliknya menyokong Musa Aman.

Pemerhati politik di sini berpendapat bahawa konflik yang timbul ini sebenarnya bakal membawa malapetaka dan perpecahan serta menimbulkan ketegangan antara satu sama lain, khususnya parti-parti komponen seperti yang disebutkan itu telah menarik perhatian khusus parti-parti pembangkang yang ada di negara ini.

Dalam konteks ini memang tidak dapat dinafikan, baru-baru ini Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sandakan, Hj Awang Kadin Tang membuat beberapa kenyataan di beberapa akhbar tempatan antara lain ‘membuka pekung di dada’ bahawa pemuda, termasuk dirinya tidak menyokong LDP terutama Datuk VK Liew.

Namun demikian Liew Vui Kiong semasa berucap di majlis Rumah Terbuka Mesra Raya anjuran Ahli Parlimen Sandakan telah menafikan dakwaan berkenaan dengan menyatakan bahawa tidak timbul sebarang konflik antara beliau (Liew) dengan Ketua Menteri Sabah Musa Aman atau UMNO.

“Saya dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman tiada sebarang konflik dan memang menyokong penuh kepimpinan beliau dan juga kerjasama dengan UMNO,” jelas Liew ketika disoal Sabahkini.net.

Liew juga kesal kerana terdapat beberapa ahli UMNO dan parti komponen lain yang sengaja menggembar-gemburkan dan mereka-reka cerita walaupun beliau sudah menjelaskan dengan terperinci di laman web portal Sabahkini.net baru-baru ini mengenai kedudukan yang sebenarnya; namun mereka masih tidak faham keadaan yang sebenarnya.

Ekoran daripada kenyataan pemuda UMNO Sandakan yang menyerang LDP dan Presidennya, rentetan daripada itu kemudian 3 cawangan parti Gerakan kawasan Tanjung Papat juga membuat perkara yang sama menghentam LDP dan Liew habis-habisan.

Selang beberapa hari kemudian 4 buah Cawangan LDP kawasan Elopura telah keluar beramai-ramai meninggal parti itu kerana kononnya menyokong Musa dan menolak LDP.

Dalam hubungan ini sebagai Presiden LDP, VK Liew sudah menjelaskan pendiriannya bahawa beliau menyokong Musa namun masih lagi dipertikaikan oleh beberapa ahli-ahli parti komponen BN seolah-olah mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan VK Liew menerajui LDP.

Senario ini menggambarkan bahawa VK Liew benar-benar terhimpit dengan olah nakal yang ditimbulkan Chin Shu Phin sehingga beliau tertempel najis yang dibuang Chin ke muka Musa.

Sepatutnya ketika pilihanraya umum Ke-13 yang semakin hampir, ahli-ahli UMNO termasuklah komponen BN lainnya masing-masing bergerak menyusun dan mengatur beberapa strategi untuk mengemaskini jentera pilihanraya lebih awal demi memudahkan perjalanan jentera di dalam parti masing-masing.

Persengketaan mahupun yang disebut sebagai pergeseran dalaman yang berterusan sebenarnya tidak membawa sebarang keuntungan kepada mana-mana pihak malahan ekoran krisis itu menjadi modal ejekan dan umpatan Pakatan Rakyat seperti Parti KeAdilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang kini bertepuk sorak setelah mengetahui krisis dalaman parti komponen BN semakin parah.

Apapun yang terjadi, sewajarnya para pemimpin UMNO di negeri ini harus mengikut dan mendengar nasihat Datuk Najib Tun Razak agar sengketa dalaman antara parti-parti komponen BN jangan diperbesar-besarkan lagi dan haruslah dihentikan segera demi mengukuhkan perjuangan dan perpaduan serta jalinan mesra dalam BN/UMNO agak BN tidak kecundang pada PRU-13.

NILWAN BERBOHONG LAGI?



Oleh : IBRAHIM TABIR

KETUA Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat kawasan Kunak, Citra Masadi mengulangi pendirian bahawa kenyataan media oleh Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang baru-baru ini yang menyalahkan pihak pemaju atau kontraktor yang dilantik oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana berlaku kelewatan dalam penyiapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini sebagai kenyataan yang kurang tepat dan tidak konsisten oleh wakil rakyat itu.

Citra berkata, Nilwan pada sidang medianya kepada Bernama dan media tempatan sebelum ini menyatakan yang beliau (Nilwan) telah berbincang dengan Pegawai Daerah Kunak supaya surat amaran dihantar kepada pemaju yang dilantik oleh SPNB, hanyalah kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh pemimpin tersebut sebelum membuat kajian dan mengenalpasti dengan lebih jelas punca kelewatan projek tersebut yang mungkin disebabkan beberapa faktor.

"Dalam laporan kebanyakan akhbar tempatan dan kebangsaan baru-baru ini, Nilwan jelas menyatakan bahawa kegagalan menyiapkan projek itu dalam tempoh yang ditetapkan akan memberi imej tidak baik kepada kerajaan dan beliau sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Citra berkata, Nilwan juga ada menyebut bahawa SPNB telah memberikan projek itu terus kepada syarikat pemaju tanpa memaklumkan kepada Pejabat Daerah yang mana menurut Nilwan beliau telah bertanya kepada Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini yang tidak tahu mengenai projek itu sehingga kononnya menimbulkan masalah jika wakil rakyat hendak memantau projek itu kerana tidak tahu hendak merujuk kepada siapa.

"Kenyataan Adun tersebut seolah-olah menggambarkan ketidakcekapan pentadbiran", ujar Citra sambil menambah, pihak Adun atau kakitangannya sepatutnya merujuk terlebih dahulu perkara tersebut kepada SPNB, syarikat pemaju atau kontraktor di lokasi projek dan bukannya membuat kenyataan melulu.

Citra memberitahu demikian kepada wartawan ketika meninjau lokasi projek tersebut yang masih berjalan di sini pada Khamis. Sementara itu,dalam temubual wartawan bersama seorang daripada Penyelia projek berkenaan yang dikenali sebagai Mr.Voon di situ berkata, pihak daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) juga ada datang memantau dan mengambil bahagian dalam beberapa mesyuarat bersama kontraktor ketika mengunjungi lokasi projek. untuk mengetahui perkembangan projek ini.

Menurut Voon, pihaknya juga maklum bahawa beberapa bulan lepas satu rombongan yang difahami dari (Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan) pernah melakukan tinjauan di lokasi PPR tersebut di sini.

Voon berkata, "Projek PPR sebanyak 400 unit ini sepatutnya dijangka siap pada bulan Ogos tahun ini."

Bagaimanapun, ia lewat disiapkan disebabkan beberapa punca antaranya faktor bekalan bahan. Projek PPR itu juga masih dibawah kendalian Kontraktor Utama tetapi beberapa sub-kontraktor sebelum ini telah ditukarkan atas sebab tertentu.

Menurut Citra, berdasarkan kenyataan Penyelia projek itu di lokasi, jelas menunjukkan bahawa Adun Kunak tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak konsisten dan kurang tepat sebelum mendapatkan respon yang terperinci daripada pihak-pihak berkenaan.

"Saya bercakap bukan atas kapasiti sebagai parti politik pembangkang semata-mata tetapi ini adalah untuk kebaikan rakyat dan masyarakat di luar sana inginkan penjelasan yang sempurna dan konsisten", kata Citra sambil menambah yang konsep 'turun padang' sewajarnya difahami dan dipraktik oleh setiap pemimpin sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) itu yang terletak di kilometer 6, Jalan Kunak-Tawau berhampiran Kampung Kadazan di sini telah dimulakan pembinaannya sebelum pilihanraya umum 2008.