IBU kepada rakyat Malaysia
yang ditahan di Lubnan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda Mohammed
Razin Shaaban berkata beliau tidak tahu bagaimana anaknya boleh ditahan atas
kesalahan itu.
Beliau yang hanya mahu
dikenali sebagai Sharifah Asma berkata, Mohammed Razin tinggal di Melaka dan
menuntut di sebuah kolej di Trolak, Perak manakala beliau dan suaminya di
Putrajaya, lapor Bernama.
Ayah Rafik pula, Mohammed
Ariffin Abdullah ketika dihubungi berkata beliau masih menunggu maklumat lanjut
berhubung penahanan anaknya.
Sementara itu, agensi berita
nasional juga melaporkan, Mohammed Razin telah meninggalkan pengajiannya pada
Ogos lepas.
Pengurus Kolej Yayasan Felda
Kampus Trolak Norhana Samsudin berkata Mohammed Razin, 21, berhenti pengajian
peringkat sijil kursus Juruteknik Sistem Komputer walaupun tiada masalah
akademik atau disiplin.
"Tiada luar biasa
mengenai pelajar itu," beliau dipetik sebagai berkata ketika dihubungi.
Norhana berkata, pihaknya
tidak pasti sebab Mohammed Razin berhenti daripada pengajiannya yang mengambil
masa setahun setengah dan sekiranya masih belajar, beliau kini menjalani
latihan praktikal tiga bulan.
Tiada Peguam, Hakim Tidak
Terus Kes
Kes Mohammed Razin dan
seorang lagi rakyat Malaysia Rafik Mohammed Ariffin, 28 akan didengar semula di
Tribunal Tentera di Beirut Rabu ini.
Duta Besar Malaysia ke
Lubnan, Ilango Karuppannan berkata Rafik dan Mohammed Razin, 21, dihadapkan ke
tribunal itu semalam atas tuduhan menjadi anggota pengganas yang mempunyai
kaitan dengan Al-Qaeda.
Bagaimanapun, pertuduhan
terhadap mereka tidak diteruskan apabila hakim mendapati mereka tidak diwakili
peguam, katanya ketika dihubungi Bernama di ibu negara Lubnan itu.
"Hakim yang mendengar
kes itu kemudian mengarahkan supaya mereka mengambil peguam untuk tujuan
membela diri dan hakim memutuskan kes itu didengar semula Rabu ini," kata
Ilango.
Minggu lepas, pihak berkuasa
Lubnan menahan Rafik dan Mohammed Razin di sebuah hotel di Beirut kerana
dipercayai dilatih menjadi pengebom berani mati dan mempunyai kaitan dengan
Al-Qaeda.
Ilango berkata, pegawai
kedutaan telah menemui kedua-dua tahanan Lubnan itu di Pusat Tahanan Tribunal
Tentera di Beirut dan mendapati sihat dan dilayan dengan baik.
Kedutaan juga sedang
menyiasat latar belakang mereka dengan kerjasama Imigresen Lubnan untuk
mengenal pasti sama ada mereka masuk ke negara itu sebagai pelancong, pelajar
atau profesional.
Sementara itu, Polis Diraja
Malaysia (PDRM) tidak mengesan gerakan Al-Qaeda di negara ini berdasarkan
pemantauan risikan, kata Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit
Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun.
Namun beliau tidak menolak
kemungkinan ada aktiviti merekrut rakyat tempatan di negara jiran," beliau
dipetik sebagai berkata kepada Bernama semalam.
No comments:
Post a Comment