Oleh: HJ. HAMZAH HJ ABDULLAH
PAS Sabah mengikuti dengan
serius pergolakan yang melanda para peneroka di Koyah A, Kinabatangan, di mana
hak pemilikan ke atas tanah-tanah mereka telah dirampas secara licik oleh
individu dan pemilik syarikat yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin-pemimpin
atasan UMNO/BN.
Bagi pihak PAS Negeri Sabah,
saya menegaskan bahawa isu ini telah berlarutan selama lebih 20 tahun dan saya
telah turut terlibat membantu para peneroka untuk mendapatkan semula hak-hak
mereka seawal tahun 1994 lagi serta telah beberapa kali berusaha mengadakan
pertemuan di antara para peneroka dengan 'penceroboh' tanah ini yang juga terlibat dalam operasi
kuari haram di Silam, Lahad Datu.
Namun, usaha-usaha yang saya
lakukan ini telah gagal kerana 'penceroboh' tanah ini enggan bertemu dengan
para peneroka. Setelah meneliti Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang dimiliki
'penceroboh' tanah ini, maka saya membuat satu kesimpulan yang tepat bahawa di dalam
syarikat tersebut terdapat beberapa pemimpin UMNO yang berpengaruh memiliki
saham serta duduk sebagai Ahli Lembaga Pengarah.
Di sinilah punca sebenar
kenapa masalah ini tidak boleh selesai dan telahpun berlanjutan selama lebih 20
tahun. 'Penceroboh' tanah ini juga memiliki Sijil Anak Negeri dan mendakwa
beliau sebagai seorang pribumi. Tetapi rekod-rekod dokumen kelahiran beliau
mengesahkan bahawa beliau dan juga ayah beliau adalah seorang pendatang dari
Fujian, China. Rekod dokumen peribadi beliau juga telah disiarkan dalam
beberapa blog khususnya Sabahkini.net
Tanah di kawasan Koyah A ini
adalah anugerah Kerajaan BERJAYA yang Ketua Menterinya masa itu ialah Datuk
Harris Salleh dengan matlamat utama supaya diusahakan oleh para peneroka yang sebahagian besarnya
adalah petani dari kelompok Bumiputera Sabah yang berada di bawah paras miskin.
Masalah pencerobohan tanah
di Koyah A ini timbul dizaman kerajaan PBS yang Ketua Menterinya masa itu ialah
Datuk Pairin Kitingan. Hampir 1 juta ekar tanah-tanah pekebun kecil anugerah
Kerajaan BERJAYA ini telah dirompak oleh
tauke-tauke kroni di zaman PBS dengan cara menukarkannya kepada geran besar,
dan terus berlanjutan hingga saat ini.
Jadi, kalau tanah-tanah
peneroka ini dirompak di zaman PBS yang dipimpin oleh Datuk Pairin Kitingan
satu ketika dulu, maka persoalannya ialah di mana pula kedudukan Datuk Pairin
sekarang? Maka, saya katakan kepada para peneroka, kalaulah mereka mahu
mendapatkan semula hak pemilikan keatas tanah-tanah mereka, pilihan yang ada
ialah dengan menumbangkan kerajaan UMNO/BN yang ada sekarang ini, yang jelas
telah mengkhianati amanah rakyat Negeri ini, dalam PRU 13 akan datang.
PAS Sabah akan menubuhkan
satu tribunal bagi maksud menghadapkan Pengarah Jabatan Tanah pada masa
berlakunya penyelewengan ke atas para peneroka sehingga hak pemilikan mereka ke
atas tanah di Koyah A telah dinafikan, jika ditakdirkan Pakatan Rakyat
menguasai tampuk pemerintahan Negeri Sabah dalam PRU 13 ini.
Tribunal ini akan mempunyai
bidang kuasa melakukan siasatan serta kuasa memutus yang boleh memuktamadkan
arahan memulangkan kembali geran-geran tanah tersebut bukan sahaja kepada para
peneroka di Koyah A malah di banyak tempat lain seperti di Segaliud, Paitan,
Beluran, Telupid, Merotai, Tongod dan Keningau.
Saya yakin Pengarah Jabatan
Tanah telah bertindak di luar bidangkuasanya apabila membenarkan geran-geran
bertaraf 'smallholder' yang tidak melebihi 15 ekar telah di tukar (converted)
menjadi geran besar (grand title/parent title) dan meluluskannya kepada
syarikat 'penceroboh' ini.
Saya pasti ada sesuatu
imbuhan yang diterima oleh pihak yang bertanggungjawab meluluskan penukaran
geran tanah ini kepada dari 'smallholder' kepada 'grand/parent title'. Hanya
masa dan tempat akan menentukan kedudukan sebenarnya.
(NOTA : Hj. Hamzah Hj
Abdullah merupakan YDP PAS Batu Sapi Merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah)
No comments:
Post a Comment