Oleh: LAHIRUL LATIGU
PERSIDANGAN Dewan Rakyat
yang bersidang pada April tahun 2012 lalu telah meluluskan penggubalan Rang
Undang-Undang Laut Wilayah 2012. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa sesi penggulungan rang undang-undang
ini, telah mengatakan sebab penggubalan undang-undang tersebut adalah kerana
memandangkan tiada undang-undang persekutuan lain yang menetapkan lebar laut
wilayah Malaysia selain daripada Ordinan N0.7 1969 yang dibuat di bawah
Proklamasi Darurat 1969 dan Akta Zon Ekonomi Ekslusif 1984 (Akta 311).
Meskipun akta ini adalah
bertujuan menetapkan lebar laut wilayah Malaysia, namun perlu dilihat juga
sebagai satu akta yang bakal menghapuskan hak dan kuasa kerajaan Negeri Sabah
dan Sarawak yang sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan dipelihara
dalam Perkara 2 Perlembagaan Malaysia.
Ini sekaligus menyaksikan
kedaulatan, kehormatan dan hak kerajaan Negeri Sabah bakal 'hilang' buat
selama-lamanya sekiranya akta ini diluluskan.
Perkara 2, Perlembagaan
Malaysia merangkumi:
Penerimaan masuk
wilayah-wilayah baru ke dalam Persekutuan. Parlimen boleh melalui
undang-undang:
a) menerima masuk
Negeri-negeri lain ke dalam Persekutuan
b) mengubah sempadan
mana-mana Negeri
tetapi undang-undang yang
mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan
Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan
Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.
Dalam Section (2) of the
North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 ada menyebut:
“The boundaries of the
colony of North Borneo are hereby extended to include the area of the
continental shelf being the seabed and its subsoil which lies beneath the high
seas contiguous to the territorial waters of North Borneo.”
Secara ringkas, mengikut
ordinan ini telah menetapkan bahawa sempadan bagi Negeri Sabah meliputi
pelantar benua dan dasar laut serta tanah di bawahnya.
Kerajaan Persekutuan juga
telah didapati gagal untuk mengawal selia pelantar benua dan dasar laut serta
tanahnya walaupun meluluskan beberapa akta lain lagi yang dilihat memihak
kepada Kerajaan Persekutuan.
Berdasarkan dua (2) seksyen
utama yang terkandung dalam Akta Laut Wilayah 2012 iaitu Seksyen 3 dan Seksyen
4 ini, kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak sedikit sebanyak telah terjejas.
Akta ini menghadkan wilayah
laut di semua negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak hanya kepada tiga
(3) batu nautika, berbanding dengan kuasa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak
yang meliputi keseluruhan pelantar benua seperti yang termaktub dibawah North
Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.
1. Seksyen 3, Akta Laut
Wilayah 2012:
Bagi maksud Akta Pelantar
Benua 1966 (Akta 83), Akta Perlombongan Petroleum 1966 (Akta 95), Kanun Tanah
Negara (Akta 56/ 65) dan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan
dengan tanah yang berkuat kuasa di Sabah dan Sarawak, apa-apa sebutan mengenai
laut wilayah dalamnya hendaklah berhubung dengan mana-mana wilayah ditafsirkan
sebagai sebutan mengenai bahagian laut itu yang berdampingan dengan pantai
wilayah itu tidak melebihi 3 batu nautika diukur dari garis air surut.
2. Seksyen 4, Akta Laut
Wilayah 2012:
Kedaulatan berkenaan dengan
laut wilayah, dan berkenaan dengan dasarnya dan tanah bawahnya, terletak hak
pada dan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai hak Malaysia.
Justeru, dua seksyen dalam
Akta Laut Wilayah 2012 yang baru diperkenalkan ini dilihat ingin 'menghapuskan
secara halus' kedudukan istimewa, kuasa negeri dan hak Negeri Sabah dan Sarawak
ke atas pelantar benua tersebut.
Sekiranya akta ini berjaya
dibentuk dan diiktiraf sebagai akta sah yang termaktub dalam Perlembagaan
Malaysia, maka tidak ada bezanya kedudukan Sabah dan Sarawak seperti Kelantan
dan Terengganu termasuk dalam pembayaran royalti petroleum.
Royalti petroleum akan
tertakluk kepada hanya ehsan Kerajaan Persekutuan semata-mata dan tidak lagi
wajib dibayar sebagai satu kewajipan dalam perjanjian.
Dengan kebimbangan inilah
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah berpendapat, bukan setakat Kerajaan Negeri Sabah
dan Sarawak patut menolak akta ini, malah setiap wakil ahli-ahli Parlimen dan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak perlu menyatakan pendirian mereka
terhadap akta ini.
Dewan Pemuda PAS Negeri
Sabah juga mengajak rakyat dikedua-kedua buah negeri Sabah dan Sarawak untuk
bersama-sama mempertahankan kuasa dan hak sedia ada ini bagi menjamin sebuah
negeri yang berdaulat, berprinsip dan tidak mudah dijadikan bahan eksploitasi
mana-mana pihak.
No comments:
Post a Comment