Oleh : HAJI HAMZAH ABDULLAH
BADAN Perhubungan PAS Negeri
Sabah mengutuk keras kenyataan Tan Sri Bernard Dompok yang yang disiarkan media
pada 3 Februari 2013. Kenyataan tersebut sangat serius dan seolah-olah cuba
untuk mengapi-apikan penganut Kristian di Sabah untuk membenci Islam.
PAS tidak pernah mengamalkan
dasar anti agama lain. PAS sebuah parti yang tunduk dan patuh pada Perlembagaan
Persekutuan. Perlembagaan jelas menunjukkan bahawa Islam merupakan Agama
Persekutuan, disamping penganut agama lain bebas mengamalkan agama mereka.
Dompok seperti tidak
menghormati perlembagaan Malaysia dan cuba menimbulkan kecurigaan terhadap
agama lain. PAS menganggap ini sebagai politik anti agama dan memecahbelah
masyarakat.
PAS sedar semua ini
dilakukan Dompok akibat daripada kecenderungan masyarakat untuk meninggalkan
Barisan Nasional (BN) secara besar-besaran pada PRU-13 yang akan datang.
PAS mengingatkan kepada
Dompok dan juga BN agar meninggalkan politik seperti ini kerana masyarakat sudah
bosan dengan politik ugut mengugut yang diamalkan BN sekian lama.
Masyarakat sekarang sudah
berubah. Masyarakat lebih mementingkan kejujuran dan keadilan. PAS Sabah
mengingatkan supaya Dompok melihat kepada politik Kelantan yang sudah lebih 20
tahun dipimpin oleh PAS.
Tidak ada seorang pun rakyat
bukan Islam yang dinafikan hak mereka untuk beragama. Malahan pembinaan kuil
agama Buddha yang terbesar di Malaysia juga dibina di Kelantan. Disamping itu,
pemerintahan PR yang dipimpin PAS di Kelantan tidak pernah melakukan sebarang
penyelewengan terhadap harta rakyat.
Pemikiran Dompok sepatutnya
sudah berubah selari dengan zaman. Jangan lagi mengamalkan politik seperti ini.
Berilah tumpuan pada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.Sampai bila rakyat
Sabah boleh berubah sekiranya pemimpin BN terus menggalakkan sikap permusuhan seperti
ini.
Dompok sepatutnya membaca
dan memahami misi perjuangan PR dan PAS dengan lebih mendalam lagi. PAS secara
jelas telah melancarkan misi Negara Berkebajikan yang menjadi misi utama
mewujudkan kesejahteraan rakyat.
Semua kandungan yang
terdapat dalam tawaran Negara Berkebajikan adalah berkaitan dengan pembelaan
dan kesejahteraan rakyat. PAS Sabah menganggap adalah sangat malang bagi rakyat
Sabah kerana memiliki seorang pemimpin seperti Dompok yang berfikiran anti
agama dan suka mewujudkan ketegangan dalam masyarakat.
PAS menganggap inilah kesan
apabila satu satu parti politik itu berada dalam BN. Mereka akan melakukan apa
sahaja demi untuk mengekalkan kuasa. Mereka tidak menghiraukan keharmonian
masyarakat dan kesusahan masyarakat.
Apabila hampir pilihanraya
barulah mereka akan turun kepada rakyat dan menabur pelbagai janji disamping
membuat pelbagai ugutan kepada masyarakat.
PAS Sabah mengingatkan
kepada Dompok dan BN Sabah, tumpukanlah perjuangan untuk membela rakyat. Tahun
ini tahun ke-50 Sabah merdeka dalam Malaysia. Keperluan asas rakyat seperti
air, jalanraya dan sekolah masih lagi tidak selesai.
Berpolitiklah dengan cara
yang matang dan berhentilah daripada mengamalkan politik ugut mengugut. PAS
Sabah ingin mengingatkan kepada Dompok, Islam tidak pernah mengajarkan umatnya
untuk membuat jahat kepada orang lain, walaupun berlainan bangsa dan agama.
Inilah yang menjadi pegangan
kepada PAS. PAS akan terus berpegang kepada prinsip adil untuk semua dan
sekali-kali tidak akan mengambil hak rakyat. Hasil negeri akan diagihkan secara
adil kepada rakyat.
PAS berharap semoga Dompok
dan seluruh pemimpin BN akan mengamalkan politik yang sihat dan matang. Jangan
cuba kelirukan rakyat dan mengapi-apikan semangat perkauman dan anti agama.
No comments:
Post a Comment