Oleh : MD IZWAN
KUALA LUMPUR : Majlis
Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) hari ini menggesa Pengerusi syarikat minyak
negara, Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya meletak jawatannya kerana
kegagalan melaksanakan tanggungjawab membangunkan ekonomi bumiputera dan hanya
mementingkan syarikat-syarikat asing.
Semasa sidang media sempena
mesyuarat agung MTEM, pengerusinya Datuk Syed Ali Al-Attas (gambar) mendakwa
Petronas mengambil sikap menganaktirikan golongan bumiputera walaupun
berkelayakan.
“Dalam mesyuarat yang kali
pertama dianjurkan ini, kami sebulat suara menggesa pengerusi Tan Sri Mohd
Sidek Hassan dan lembaga pengarahnya meletak jawatan dan mengundur diri.
“Sepanjang beliau memegang
jawatan, kami mendapati Petronas sudah lari daripada tanggungjawabnya dan
membantutkan perkembangan usahawan tempatan yang berkecimpung dalam industri
kecil dan sederhana,” kata beliau.
Tan Sri Mohd Sidek telah
dilantik pada Jun tahun lalu bagi menggantikan pemangku sementara yang dipegang
oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas.
MTEM juga mendakwa aliran
wang tunai kumpulan Petronas telah menurun pada kadar RM2.1 bilion kepada
RM162.2 bilion dan keuntungan selepas cukai menunjukkan tren penurunan
termasuklah penutupan operasi mereka di Sudan.
Kebimbangan juga disuarakan
MTEM yang mengatakan Petronas akan mencaturkan nilaian risiko bernilai RM300
bilion untuk tempoh 5 tahun hadapan ini.
Syed Ali juga menggesa
pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk meneliti perkara
yang dibangkitkan MTEM sebelum ia memberikan impak negatif kepada syarikat
minyak utama negara tersebut.
“MTEM melihat Petronas
sebagai pelindung dan benteng ekonomi, sebarang perkembangan negatif harus
dipantau dan diperbetulkan sebelum ia rosak serta perubahan harus berlaku
sebelum pilihan raya tahun ini,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment