Kecanggihan telefon bimbit
sekarang begitu hebat dan perkembangannya amat pesat. Banyak syarikat
berlumba-lumba menyediakan aplikasi tertentu dan sering memperkenalkan
teknologi terkini bagi menarik minat pengguna membeli produk mereka.
Pengguna pula perlu lebih bijak
dan peka terhadap perubahan itu, pada masa sama, jangan terperangkap dengan
aplikasi disediakan sehingga terdedah kepada risiko jenayah siber.
Kajian Indeks Keselamatan Unisys
mendedahkan hampir dua pertiga rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar
berada dalam risiko maklumat peribadi dicuri.
Satu pertiga saja pelanggan
menyimpan data peribadi secara selamat ketika menggunakan aplikasi pintar.
Sehingga Mei lalu, Apple
melaporkan lebih 50 bilion aplikasi dimuat turun menerusi Apple Store. Laporan
menunjukkan penyebaran maklumat peribadi berlaku ketika urusan melakukan
pelbagai urusan menerusi telefon pintar.
Pengarah Program Keselamatan Unisys
Asia Pasifik, John Kendall, berkata ia berlaku mungkin disebabkan pengguna
tidak faham mengenai terma dinyatakan selain percaya maklumat itu tidak
dibocorkan.
Ada pengguna mudah bersetuju
untuk berkongsi maklumat peribadi mereka apabila diminta oleh sesebuah program
tanpa meneliti terma ketika memuat turun aplikasi. Pengguna hanya akan butang
yes atau accept termasuk aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma.
Mereka menganggap maklumat
peribadi diberi seperti nama ibu, tarikh perkahwinan serta nama haiwan
kesayangan tidak menjejaskan privasi sedangkan itu antara kata kunci maklumat
mereka dicuri.
Ini kerana telefon pintar
dilengkapi dengan aplikasi mengenai maklumat peribadi individu seperti alamat
tempat tinggal, tarikh lahir dan transaksi kewangan.
Maklumat itu boleh dikumpul oleh
aplikasi dan ia dijual kepada pihak lain, risiko maklumat identiti dipalsukan,
mencuri data atau mengakses akaun bank, katanya mendedahkan Indeks Keselamatan
Unisys 2013, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif,
Cyber Security Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab dan Pengarah Program
Keselamatan, Unisys Asia Pasifik, John Kendall.
Unisys adalah syarikat teknologi
maklumat yang menyediakan perkhidmatan keselamatan di seluruh dunia manakala
CyberSecurity Malaysia adalah agensi pakar keselamatan siber nasional di bawah
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Kendall berkata, dengan pelbagai
tawaran menarik membuatkan ramai pelanggan tertarik membeli.
LEBIH BERHATI-HATI
Pengguna sepatutnya lebih lebih
berhati-hati tanpa memuat turun sebarang aplikasi sesuka hati dan tidak memberi
maklumat peribadi.
Mereka perlu membaca dan memahami
perjanjian pelesenan keseluruhan dan dasar privasi bagi aplikasi sebelum memuat
turun bagi mengelak dieksploitasi pihak lain. Jangan terpedaya dengan aplikasi
yang berselindung di sebaliknya syarikat gergasi yang dipercayai di seluruh
dunia, katanya.
Dr Amirudin berkata, ada pengguna
yang tidak membaca terma dengan teliti dan kurang berhati-hati dengan mudah
memberi maklumat peribadi.
Kita tidak boleh menyalahkan
kecanggihan teknologi sebaliknya manusia yang perlu ada ilmu dan membataskan
urusan dalam telefon pintar atau gajet kerana ia membabitkan internet serta
perkongsian maklumat peribadi, katanya.
Sementara itu, Kendall berkata,
Malaysia merekodkan tahap tertinggi dalam capaian tidak sah kepada atau
penyalahgunaan maklumat peribadi berbanding 12 negara iaitu sebanyak 76
peratus.
Malaysia adalah antara 12 negara
selain Australia, Belgium dan Jerman terbabit dalam kajian membabitkan 929
dewasa dijalankan oleh Lieberman Research, pada April lalu untuk melihat Isu
dalam Indeks Keselamatan Unisys 2013.
Laporan juga menunjukkan 74
peratus respondan mengadakan pelbagai urusan menerusi telefon pintar tidak
mustahil mereka juga berhadapan dengan serangan virus dan e-emel tidak
diundang, iaitu meliputi 58 peratus.(BeritaHarian)
waa...thnks untuk pencerahan...
ReplyDeletebaru jelas sikit...