Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong hari ini membidas kelewatan Putrajaya menyiapkan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan mendakwa rakyat terpaksa menunggu 100 tahun lagi untuk membeli menerusi skim itu.
Liew
dari DAP juga berkata jawapan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat yang
menyatakan sebanyak 560 unit masih dalam pembinaan di Putrajaya dan 201
lagi di Nusajaya, Johor, tidak disenangi.
"PR1MA mensasarkan untuk membina 80,000 rumah mampu milik tetapi jawapan terhadap soalan saya, tidak memuaskan hati.
"Jika
dalam keadaan kelembapan ini, ia akan memakan masa 105 tahun untuk
membina 80,000 unit rumah PR1MA," katanya pada sidang media di lobi
Parlimen pagi ini.
Liew
turut menyifatkan program Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang diperkenal
kerajaan pada 2011 gagal membantu rakyat membeli rumah kerana harga yang
melonjak.
"Hanya
458 pinjaman diluluskan sejak ia dilancarkan pada 2011. Ini menunjukkan
rakyat tidak mampu membeli hartanah yang naik mendadak khususnya di
bandar.
"Pinjaman
SRP sebanyak RM440,000 selama 30 tahun dengan 4.4 peratus faedah, pula
dilihat tidak munasabah kerana 80 peratus isi rumah berpendapatan
sekitar RM3,000 sebulan.
"Jika
peminjam bergaji RM3,000 sebulan, jumlah itu ialah 67 peratus daripada
pendapatan kasar bulanannya dan 77 peratus bayaran rumah (tolak
sumbangan KWSP).
"Tiada
bank sanggup meluluskan pinjaman sedemikian," katanya dan menyatakan ia
antara punca hanya 458 daripada 1,410 pemohon diluluskan antara 2011
hingga Mei 2013.
Isu harga rumah yang melonjak tinggi antara topik utama rakyat Malaysia terutama penduduk bandar.
Mengikut
firma perkhidmatan hartanah, C H Williams Talhar dan Wong Sdn Bhd,
harga hartanah kediaman di negara ini dijangka terus meningkat 10 hingga
15 peratus tahun ini.
Ia
ekoran faktor pembinaan projek prasarana utama seperti Transit Aliran
Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan laluan Komuter yang
berhampiran dengan tapak perumahan.
Pada
kempen pilihan raya lalu, BN berjanji membina sejuta rumah mampu milik
termasuk 500,000 unit yang digerak oleh sektor awam dan swasta.
Ia
dinyatakan dalam Manifesto BN bertema 'Menepati Janji Membawa Harapan'
yang menjanjikan harga rumah PR1MA sekurang-kurangnya 20 peratus di
bawah harga pasaran. 11 Julai, 2013.
(MalaysianInsider)
No comments:
Post a Comment