Raja Muda Perlis Tuanku Syed
Faizuddin Putra Jamalullail mahu pihak berkuasa bertindak tegas terhadap mereka
yang sengaja melakukan penghinaan dan provokasi terhadap Islam.
Baginda bertitah perbuatan
itu merupakan pernyataan sinis yang melampau dan ia tidak boleh diterima oleh
rakyat yang waras apatah lagi mereka yang berpendidikan terutama dalam konteks
masyarakat majmuk.
"Janganlah siapa
sekalipun bermain api. Jauhilah daripada berjudi dengan sentimen agama dan kaum
demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara yang kita cintai ini,"
titah baginda pada majlis berbuka puasa bersama warga Allianze University
College of Medical Sciences (AUCMS) di Kompleks Budi Penyayang, Kepala Batas,
Pulau Pinang Selasa malam.
Baginda mengingatkan bahawa
walaupun Islam mengajar umatnya bertoleransi namun sikap Melayu-Islam perlu
sentiasa kukuh.
"Sudah tiba masanya
setiap umat Islam menjana transformasi dengan melakarkan perubahan, mewarnai
persekitaran berpandukan agama Islam, bersendikan al-Quran dan al-Sunnah,
berpaksikan kepada Rukun Islam dan berteraskan Rukun Iman," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah mutakhir ini berlaku banyak kekeliruan
dan salah tafsir mengenai Islam dengan pelbagai label diberikan.
"Propaganda seperti ini
jika dibenarkan berterusan mampu merosakkan nama dan kesucian Islam selain
meracuni pemikiran sehingga 'klise' sebegini mudah dianggap sebagai satu
kebenaran," titah baginda lagi.
Baginda mengingatkan umat
Islam supaya terus membela serta mempertahankan kesucian agama di samping
mengukuhkan syiarnya demi kelangsungan tamadun.
No comments:
Post a Comment