KOTA KINABALU, 31 Julai
(Bernama) -- Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah
(Pekadin) mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat mewujudkan pejabat cawangan Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan
di Sabah.
Timbalan presidennya Nailin
Gabintal berkata pewujudan pejabat cawangan jabatan itu wajar diberi
pertimbangan bagi membantu meningkatkan lagi penyertaan wanita dalam program
pembangunan di negeri ini.
Selain itu, katanya, Jabatan
Pembangunan Wanita Persekutuan boleh bertindak sebagai agensi sokongan kepada
usaha yang kini dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).
"Kita berpendapat
dengan sokongan dana yang lebih besar dari Jabatan Pembangunan Wanita
Persekutuan, program dan aktiviti wanita akan bertambah meningkat dan menjadi
semakin mantap.
"Soal pertindihan bidang
tugas tidak timbul kerana peranan kedua-dua jabatan itu saling bantu membantu.
Misalnya, di Sabah kita ada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah
(Persekutuan) dan pada masa yang sama kita ada Lembaga Kebudayaan Negeri
Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.
Nailin berkata cadangan
Pekadin itu sejajar dengan program transformasi pembangunan yang diperkenalkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan menzahirkan transformasi
yang holistik, termasuk pembangunan wanita.
Beliau berkata usaha
bersepadu antara Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan dan JHEWA kelak akan
membantu merealisasikan wawasan negara itu dalam konteks pembangunan atau
penglibatan wanita dalam arena pembangunan.
Nailin yakin penubuhan
Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan akan memberi manfaat kepada kaum wanita
di negeri ini, terutama dalam membantu menaja projek yang dikelolakan wanita
dan persatuan wanita.
"Jabatan Pembangunan
Wanita Persekutuan juga boleh membantu memperbanyakkan aktiviti yang menjurus
kepada menaikkan ekonomi luar bandar, membantu membiayai kos perubatan penyakit
kronik ibu tunggal yang tidak berpendapatan tetap selain memberi sokongan
kewangan kepada usahawan wanita untuk mencapai tahap global," katanya.
Nailin berharap Timbalan
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga anggota Parlimen
Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun dapat membantu menjayakan penubuhan pejabat
cawangan jabatan itu di Sabah. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment