Wednesday, 4 September 2013

KENAIKAN HARGA MINYAK-PKR MEMPERSOALKAN KEIKHLASAN KERAJAAN BN MEMBELA NASIB RAKYAT JELATA KHASNYA SABAH & SARAWAK



by: Dr Roland Chia



PKR ADUN INANAM merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat /Nasional– YB Dr Roland Chia Ming Shen melihat tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) meningkatkan harga minyak RON95 & harga diesel sebanyak 20 sen seliter sebagai satu mungkir janji yang terpaksa dilakukan ekoran perbelanjaan boros dan salah guna kewangan negara semasa PRU13. Ia adalah tanda negara kita semakin muflis.

Sebelum ini, Perdana Menteri pernah berhujah bahawa hanya RON97 akan dinaikkan harga mengikut harga pasaran tetapi RON95 akan tetap disubsidi. Kini terbukti bahawa selepas tamatnya PRU13, satu demi satu langkah diambil BN untuk mengambil balik sedikit keselesaan yang rakyat nikmati.

Negeri Sabah & Sarawak harus dikecualikan dari kenaikan harga minyak ini memandangkan negeri –negeri ini adalah negeri penyumbang yang terbesar sekali di Malaysia. Mengikut statistik kini- Sabah menyumbangkan sekurang-kurangnya 200,000 tong minyak sehari – anggaran jualan sebanyak RM60 juta sehari.

Rakyat Sabah & Sarawak juga terpaksa menderita akibat dengan dasar cabotaj dan monopoli syarikat perkapalan telah menyebabkan  harga barangan & kereta  di Sabah & Sarawak jauh lebih mahal daripada Semenanjung Malaysia.

Tindakan meningkatkan harga minyak akan menyebabkan harga barangan lain naik dan kadar inflasi akan bertambah sebanyak 3% akibat kenaikan harga minyak. Fakta ini sudah dimaklum oleh pakar ekonomi kerajaan dengan sendirinya. Gaji Minima yang juga berbeza di antara Sabah/Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Jika hujah bahawa subsidi dinikmati semua golongan maka ia adalah tidak adil tetapi mengapa dalam isu GST pula, cukai yang buat masa ini berbentuk progresif hendak ditukar menjadi regresif iaitu beban cukai beralih dari golongan korporat kepada golongan rakyat biasa. Bukankah ini satu kontrodiksi.

Selain daripada itu, golongan berpendapatan rendah masih tidak mendapat pendidikan percuma, kesihatan percuma dan pengangkutan awam murah. Di Venezuela, kekayaan petrol diguna untuk memastikan pendidikan dan perubatan percuma tetapi di sini ia dibebankan kepada rakyat.

Mengapa cukai korporat tidak ditingkatkan untuk memastikan subsidi dapat dikekalkan? Mengapa setiap kali rakyat biasa perlu dibebankan. Ini menunjukkan Kerajaan BN tidak ikhlas untuk membela nasib rakyat Jelata -khasnya Sabah & Sarawak Negeri penyumbang utama dalam Petrol  & Gas.

No comments:

Post a Comment