Monday, 12 January 2015

Alkisah 'tuan besar' bot haram Malaysia



Beberapa hari lepas kerajaan Indonesia menunaikan janji mereka untuk memusnahkan bot nelayan asing yang menceroboh perairan mereka.

Sebenarnya hal tersebut tidak patut kita hairan kerana mereka bawah Presiden Joko Widodo atau Jokowi telah memberi banyak amaran awal.

Amaran terakhir disiarkan oleh International New York Times pada 19 disember dan olih The Straits Times Singapura pada 20 Disember 2014. Di Malaysia kurang dilaporkan.

Insiden tersebut menerima berbagai reaksi di Malaysia, antaranya beremosi dan marah. Sebelum menjadi begitu emosi, kita perlu melihat secara rasional isu ini.

Bagaimana jika nelayan golongan termiskin kita dilanda ancaman sama, yang mana pihak berkuasa perlu bertindak lebih tegas?

Sebenarnya isu sama sudah lama melanda nelayan kita, malah lebih dahsyat lagi.

Dahulu nelayan Thailand yang banyak menceroboh. Sekarang pula banyak daripada Vietnam dengan bot lebih besar.

Pada awal 2014 lebih kurang 200 nelayan Malaysia berarak ke parlimen untuk menyampaikan sekali lagi masalah mereka kepada kerajaan.

Ahli parlimen yang bersimpati dengan rintihan mereka dituduh menghasut kerana membawa mereka masuk ke kawasan Parlimen.

Menteri berkenaan berjanji untuk mengambil tindakan dalam isu itu, termasuk menjalankan pemantauan lebih ketat daripada udara.

Isu bot nelayan asing, penggunaan pukat tunda haram dan cara haram menangkap ikan oleh warga asing, salah laku nelayan asing warga Vietnam antara isu lama yang berulang.

Nelayan Vietnam masuk Mydin

Cerita "tuan besar" Malaysia di belakang operasi ini juga tidak ditangani sebagai sepatutnya.

Janji hanya tinggal janji oleh kerajaan untuk membela mereka.

Di pelabuhan Chedering Terengganu, misalnya, nelayan Vietnam bebas keluar masuk tampa pasport dan boleh bebas pergi membeli belah di Mydin dan mengadakan perlawanan bola sepak di pantai Chendering!

Begitu mesranya kerajaan Malaysia kepada warga asing. Perkara ini telah saya timbulkan di parlimen beberapa kali untuk tindakan. Tetapi tiada apa yang berubah.

Sekarang Jokowi yang baru beberapa bulan bertugas menunjuk sikap yang tegas untuk membela nelayan Indonesia.

Beliau menunjukkan kepimpinannya sedangkan berpuluh tahun kerajaan Malaysia leka dalam isu ini.

Bot pendaftaran Malaysia yang ditangkap, mengikut laporan, sebenarnya dianggotai oleh empat orang warga Myanmar! Bukan warga kita pun dan mungkin dibiayai orang orang besar VIP kaya Malaysia.

Bukan kepentingan nelayan miskin sebenar Malaysia terlibat di sini.

Jadi kerajaan Indonesia membela rakyat Indonesia golongan nelayan miskin sementara kerajaan Malaysia membela rakyat Myanmar yang menjaga kepentingan tokoh korporat kaya!

Jadi siapakah pula yang akan membela nelayan miskin rakyat Malaysia?

Sepuluh tahun tambah RM14 

Beberapa bulan lepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa 23 kontraktor yang menipu dalam skim bantuan kerajaan untuk membaiki rumah nelayan Dungun, Terengganu.

Jumlah RM500,000 itu sepatutnya untuk nelayan miskin tetapi sekali lagi golongan nelayan menjadi mangsa.

Jika Jokowi yang baru bertugas beberapa bulan boleh membela nasib nelayan di perairan Indonesia yang mempunyai 18,000 pulau, kenapa kerajaan Malaysia yang memerintah selama 57 tahun tidak dapat membela nasib nelayan Malaysia.

Sedangkan negara ini hanya mempunyai berapa puluh pulau sahaja?

Jawapannya adalah perbezaan azam dan kesungguhan politik – yang tiada di Malaysia!

Sudah sampai masanya kerajaan lebih prihatin nasib nelayan miskin daripada membenarkan nelayan asing Vietnam yang membawa bot pendaftaran Malaysia, yang dimiliki tokoh korporat kaya yang mencuri rezeki orang kita sendiri.

Ikan makin berkurangan di perairan Malaysia ekoran aktiviti haram nelayan asing.

Kajian terbaru mendapati peningkatan pendapatan nelayan Kemaman, Terengganu meningkat dari RM400 kepada RM414 dalam masa sepuluh tahun.

Kenaikan RM14 dalam sepuluh tahun!

Kita perlu sistem kerajaan membela golongan miskin tertindas dan bukan membela pihak korporat yang sudah kaya raya.

Malaysia perlu mencontohi pemimpin Jokowi yang peka denyutan nadi naluri rakyat dan bersimpati dengan rintihan mereka.

Pimpinan kita terlalu selesa dan terlalu lama mengabaikan rakyat biasa.


DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ahli parlimen Kuala Terengganu.
 
(Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment