Monday, 1 November 2010

MASALAH PETANI TEMPATAN DI KUNDASANG




Saudara Pengarang,

SAYA memohon sabahkini.net membuat tinjauan mengenai penguasaan orang luar iaitu cina dan PATI/PADI dalam bidang pertanian di Kundasang yang mana merupakan periuk nasi orang tempatan di Kundasang.

Harga sayur juga 100% bergantung kepada orang tengah tanpa campurtangan kerajaan walhal harga baja, racun dan barang-barang pertanian lain kian meningkat dengan mendadak kerana dikuasai oleh orang Cina yang bebas meletakkan harga sesuka hati untuk mengaut keuntungan yang tinggi.

Pasaran petani tempatan juga hanya sekitar negeri Sabah walhal petani Cina pula menguasai pasaran Eksport. Bantulah rakyat tempatan wahai Kerajaan!

Salam Hormat,

PETANI TERKILAN

SLOGAN ‘SFS’ TAK BERPIJAK DI BUMI NYATA



MENTERI Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan pihak yang sengaja membangkitkan isu 'Sabah For Sabahan' (SFS) dan autonomi untuk meraih sokongan politik sebagai ‘tidak berpijak di bumi nyata’.

Beliau berkata isu berkenaan bukan sahaja lapuk dan muncul apabila ada pilihanraya termasuk pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, tetapi juga sebenarnya cuma membicarakan perkara yang langsung tidak berkaitan dengan isu kenegaraan.

"Kita boleh anggap pihak yang terus menerus berhujah seperti ini tidak berpijak di bumi nyata. Tidak berpijak di bumi nyata bermaksud tidak mengenal undang kenegaraan dan Perlembagaan Negara kita.

"Disebut di bawah Perkara 161, Perlembagaan Malaysia, perkara (kedudukan Sabah) yang sudah diputuskan dan akan terus diamalkan di tanah air," katanya kepada pemberita selepas ditemu bual Sandakanfm yang disiarkan secara langsung di sini Isnin.

Menurut Rais, 20 Perkara yang disebutkan dahulu sudah selesai kecuali beberapa perkara yang berkaitan dengan penempatan pegawai namun itupun cuma pada peringkat-peringkat tertentu dan ianya sedang diatur dengan baik.

Sebagai contoh, katanya, dalam bidang kehakiman sudah ramai anak-anak Sabah berkhidmat, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail adalah dari Sabah.

Rais berkata sikap pihak tertentu yang sengaja membangkitkan perkara berkenaan boleh dianggap serius kerana seolah-olah ada usaha untuk membawa Sabah ke arah lain yang tidak selari dengan Malaysia sebagai sebuah entiti negara.

"Apabila air keruh (ikan) sembilang memang banyak. Jadi kita tidak mahu ikan sembilang ini berenang dalam air keruh langsung menyengat orang. Tetapi sekarang saya faham majoriti kita di Sabah tidak lagi hairan dengan perkara seperti ini," katanya.

Rais berkata rakyat harus menolak sentimen sempit seperti itu dan menumpukan perhatian dan usaha bersama kerajaan untuk melahirkan generasi pemimpin negara yang hebat dari Sabah serta berpendidikan tinggi.

Rais menyatakan kehairanannya dengan sikap bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee yang membangkitkan isu berkenaan kerana semasa menjadi Ketua Menteri dahulu beliau gagal berbuat apa-apa untuk Sabah.

Sebaliknya, Rais melahirkan penghargaannya kepada Ketua Menteri Sabah sekarang Datuk Seri Musa Aman kerana ketegasannya dalam mentadbir Sabah secara berkesan.

Mengulas mengenai kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu semalam yang bimbang dengan kecenderungan pihak tertentu yang cuba membangkitkan isu yang boleh memecah belahkah rakyat, Rais berkata Raja-Raja Melayu cuma mengingatkan seluruh rakyat Malaysia tentang perkara-perkara yang sudah dipersetujui oleh semua kaum sejak dahulu.

"Jadi Raja-Raja Melayu kita cuma mengingatkan supaya kita jangan lupa asal usul kita, jangan lupa apa yang sudah kita janjikan dalam bentuk perlembagaan, jangan kita huraikan balik sehingga mencetuskan huru-hara yang tidak dapat dikawal.

"Dalam konteks itulah, mereka yang membawa kepada pemecahan Malaysia ataupun menyatakan sesuatu agar masyarakat berpecah semula, Akta Hasutan ada dan undang negara kita cukup untuk dilaksakan.

"Barangkali Peguam Negara akan merasa terpanggil untuk menguji semua itu tetapi masa itu belum sampai. Tetapi saya berasa bahawa undang-undang negara kita tetap di situ. Kita mesti melaksanakannya dalam ketegasan yang dibenarkan undang-undang negara kita," tegasnya.(BERNAMA)

PRK BUKAN INDIKASI PRESTASI PRU-13



Oleh : CLARA CHOOI (MI)

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menolak tanggapan bahawa keputusan Batu Sapi 4 November ini akan menjadi petunjuk prestasi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13, yang diramal bakal diadakan bila-bila masa tahun depan.

“Mungkin kami akan kalah beberapa (kerusi) dalam pilihan raya umum, tetapi kami akan menang selesa untuk membentuk kerajaan negeri di Sabah,” kata beliau.

Pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi akan diadakan Khamis ini. BN menurunkan Datin Linda Tsen Thau Lin manakala Parti Maju Sabah (SAPP) mencalonkan presidennya Datuk Yong Teck Lee dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang mewakili Pakatan Rakyat, menamakan peguam Ansari Abdullah.

Linda, 54, merupakan balu kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Ahli Parlimen Batu Sapi, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu di Kota Kinabalu.

Persaingan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi kelihatan sebagai referendum ke atas pentadbiran BN selama 16 tahun memandangkan kempen SAPP dan PKR memfokus soal pembangunan negeri itu.

Musa, Ketua Menteri yang ke-14 dan Pengerusi BN secara peribadi mengetuai kempen untuk menghantar Tsen ke Parlimen dengan mempertahankan rekod BN di Sabah.

“Tidak adil untuk mengatakan bahawa Sabah adalah negeri yang paling miskin,” kata Musa yang dilantik sebagai Ketua Menteri pada Mac 2003.

Pembangkang mengkritik kepimpinan BN di Sabah dengan mendakwa ia gagal untuk menunaikan janji sepanjang 16 tahun menerajui kerajaan negeri.

Yong, bekas Ketua Menteri Sabah menegaskan, meskipun Sabah merupakan negeri kedua terkaya pada 1970-an, tetapi ia kini sebuah negeri paling miskin.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memainkan peranan penting dalam membawa Sabah ke pangkuan BN pada 1995, berkempen untuk Ansari dengan menegaskan, pihaknya boleh melakukan lebih baik jika diberikan mandat.

Bagaimanapun Musa mengetepikan cakap-cakap sedemikian, sebaliknya menegaskan bahawa wakil rakyat-wakil rakyat BN melakukan kerja dengan baik demi rakyat.

Justeru beliau melahirkan keyakinan dengan peluang BN dalam pilihan raya kecil kerusi Batu Sapi minggu ini.

Katanya, rakyat Sabah tahu untuk berbudi kepada mereka yang membawa pembangunan. Musa memberitahu, di bawah BN Sabah telah berkembang sejak saban tahun dan tiada masalah dalam memperoleh peruntukan ekoran hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.

“Pada pengalaman saya, selagi anda berkhidmat dengan baik untuk rakyat, memenuhi permintaan mereka, membawa infrastruktur dan pembangunan untuk mereka, mereka akan gembira,” kata beliau.

“Rakyat Sabah tahu bagaimana hendak menghargai. Mereka tahu bagaimana hendak berterima kasih jika anda membawa pembangunan,” kata Musa.

Itu sebabnya mengapa pengundi Batu Sapi tidak wajar menyokong pembangkang memandangkan mereka tidak boleh membawa dana untuk pembangunan di kawasan mereka, kata Musa lagi.

“Kerajaan persekutuan sangat positif dan sedia mengetahui keperluan negeri. “Itu sebabnya sangat penting mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri dan pusat. Dan, itu yang saya hendak memberitahu kepada rakyat,” kata beliau.

Musa juga mengingatkan pengundi bahawa tidak berguna bagi seseorang menjadi ahli politik jika dia tidak boleh membantu pengundi mereka.

“Rakyat mahukan pembangunan,” kata beliau lagi. Kata Musa, jika rakyat mahukan seorang Ahli Parlimen yang boleh memastikan suara mereka didengar di Parlimen, maka mereka harus memilih Tsen.

“Lebih baik mempunyai seorang Ahli Parlimen dari BN sebab apabila anda bercakap, rakyat akan mendengar apa yang anda perkatakan dan apabila anda bertanya apa yang anda mahukan, anda akan memperolehnya,” kata Musa.

Sehubungan itu kata Musa, setiap apa yang beliau minta, kerajaan pusat telah meluluskan. Katanya, rakyat Sabah merupakan golongan yang mahukan wakil mereka memperlihatkan prestasi mereka dalam kerja, bukannya hanya menyampaikan ucapan-ucapan politik.

Musa juga berkata, di bawah pentadbirannya para menteri dan wakil rakyat menyedari bahawa adalah penting untuk berkhidmat kepada rakyat secara konsisten mendampingi mereka dan mengambil tahu akan keperluan dan masalah mereka.

“Seorang YB atau Yang Berhormat bukan bermaksud demikian, ia bermaksud Yang Berkhidmat kerana anda berkhidmat untuk rakyat.

“Ini yang kami lakukan dan saya bukan cakap besar, tetapi anda sendiri boleh melihat pembangunan di sini,” katanya lagi.

Musa juga menambah, adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan persekutuan mengabaikan pembangunan di negeri Malaysia Timur itu.

“Kami menerima banyak peruntukan pembangunan. Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan memberi lebih RM15 bilion untuk pembangunan negeri. Perbelanjaan bagi keselamatan pantai adalah buktinya,” kata beliau.

“Mereka memberikan kami sejumlah wang yang banyak untuk pembangunan, jadi ia adalah pelan yang kami jual kepada rakyat Sabah,” katanya lagi.

LAGI CALON BEBAS SOKONG BN



BARISAN Nasional (BN) terus mendapat sokongan rakyat termasuklah calon Bebas David Fong yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2008 lalu di Parlimen Sandakan menentang calon BN dan DAP.

Fong bersama-sama 500 orang penyokongnya memberikan sokongan kepada BN dengan menyertai parti Gerakan dalam satu majlis di bilik gerakan Kampung Gelam, di sini.

Katanya, keyakinannya terhadap BN terbit hasil daripada kesinambungan pentadbiran BN dan kepimpinan yang telah ditujukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya menyeru semua kaum Cina dan masyarakat di sini agar mengundi BN kerana terbukti parti ini dapat member kesejahteraan kepada rakyat,” katanya yang akan turut mengundi pada pilihan raya kecil Batu Sapi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting.

Katanya, apa lagi yang rakyat inginkan selain keamanan yang telah dinikmati sejak sekian lama.

“Kita dapat bekerja dengan selesa dan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk kita jadi apa alasan kita untuk menyokong BN. Kita lihat sendiri bagaimana parti-parti pembangkang yang belum dapat kuasa pun sudah bercakaran,” katanya.

Sebagai simbolik penyertaannya ke dalam BN, beliau dan rakan-rakannya menerima bendera BN untuk sama-sama dikibarkan dalam kempen PKR di sini dengan disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Pada PRU-12 lalu, Fong mendapat undi sebanyak 2,929.

TSEN REDAH LAUT TEMU PENGUNDI



CALON Barisan Nasional (BN), Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, semalam meredah laut untuk bertemu lebih 500 penduduk di Kampung Tronglit, Pulau Timbang, menggunakan bot.

Sebaik tiba di perkampungan nelayan pagi semalam, balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah itu, bersalaman dengan orang ramai yang berkumpul di jeti. Beliau beramah mesra dengan orang ramai ketika berjalan menuju ke lokasi majlis di padang kampung berkenaan.

Tsen yang sentiasa menguntum senyum tidak kekok berada di tengah-tengah penempatan penduduk miskin. Berbanding pada hari pertama kempen, langkah Tsen kini penuh keyakinan. Beliau hadir ke Kampung Tronglit, bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsuddin Yahya.

Kehadiran Tsen bukan hanya dinantikan penduduk pulau itu, malah ada antara mereka yang tidak pernah menemuinya tidak sabar menatap wajah calon itu.

Sementara itu, Tsen mengakui masa tidurnya tidak mencukupi sekarang ini tetapi itu tidak menghalangnya meneruskan kempen setiap hari.

“Saya hanya tidur tiga hingga empat jam saja dan paling awal jam 3 pagi setiap hari sekarang ini. Saya banyak menghabiskan masa memenuhi program kempen, bertemu penduduk di Parlimen Batu Sapi dan mesyuarat dengan jentera pilihan raya setiap malam,” katanya.

"Setiap malam sejurus mengetahui program pada esok hari, saya akan memikirkan apa yang perlu dilakukan ketika bertemu dengan rakyat. Saya sentiasa berusaha membaiki kelemahan diri," katanya.

Tsen mengakui amat merindui keempat-empat anaknya dan menjadikan telefon serta internet untuk menghubungi anak-anaknya," katanya.