Monday 1 November 2010

PRK BUKAN INDIKASI PRESTASI PRU-13



Oleh : CLARA CHOOI (MI)

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menolak tanggapan bahawa keputusan Batu Sapi 4 November ini akan menjadi petunjuk prestasi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13, yang diramal bakal diadakan bila-bila masa tahun depan.

“Mungkin kami akan kalah beberapa (kerusi) dalam pilihan raya umum, tetapi kami akan menang selesa untuk membentuk kerajaan negeri di Sabah,” kata beliau.

Pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi akan diadakan Khamis ini. BN menurunkan Datin Linda Tsen Thau Lin manakala Parti Maju Sabah (SAPP) mencalonkan presidennya Datuk Yong Teck Lee dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang mewakili Pakatan Rakyat, menamakan peguam Ansari Abdullah.

Linda, 54, merupakan balu kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Ahli Parlimen Batu Sapi, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu di Kota Kinabalu.

Persaingan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi kelihatan sebagai referendum ke atas pentadbiran BN selama 16 tahun memandangkan kempen SAPP dan PKR memfokus soal pembangunan negeri itu.

Musa, Ketua Menteri yang ke-14 dan Pengerusi BN secara peribadi mengetuai kempen untuk menghantar Tsen ke Parlimen dengan mempertahankan rekod BN di Sabah.

“Tidak adil untuk mengatakan bahawa Sabah adalah negeri yang paling miskin,” kata Musa yang dilantik sebagai Ketua Menteri pada Mac 2003.

Pembangkang mengkritik kepimpinan BN di Sabah dengan mendakwa ia gagal untuk menunaikan janji sepanjang 16 tahun menerajui kerajaan negeri.

Yong, bekas Ketua Menteri Sabah menegaskan, meskipun Sabah merupakan negeri kedua terkaya pada 1970-an, tetapi ia kini sebuah negeri paling miskin.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memainkan peranan penting dalam membawa Sabah ke pangkuan BN pada 1995, berkempen untuk Ansari dengan menegaskan, pihaknya boleh melakukan lebih baik jika diberikan mandat.

Bagaimanapun Musa mengetepikan cakap-cakap sedemikian, sebaliknya menegaskan bahawa wakil rakyat-wakil rakyat BN melakukan kerja dengan baik demi rakyat.

Justeru beliau melahirkan keyakinan dengan peluang BN dalam pilihan raya kecil kerusi Batu Sapi minggu ini.

Katanya, rakyat Sabah tahu untuk berbudi kepada mereka yang membawa pembangunan. Musa memberitahu, di bawah BN Sabah telah berkembang sejak saban tahun dan tiada masalah dalam memperoleh peruntukan ekoran hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.

“Pada pengalaman saya, selagi anda berkhidmat dengan baik untuk rakyat, memenuhi permintaan mereka, membawa infrastruktur dan pembangunan untuk mereka, mereka akan gembira,” kata beliau.

“Rakyat Sabah tahu bagaimana hendak menghargai. Mereka tahu bagaimana hendak berterima kasih jika anda membawa pembangunan,” kata Musa.

Itu sebabnya mengapa pengundi Batu Sapi tidak wajar menyokong pembangkang memandangkan mereka tidak boleh membawa dana untuk pembangunan di kawasan mereka, kata Musa lagi.

“Kerajaan persekutuan sangat positif dan sedia mengetahui keperluan negeri. “Itu sebabnya sangat penting mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri dan pusat. Dan, itu yang saya hendak memberitahu kepada rakyat,” kata beliau.

Musa juga mengingatkan pengundi bahawa tidak berguna bagi seseorang menjadi ahli politik jika dia tidak boleh membantu pengundi mereka.

“Rakyat mahukan pembangunan,” kata beliau lagi. Kata Musa, jika rakyat mahukan seorang Ahli Parlimen yang boleh memastikan suara mereka didengar di Parlimen, maka mereka harus memilih Tsen.

“Lebih baik mempunyai seorang Ahli Parlimen dari BN sebab apabila anda bercakap, rakyat akan mendengar apa yang anda perkatakan dan apabila anda bertanya apa yang anda mahukan, anda akan memperolehnya,” kata Musa.

Sehubungan itu kata Musa, setiap apa yang beliau minta, kerajaan pusat telah meluluskan. Katanya, rakyat Sabah merupakan golongan yang mahukan wakil mereka memperlihatkan prestasi mereka dalam kerja, bukannya hanya menyampaikan ucapan-ucapan politik.

Musa juga berkata, di bawah pentadbirannya para menteri dan wakil rakyat menyedari bahawa adalah penting untuk berkhidmat kepada rakyat secara konsisten mendampingi mereka dan mengambil tahu akan keperluan dan masalah mereka.

“Seorang YB atau Yang Berhormat bukan bermaksud demikian, ia bermaksud Yang Berkhidmat kerana anda berkhidmat untuk rakyat.

“Ini yang kami lakukan dan saya bukan cakap besar, tetapi anda sendiri boleh melihat pembangunan di sini,” katanya lagi.

Musa juga menambah, adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan persekutuan mengabaikan pembangunan di negeri Malaysia Timur itu.

“Kami menerima banyak peruntukan pembangunan. Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan memberi lebih RM15 bilion untuk pembangunan negeri. Perbelanjaan bagi keselamatan pantai adalah buktinya,” kata beliau.

“Mereka memberikan kami sejumlah wang yang banyak untuk pembangunan, jadi ia adalah pelan yang kami jual kepada rakyat Sabah,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment